Relaxing music

Wednesday, 18 May 2016

HIKAYAT ACEH

Pengenalan

Menurut Shaharom TM Sulaiman (2004), karya agung ialah karya yang mengusik ketenangan dan menyedarkan kita. Lebih penting lagi, karya agung mengajak kita untuk mengenal dan memahami tradisi atau tamadun bangsa yang dipancarkan melalui karya agung itu. Dalam buku Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan (2000) telah mentakrifkan karya agung sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa.
            Karya agung Melayu pula ditakrifkan oleh Yayasan Karyawan dalam Shaharom TM Sulaiman (2004) sebagai karya yang tertulis dalam bahasa Melayu atau diungkapkan secara lisan dalam bahasa Melayu, tidak dikira daerah asalnya di Dunia Melayu ini; dan yang mampu mencetuskan dalam bentuk gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun.
            Manakala Karya Agung Dunia Melayu merupakan karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lainnya.Contohnya Nagarakertagama dan Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa.

Sinopsis Hikayat Aceh
Bahagian awal hikayat ini menceritakan tentang Raja Indera Syah yang diterima oleh Maharaja Cina dengan segala kehormatan. Kedatangan Raja Indera ke negara China telah disambut dengan begitu meriah oleh Maharaja Cina. Maharaja Cina telah membina sebuah istana untuk didiami oleh Raja Iskandar dan para pengikutnya. Seterusnya, dipaparkan pula peristiwa Raja Syah Muhamad yang membantun bulu roma putih pada dagu kanan isterinya. Perbuatan yang dilakukannya itu telah menyebabkan kematian isterinya. Kisah dalam hikayat ini diteruskan dengan paparan zaman pemerintahan sultan-sultan yang memerintah Aceh. Antara melibatkan zaman pemerintahan Raja Muzaffar Syah, Sultan Ali Mughayat Syah, Sultan Salah ad-Din, Sultan ‘Ala ad-Din Riayat Syah dan Sultan Ali Riayat Syah.
Semasa pemerintahan Sultan ‘Ala ad-Din Riayat Syah, negeri Aceh menjadi makmur kerana pemerintahan baginda yang adil dan alim. Seterusnya terdapat peristiwa perkahwinan antara Raja Syah Alam dan Tuan Puteri Raja Indera Bangsa. Akhirnya mereka dikurniakan dengan seorang cahaya mata yang diberi nama Raja Munawwar.
Bermula daripada kisah kelahiran Raja Munawwar, pelbagai peristiwa menarik berlaku yang menggambarkan kehebatan yang dimiliki oleh Raja Munawwar. Misalnya, pada usia tujuh tahun, Pancagah (nama timangan Raja Munawwar) berjaya menjerat seekor gajah. Pada usia 12 tahun pula, diceritakan tentang kisah pembunuhan seekor kerbau olehnya. Dua orang utusan yang datang ke Aceh, telah melihat ketangkasan Pancagah menunggang kuda dan telah meramal masa depannya yang dikatakan akan menjadi raja yang hebat.
Pengarang kemudian kembali menceritakan mengenai pemerintahan Sultan ‘Ala ad-Din Riayat Syah di Aceh. Peperangan telah berlaku antara Aceh dan Johor. Namun, Aceh berjaya mengalahkan Johor dan sekembalinya Sultan ‘Ala ad-Din ke Aceh, baginda berasa gering dan melantik Johan Alam (Raja Munawwar), sebagai penggantinya. Namun, Johan Alam enggan kerana menyedari bahawa dua orang putera Sultan masih lagi hidup. Oleh itu, baginda telah menitahkan Sultan Muda (putera Sultan ‘Ala ad-Din Riayat Syah) untuk mengadap bagi menerima pelantikan sebagai pemerintah Aceh yang seterusnya.


 Aspek Pemikiran dalam Hikayat Aceh
Menurut Siti Aisah Murad (1996:11), sesebuah karya sastera yang dihasilkan adalah berdasarkan jalinan pengalaman, sikap dan pemikiran pengarangnya. Pemikiran membawa maksud idea atau isi yang dibawa oleh pengarang yang dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi serta kreativiti untuk menjelmakan persoalan dan tema dalam sesuatu karya. Pengarang bertanggungjawab dalam mengetengahkan aspek pemikiran dalam sesuatu karya dengan memberikan penekanan yang lebih tentang kehebatan pahlawan Melayu, kebesaran dan kekuasaan raja-raja Melayu, kisah kedatangan agama Islam di sesebuah negeri serta mengisahkan tentang watak-watak yang luar biasa yang pandai pelbagai ilmu. Peranan seseorang pengarang dalam sastera tradisional Melayu diperlihatkan melalui penyampaian mesej atau idea cerita yang dapat menyumbangkan kebangkitan jati diri atau identiti orang Melayu sebagai bangsa yang mempunyai negara dan raja yang berdaulat dan berkuasa.
           
            Sehubungan dengan itu, karya Hikayat Aceh dikarang ketika zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda sekitar tahun 1606 hingga 1636, iaitu sewaktu berlakunya pertumbuhan fikrah dan wacana ilmu yang pesat dalam sejarah dan kesusasteraan Melayu. Berdasarkan penulisan karya agung ini, pengarang sudah pastinya merangka setiap jalan cerita dengan tujuan untuk menyampaikan mesej yang tersirat kepada golongan masyarakat pada zaman tersebut. Gambaran idea bagi karya ini disampaikan sama ada secara terus terang, secara tersurat dan halus, melalui kiasan atau melalui lambang-lambang tertentu yang dapat menyingkap maksud sebenar. Berikut dibincangkan beberapa aspek pemikiran yang disampaikan oleh pengarang dalam karya Hikayat Aceh. 



  • Asal Usul Raja
Kebanyakan sastera sejarah dikarang atas perintah raja, oleh hal yang demikian penceritaan berkaitan asal usul raja sememangnya menjadi perkara utama yang diberikan perhatian dalam sastera sejarah. Setiap sastera sejarah mengemukakan ceritanya yang tersendiri tentang asal usul raja. Dalam Hikayat Aceh, pengarang lebih menyifatkan karya ini sebagai riwayat asal usul dan masa kanak-kanak Sultan Iskandar Muda. Pengarang Hikayat Aceh telah mengangkat kedudukan watak utama dalam karya ini iaitu watak Sultan Iskandar Muda. Dalam Hikayat Aceh ini dinyatakan bahawa Sultan Iskandar Muda adalah keturunan Iskandar Zulkarnain.

Selain asal usulnya yang luar biasa, pengarang telah memperlihatkan tanda-tanda kebesaran putera raja ini sebelum kelahirannya lagi. Semasa bonda Sultan Iskandar Muda iaitu, Tuan Puteri Raja Indera Bangsa atau Paduka Syah Alam hamil tujuh bulan, baginda bermimpi bahawa dia memakai cucuk sanggul bulan dan berselendang bintang dikarang. Manakala ketika kandungan baginda berusia sembilan bulan, baginda bermimpi cahaya seperti bulan purnama mengelubungi seluruh tubuhnya serta melimpah keluar kelambu dan memenuhi seluruh istana yang mengatasi cahaya tanglung, dian dan kandil. Sebagai contoh dalam teks Hikayat Aceh:

Maka tatkala baginda itu dikandungkan bonda baginda tujuh bulan maka pada suatu malam maka bonda baginda pun bermimpi. Maka ada mimpi bonda baginda bertutup sanggulkan bulan, cahayanya amat cemerlang dan bersandangkan bintang terkarang. Kemudian dari itu maka tatkala baginda dikandungkan bonda baginda sembilan bulan maka pada suatu malam ketika dinihari maka bonda baginda pun bermimpi pula. Maka pada malam Jum’at maka bonda baginda berbaring pada kelambu peraduan di atas geta keinderaan antara tidur dan jaga maka terlihat tuan puteri seperti bulan purnama. Maka cahaya itu mengelubungi seberhana tubuh hingga limpah cahayanya daripada kelambu itu penuh segala istana, maka laku padam olehnya segala cahaya tanggelung dan dian dan kandil”.                                                        
      (Hikayat Aceh, 2001:117)

Tanda-tanda keagungan ketika kelahiran Sultan Iskandar Muda turut diperlihatkan oleh pengarang apabila saat kelahirannya Syah ‘Alam menyuruh orang membawa alat kerajaan supaya cucunya segera lahir. Sesudah lengkap alat kebesaran kerajaan, barulah Iskandar Muda selamat dilahirkan. Peristiwa ini diperlihatkan dalam teks hikayat berikut:

Maka sabda baginda, “Apa jua sebabnya cucuku ini lambat jadi?” Maka sabda Syah ‘Alam, “Bawalah oleh kamu alat kerajaan supaya cucuku ini segera jadi”. Maka alat tatkala hadirnya alat kebesaran itu maka tuan puteri pun berputeralah. Maka tatkala Perkasa ‘Alam jadi itu halilintar pun memelah dan kilat pun sabung-menyabung dan guruh pun terlalu ‘azamat dan bumi pun bergerak selaku-laku”.
                                                            (Hikayat Aceh, 2001:120)

Pengarang telah menimbulkan pelbagai keistimewaan dalam menghuraikan asal usul keturunan anak raja untuk tujuan meninggikan martabat golongan raja yang akan memimpin golongan masyarakat. Ringkasnya, semakin aneh atau istimewa peristiwa-peristiwa yang dikaitkan dengan asal usul anak raja semakin bertambahlah kedaulatannya.



  • Jurai Keturunan Raja
Susur galur keturunan raja turut ditekankan oleh pengarang sebagai salah satu pemikiran dalam sesebuah sastera sejarah. Daripada sesuatu nama yang disebutkan dalam sesuatu hasil sastera sejarah, dapat disusun jurai keturunan raja-raja dengan rapi. Jurai keturunan raja dikemukakan oleh pengarang supaya kedudukan dan keabsahan raja yang memerintah dapat membuktikan aspek pensejarahan dalam sesebuah karya. Kebiasaannya, penceritaan susur galur pada  awal hikayat agak kabur dan penuh dengan nama-nama yang tidak dikenali. Semakin dekat dengan zaman yang terakhir, nama-nama raja semakin dikenali dengan menghubungkaitkan peristiwa-peristiwa yang dapat mengangkat raja yang memerintah.

            Dalam Hikayat Aceh, pengarang menjelaskan jurai keturunan Sultan Iskandar Muda dengan tersusun. Keturunan Sultan Iskandar Muda dianggap mulia kerana nenek moyangnya berasal daripada golongan anak bidadari iaitu Munawwar Syah. Salasilah keturunan Sultan Iskandar Muda dihuraikan dengan tertib iaitu salasilah daripada pihak bonda dan ayahandanya. Salasilah asal usul raja ini dari pihak bondanya bermula daripada keturunan Sultan ‘Inayat Syah, Sultan Firman Syah Paduka Marhum, Paduka Marhum Sayyid al-Mukammil, dan Paduka Syah ‘Alam (bonda Iskandar Muda). Melihat pula salasilah keturunan sebelah ayahandanya, bermula daripada Munawwar Syah, Syamsu Syah, ‘Ali mughayat Syah, ‘Ala ad-Din Ri’ayat Syah, Abangta ‘Abdul Jalil dan Sultan Mansur (ayahanda Sultan Iskandar). Jurai keturunan bagi kedua-dua pihak ini memperlihatkan bahawa kekuasaan pemerintahan yang mengalir dalam diri Sultan Iskandar Muda ekoran daripada pemerintahan nenek moyangnya. Contoh dalam petikan berikut:

Jurai keturunan sebelah bonda:

            Kata asal nasab daripada bundai Seri Sultan Perkasa ‘Alam Johan berdaulat itu, bahawa Sultan ‘Inayat Syah yang kerajaan di Dar al-Kamal itu beranakkan Sultan Firman Syah Paduka Marhum. Maka Sultan Firman Syah Paduka  Marhum itu beranakkan Paduka Marhum Sayyid al-Mukammil. Maka Paduka  Marhum Sayyid al-Mukammil itu beranakkan Paduka Syah ‘Alam, bundai Seri  Sultan Perkasa ‘Alam Johan berdaulat.                                
                                                                                                 (Hikayat Aceh, 2001:9)
Jurai keturunan sebelah ayahanda:

            Kata yang bercerita: Bahawa Raja Muzaffar Syah, ayah datu Perkasa ‘Alam  daripada pihak ayah itu, raja Makota ‘Alam; dan Raja ‘Inayat Syah, yang ayah datu Perkasa ‘Alam daripada pihak bundai itu, raja di Dar al-Kamal.
                                                                                               (Hikayat Aceh, 2001:9)

Jurai keturunan dalam hikayat ini diceritakan pada bahagian permulaan iaitu mengisahkan pemerintahan raja-raja terdahulu secara ringkas, dan perkaitan hubungan dinasti antara Sultan Iskandar Muda dengan raja-raja tersebut. Kemudian, salasilah raja dihuraikan melalui susur galur sebelah ibu dan sebelah ayah Sultan Iskandar Muda sehinggalah sampai kepada kelahiran Iskandar Muda. Senarai jurai keturunan juga merupakan salah satu aspek pemikiran yang penting. Hal ini demikian kerana, pengarang bertanggungjawab dalam memberikan maklumat kepada pembaca tentang zaman atau masa pemerintahan raja tersebut. Melalui pemikiran ini, pembaca akan mendapat gambaran secara keseluruhan tentang idea yang ingin disampaikan oleh pengarang.                                               

  • Kemasyhuran Sultan Iskandar Muda
Pengarang memperlihatkan watak Sultan Iskandar Muda sebagai seorang anak raja yang mempunyai kelebihan yang luar biasa sejak zaman kecil lagi. Terdapat pelbagai peristiwa yang digalurkan sebagai bukti kebesaran Sultan Iskandar Muda. Ketangkasan dan kehebatan Sultan Iskandar Muda bukan sahaja dilihat dalam kalangan rakan-rakan sepermainannya, malah anak raja ini turut terkenal di mata kuasa luar. Pengarang Hikayat Aceh menyifatkan karya ini sebagai riwayat asal usul dan masa kanak-kanak Sultan Iskandar Muda. Sebagai contoh, ketangkasan Sultan Iskandar Muda diperlihatkan dalam petikan teks berikut:

            “Abangta Raja Munawwar Syah yang bertimangan Pancagah amat  tahulah dan tegarlah mengerak gajah seraya berdiri dan memacu kuda seraya tinggung tatkala legat larinya itu dan menyentakkan kaki ke lambung kuda ke kanan dan ke lambung kuda kiri serta belayamkan pedang ke kanan dan ke kiri.   Maka adalah kelakuan Pancagah itu seperti singa menentang lawan.”
                                                                                           (Hikayat Aceh, 2001:214)

Petikan teks tersebut menjelaskan bahawa kemasyhuran Sultan Iskandar Muda tersebar sehingga ke luar Aceh. Raja Syahr Nuwi terlalu takjub dengan ketangkasan Sultan Iskandar Muda dan menceritakannya kepada raja-raja Kemboja, Ciengmai dan Pasula serta utusan-utusan dari negeri China dan Champa. Raja Syahr Nuwi berhasrat untuk menjadikan Sultan Iskandar Muda sebagai pemerintah negeri Siam dan daerah takhluknya.



  • Kekayaan Negeri Aceh
Dalam Hikayat Aceh, pengarang tidak terlepas dalam menceritakan kekayaan negeri Aceh. Kekayaan hasil bumi Aceh digambarkan ketika peristiwa kedatangan utusan Rum ke Aceh. Sewaktu berada di Aceh, sultan Rum jatuh sakit. Tabib-tabib yang merawat sultan Rum iaitu, Taimunus Hakim dan Jalus Hakim memberitahu bahawa penawar bagi penyakit tersebut ialah minyak kapur barus dan minyak tanah. Hasil bumi ini hanya terdapat di negeri Aceh. Pengarang dengan bijak telah mengaitkan kekayaan yang terdapat di negeri Aceh dengan peristiwa tersebut. Petikan teks berikut membuktikan kekayaan yang terdapat di negeri Aceh:

Galian mas yang merah yang sepuluh mutu dan tanah cempaga kudrati yang netiasa mengalir di atas bukit galian itu dan beberapa daripada kolam minyak tanah kudrati yang tiada lagi kurang minyaknya daripada kolam itu; dan yang terbit daripada segala haiwan dalam rimbanya, daripada paizhar dan jebat dan air madu dan lilin dan daripada isi bukit rimbanya, beberapa pohon kayu yang dalamnya kapur dan kemenyan yang putih dan hitam dan daripada pohon kayu khelembak dan gaharu dan cendana dan dammar dan lada dan pilpil diraz dan beberapa galian yang lain daripada segala pohon kayu yang lain dari itu”.
                                                                             (Hikayat Aceh, 2001:231)

Berdasarkan petikan di atas, pengarang telah menggambarkan kekayaan hasil bumi yang terdapat di negeri Aceh. Pengarang menghuraikan kekayaan negeri Aceh melalui lombong-lombong yang memberi hasil tanpa putus, minyak tanah yang bermutu di dalam danau yang tidak pernah kering, dan setiap hasil hutan yang menjadi sumber kepada orang pedalaman. Oleh hal yang demikian, peristiwa tersebut menunjukkan bahawa pengarang tidak bermegah menceritakan kekayaan yang terdapat di bumi Aceh sebaliknya telah memperlihatkan manfaat kekayaan yang diperoleh di negeri Aceh.


Aspek Falsafah dalam Hikayat Aceh

Menurut Seri Lanang Jaya, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris (2016)  mengatakan bahawa falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Mekanisme falsafah secara amnya dapat diertikan sebagai memikirkan sesuatu dengan mendalam. Dengan itu, falsafah ialah membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar dan betul terhadap sesuatu perkara.
            Menurut Seri Lanang Jaya et. al menyatakan bahawa bidang falsafah dapat dibahagikan kepada falsafah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Falsafah etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Falsafah dapat disimpulkan sebagai suatu kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam.



  • Falsafah Metafizika
Dalam Hikayat Acheh ini terdapat beberapa falsafah dapat dihuraikan iaitu, falsafah metafizika yang memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Dalam Hikayat Aceh ini wujud falsafah metafizika iaitu kewujudan antara dunia manusia biasa dan bidadari. Jika dilihat dalam dunia kini, kewujudan atau keberadaan dunia bidadari adalah sesuatu yang sangat luar biasa dan menjadi satu perkara yang sukar dipercayai. Namun dalam hikayat ini Raja Syah Muhammad telah berkahwin dengan seorang bidadari yang bernama Tuan Puteri Dewi Indera sehingga mereka berdua telah dikurniakan cahaya mata. Kewujudan dunia bidadari adalah satu hal yang agak sukar dibuktikan pada masa kini, tetapi dalam hikayat ini kewujudan alam bidadari dapat dibuktikan melalui perkahwinan dan keturunan yang telah dilahirkan oleh puteri bidadari tersebut.


“Maka Hairan Raja Syah Muhammad melihat dia. Maka disuruhnya kerat buluh itu dan disuruhnya belah. Maka takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala maka keluarlah dari dalam buluh itu seorang perempuan dariapada anak baludari, terlalu elok rupanya. Maka ada mukanya seperti bulan purnama dan lakunya tida sebagainya. Maka Raja Syah Muhammad pun terlalu sukacita. Maka puteri itu pun tunduk dengan maulnya kerana melihat raja itu. Maka Raja Syah Muhammad pun berkata kepada tuan puteri itu, “Hai tuan puteri, mengapa tuan malu melihat hamba? Telah dilahirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala hari nin pertemuan tuan puteri dengan hamba hendak menyatakan pertemuan kita yang batin itu.” Maka tuan puteri itu pun disuruh raja Syah Muhammad buatkan ke atas gajah ringga kelambu serta diiringkan segala dayang-dayang. Maka tatkala sampailah tuan puteri itu ke istana | maka disambut segala inangda kakandanya dengan diberi hormat. Maka ayah bonda baginda pun terlalu sukacita melihat puteri baludari itu. Maka Sultan munawwar Syah pun menyuruhkan orang mendudukkan penjagaan akan pekerjaan menikahkan Raja Syah Muhammad dengan Tuan Puteri Dewi Indera yang akan baludari yang berdarah putih yang raja keinderaan itu.
(Hikayat Aceh 2001:3-4)

            Selain itu, falsafah mengenai kewujudan alam bidadari ini dapat dibuktikan lagi dengan perkahwinan antara saudara Raja Syah Muhammad iaitu Raja Syah Mahmud  dengan Puteri Bongsu. Raja Syah Mahmud datang ke Seracan untuk bermain-main. Lalau di situ dia melihat sebuah kolam yang luas berair jernih. Ketika Raja Syah Mahmud berada di kolam tersebut pada suatu Jumaat, dilihatnya anak bidadari turun hendak mandi. Mereka masing-masing menanggalkan baju terbang lalu mandi. Sesudah mandi mereka akan mengenakan semula baju dan terbang ke udara. Kewujudan manusia terbang atau adalah hal yang luar biasa namun hanya bidadari sahaja yang dapat melakukan hal tersebut. Lalu Raja Syah Mahmud mencari akal bagaimana mendapatkan seorang bidadari. Kemudian, dia bersembunyi dan mencuri baju terbang Puteri Bongsu. Sesudah mereka mandi, dan hendak pulang, Puteri Bongsu mendapati bahwa baju terbangnya telah hilang. Raja Syah Mahmud keluar secara tiba-tiba dan bidadari-bidadari lain terbang meninggalkan Puteri bongsu. Raja Syah Mahmud memujuknya dan menyatakan bahawa pertemuan mereka adalah kehendak Tuhan. Tuan Puteri Bongsu dibawa di atas gajah ke istana, dan Raja Syah Mahmud berkahwin dengannya.

“Maka berapa lamanya raja itu di sana maka pada suatu ketika malam Jum’at, bermain raja itu hampir ke kolam itu. Maka dilihat raja itu anak baludari tu(ru)n hampir kolam itu. Maka masing-masing mereka itu mengantarkan baju kancukinya seorang suatu tempat di bawah pohon kayu yang di tebing kolam itu. Maka anak balu dari itu turun mandi ke kolam ketujuh-tujuhnya. Maka Raja Syah Mahmud pun hairan melihat demikian. Setelah sudah segala masing-masing mengambil baju kancukinya itu. Setelah sudah mereka itu memakai baju maka mereka itu pun terbanglah ke udara hingga tiada kelihatan. Maka tiap-tiap malam Jum’at demikian jua. Maka Raja Syah Mahmud terlalu (hairan ) melihat rupa anak baludari itu. Maka netiasa Raja Syah Mahmud memicara menchari muslihatnya akan berdapat anak baludari itu… Maka datang suatu malam Jum’at anak baludari itu pun mandi ke kolam seperti ‘adatnya yang dahulu itu jua. Maka dihantarkan mereka itu baju kancukinya seorang suatu tempat. Maka turunlah mereka itu lagi dengan senda gurau mereka itu tatkala mandi dalam kolam itu… Maka diambilnya baju tuan puteri yang bongsu itu… Maka dilihat Puteri Bongsu  itu bajunya tiadalah pada tempat yang (di)hantarkan itu. Maka puteri yang keenam itu masing-masing berbajulah…Puteri Bongsu itu pun menangis dan bertangis-tangislah ketujuh-tujuhnya. Maka Raja Syah Mahmuditu pun datanglah… Maka ia pun hairan serta menangis. Maka berkata Raja Syah Mahmud itu berapa dengan kata  yang  nasihat dan kata yang melemahkan hati tuan puteri itu… Syahdan kata raja itu, “Hai tuan puteri, sabarlah tuan akan pekerjaan Allah Ta’ala, kerana Allah Subhanahu menyatakan pertemuan kita yang azali.”
    (Hikayat Aceh 2001:5)

  • Falsafah Sejarah
Falsafah sejarah iaitu peperangan. Pengarang hikayat ini mengetengahkan falsafah mengenai peperangan iaitu berlaku antara sesame saudara sendiri. Terjadinya peperangan dalam hikayat ini iaitu antara Raja Muzaffar Syah yang memerintah di Mahkota ‘Alam dan Raja ‘Inayat Syah di Dar al-Kamal, dua bahagian negeri Aceh. Kedua-dua raja ini selalu berperang dan berlanjutan selama bertahun-tahun. Walaupun mempunyai ikatan persaudaraan namun tetap terjadi peperangan antara mereka. Tidak pernah salah seorang antara mereka mengalah dalam peperangan tersebut. Walaupun Raja Muzaffar Syah memiliki meriam tetapi dia tidak pernah memenangi perang. Dalam hikayat ini, mereka menjalankan peperangan walaupun mempunyai pertalian darah hanya keranan ingin meluaskan tanah jajahan mereka sendiri.  Raja Muzaffar Syah telah memenangi perang tersebut dan memerintah Aceh Dar as-Salam apabila mendapat muslihat iaitu dengan mengahwinkan puteranya dengan  puteri Raja ‘Inayat Syah. Namun, ini hanya muslihat beliau, semasa menghantar mas kahwin ke Dar al-Kamal, Raja Muzaffar Syah telah menyembunyikan senjata dan akhirnya mengalahkan Raja ‘Inayat Syah melalui muslihat ini.

 Bahawa Raja Muzaffar Syah, ayah datu Perkasa ‘Alam daripada pihak ayah itu, raja (di) Makota ‘Alam; dan Raja ‘Inayat Syah, yang ayah datu Perkasa ‘Alam daripada pihak bundai itu, raja di Dar al-Kamal. Maka segala hulubalang yang gagah dan segala ra’yat yang tiada terhisab banyaknya yang dalam negeri Aceh Dar as-Salam itu sekaliannya bahagi dua. Maka ada ngantarai daripada uda raja itu suatu sungai, setengah kepada raja Mahkota’Alam, setengah kepada raja Dar al-Kamal. Maka Raja Muzaffar Syah itu netiasa berperang jua dengan Raja ‘Inayat Syah. Maka berapa lamanya dalam perang itu seorangpun tiada beralahan hingga datang berpuluh tahun lamanya. ”                                                                            (Hikayat Aceh 2001:9)



  • Falsafah Politik
Falsafah seterusnya ialah falsafah politik. Falsafah politik ialah aplikasi dan tujuan pemerintahan sesebuah negara. Dalam Hikayat Aceh ini pemerintahan yang dijalankan dalam kerajaan Aceh adalah sistem pemerinthan beraja atau diperintah oleh Sultan. Kekuasaan tertinggi dipegang oleh Sultan, iaitu dilambangkan dengan dua cara iaitu keris dan cap. Tanpa keris tidak ada pegawai yang mengaku dapat bertugas melaksanakan perintah raja. Tanpa cap tidak ada peraturan yang mempunyai kekuatan hokum.
            Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda, Sultan telah membuat peraturan , menurut Denys Lombard (1986) terdapat beberapa bahagian dan naskah yang telah ditulis. Bahagian pertama berjudul “Perintah segala Raja-raja”, terdapat 31 fasal dan setiap fasal bernama majelis (madjelis menurut ejaan Soewandi) yang dapat diertikan sebagai peraturan. Dalam fasal pertama adalah mengenai kekuasaan dan kewajiban raja dan mengingatkan akan beberapa bahagian dari Mahkota Raja-raja tentang kekuasaan tertinggi. Fasal 26  hingga fasal 27 mengenai satuan-satuan buduanda atau pengawal raja. Fasal 29 mengumpulkan berbagai larangan bagi hamba, fasal 30 mengenai gelaran kehormatan seperti Paduka, Maha, Seri, Raja dan Tuan. Bahagian ketiga pula berjudul “Adat majelis raja-raja” yang telah disunting dan diterjemahkan dengan “Custom and regulations of Kings”. Dalam bahagian ini membincangkan mengenai pegawai dan pemerian yang saksama mengenai cara berlangsung upacara-upacara istana yang penting.
             Dalam fasal kedua bahagian pertama membincangkan bahawa seorang menteri akan mengurus negerinya, dan seorang hulubalang juga akan menolong serta bentara akan memegang tugas bahagian senjata. Setiap jabatan akan melibatkan sejumlah pegawai bawahan yang tunduk kepada kekuasaan salah satu dari ketiga pejabat pelabuhan, karkun atau jurutulis raja, penghulu kawal yang meronda dan menjaga ketertiban dalam kota. 



  • Falsafah Sosial
Falsafah sosial ialah gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Kelahiran Raja Munawwar Syah merupakan satu kelahiran yang ditunggu oleh Syah ‘Alam. Kelahiran Raja Munawwar Syah(Sultan Iskandar Muda) sememangnya telah menandakan bahawa beliau akan menjadi seorang yang kuat, gagah dan berani. Semasa Puteri Syah ‘Alam mengandung, negeri berada dalam kemakmuran, ketika dia mengundung tujuh bulan dia bermimpi bahawa dia memakai cucuk sanggul bulan dan berselendang bintang dikarang. Ketika hamil sembilan bulan dia bermimpi cahaya seperti bunga karang yang dipertajuknya. Suatu malam Jumaat, dilihatnya cahaya seperti bulan purnama mengelubungi seluruh tubuhnya serta melimpah ke luar kelambu dan memenuhi seluruh istana, mengatasi cahaya tanglung, dian dan kandil. Perkara ini menunjukkan bahawa kelahiran Raja Munawwar Syah(Sultan Iskandar Muda) adalah satu kehidupan yang amat luar biasa. Sebelum Raja Munawwar Syah(Sultan Iskandar Muda) lahir pengarang hikayat ini telah menceritakan kebesaran dan kejadian yang luar biasa telah berlaku. Melalui kejaian-kejadian tersebut, kelahiran Raja Munawwar Syah(Sultan Iskandar Muda) adalah satu gambaran kehidupan yang akan menjadikan kerajaan Avheh negara yang besar.

“Maka tatkala baginda itu dikandungkan bonda baginda tujuh bulan maka pada suatu malam maka bonda baginda bertutup sanggulkan bulan, cahayanya amat cemerlang dan bersandangan bintang terkarang. Kemudian dari itu maka tatkala baginda itu dikandungkan bonda baginda sembilan bulan maka pada suatu malam ketika dinihari maka bonda baginda pun bermimpi pula. | maka ada yang dimimpi bonda banginda itu suatu cahaya rupanya bunga karang. Maka dipertajuk oleh tuan puteri terjelai-jelai. Maka kemudian dari itu pada malam Jum ‘at maka bonda baginda berbaring pada kelambu peraduan di atas geta keinderaan antara tidur {dan} dan jaga maka terlihat tuan puteri seper(ti) bulan purnama. Maka cahaya itu mengelubungi seberhana tubuh hingga limpah cahayanya daripada kelambu itu penuh segala istana, maka laku padam oleh segala cahaya tenggelung dan dian dan kandil. ”
 (Hikayat Aceh 2001:49 )


  • Falsafah Kosmologi
Falsafah kosmologi membincangkan situasi persekitaran dan alam sarwajagat. Kerajaan Aceh mempunyai sumber alam sekitar yang sangat kaya . terdapat pelbagai sumber alam yang dapat menguntungkan jika dapat diterokai dengan lebih dalam lagi. Hal ini dapat dibuktikan dengan keinginan kerajaan Turki untuk menawan kerajaan Aceh. Pada suatu ketika Sultan Rum (Turki) gering, tabib-tabibnya iaitu Taimunus Hakim dan Jalus Hakim memberitahu bahwa ubat sakitnya adalah kapur barus dan minyak tanah yang hanya dapat diperoleh di Aceh.  Celebi Ahmad dan Celebi Ridwan dihantar bersama dengan surat ke Mir Haidar di Mokha. Mereka telah mempersiapkan kapal ke Aceh, setelah tiba di Aceh mereka mendapati bahawa kerajaan Acheh mempunyai bukit yang tinggi dan terdapat air tawar di atas bukit tersebut. Terdapat juga sebatang sungai yang berpunca daripada mata air di gunung. Airnya tawar, sejuk dan menyembuhkan penyakit. Sungai tersebut ialah Dar al-‘Isyki. Angin atau cuaca di negeri Aceh adalah sederhana. Tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas.  
“… galian mas yang merah yang sepuluh mutu dan tanah cempaga kudrati yang netiasa mengalir di atas bukit galian itu dan beberapa daripada kolam minyak tanah kudrati yang tiada berkurang minyaknya daripada kolam itu; dan yang terbit daripada segala haiwan dalam rimbanya, daripada paizhar dan jebat dan air madu dan lilin dan daripada isi bukit rimbanya, beberapa daripada pohon kayu yang dalamnya kapur dan kemenyan yang putih dan hitam dan daripada pohon kayu khelembak dan gaharu dan cendana dan damar dan lada dan pilpil diraz dan beberapa daripada galian yang lain dan daripada segala pohon kayu yang lain dari itu…”
 (Hikayat Aceh 2001:95)


Estetika dan Kepengarangan dalam Hikayat Acheh
Karya sastera memang mempunyai nilai estetik, sama ada tahap tinggi atau bertaraf rendah. Nilai estetik ini seharusnya dapat menikmati sebagai nikmat ketika membaca, menghayati dan memahami setiap hasil karya. Begitulah, bagi karya novel, cerpen, puisi (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak) drama dan sebagainya ada terselit nilai-nilai estetika dan keindahan.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), estetika membawa definisi cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Menurut Rahman Shaari (2001:) estetika bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera. Nilai yang dimaksudkan berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya. Contohnya, mungkin pembaca pertama menganggap karya itu bernilai estetika, namun pembaca kedua pula tidak menganggapnya sedemikian. Jadi, menurut Rahman Shaari (2001) bagi sesebuah karya, aspek teknik dan gaya itulah yang menjadi penentu hadirnya nilai estetika. Bahkan kehadiran isi yang bagus tidak menjamin tingginya nilai estetika melainkan keseimbangan kesemuanya dalam karya tersebut sangat dituntut.

Estetik adalah rasa indah pada umumnya dan tentang kesenian pada khususnya. Pandangan mengenai falsafah dan estetika sangat berhubung rapat dengan kesenian. Apabila disentuh tentang keindahan, maka secara langsung akan diperkatakan perkara berkaitan seni dan kesenian Estetika secara umumnya bermaksud keindahan. Oleh sebab itu, estetika merupakan satu cabang yang sangat dekat dengan falsafah seni. Nilai estetika itu sendiri melibatkan seni dan  keindahan. Apabila dilihat dari konsep yang berkaitan dengan karya, kita dapat mengaitkan unsur ini dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni. Secara umumnya, estetika dikaitkan dengan karya seni manusia atau mengenai alam semesta.

            Teknik dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dapat didefinisikan sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri seperti jentera, kenderaan, bangunan dan lain-lain atau kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan lain-lain. Menurut Edward M. Anthony dalam Fowzi Boman (2011), teknik dapat didefinisi sebagai satu muslihat atau strategi atau teknik yang digunakan guru yang mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian tertentu. Mengikut Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam Fowzi Boman (2011) lagi, teknik merupakan pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjag di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Oleh itu, teknik merupakan satu cara yang digunakan oleh pengkaji untuk menyampaikan hasil-hasilnya kepada audience.

Kepengarangan dalam Kamus Dewan edisi keempat (2010) dapat didefinisikan sebagai perihal yang berkaitan dengan pengarang. Kepengarangan mengikut Foucault dalam Pengarang dan Kepengarangan Zaharah Nawawi, dalam tradisi sastera cetak adalah tidak sama dengan konsep mengarang dan kepengarangan dalam tradisi manuskrip sama ada di Eropah mahu pun dunia Melayu. Oleh itu kepengarangan ialah hal-hal yang berkaitan dengan pengkaji termasuklah pengalaman yang terdapat dalam pengarang tersebut.

Maka, teknik kepengarangan dapat didefinisi sebagai cara-cara yang digunakan oleh pengarang termasuklah berkaitan dengan pengalaman-pengalamannya dalam mengolah sesuatu karya, hikayat dan sebagainya.


Aspek Estetika dalam Hikayat Aceh


  • Teknik Pemerengganan
Perenggan adalah unit karangan yang mengandungi beberapa ayat, yang antara satu dan lain mempunyai hubungan dari segi makna dan tatabahasa. Teknik pemerengganan terdiri daripada teknik penyenaraian, teknik percontohan, teknik perbandingan, teknik pentakrifan, teknik kontras masa, teknik falsafah, teknik pengkelasan, teknik soalan-jawapan, teknik jawapan-soalan, teknik soalan-jawapan-soalan, teknik analogi dan teknik urutan ruang.

i. Teknik Soalan Jawapan

Teknik soalan jawapan merupakan teknik pemerengganan yang menyatakan soalan terlebih dahulu dan diikuti oleh jawapan. Contohnya:

Maka kata mereka itu, “Apa bicara kita?” Maka sahut mereka itu, “Jika sehati tuan perdana menteri dengan kami, marilah kami bawa atap seorang seberkas.
                                                                   (Hikayat Acheh, 2001: 29)
ii. Teknik Percontohan

Benda (sebahagian benda-benda) yang sifat-sifatnya (rupa, macam, keadaan) sama dengan semua benda daripada jenisnya, benda yg dapat mewakili benda lain kerana sama sifat­-sifatnya. Contohnya:

... mendudukkan perjagaan dengan segala pelbagai bunyi-bunyian daripada genderang dan gong dan dap dan harbab dan dandi dan kecapi dan bangsi,...
                                                                 (Hikayat Acheh, 2001:45)


  • Retorik
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mendefinisikan retorik sebagai teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Menurut Asmah Hj. Omar (1984), retorik bermaksud kajian tentang penggunaan bahasa secara berkesan. Berdasarkan pada konteks yang bersesuaian, retorik juga dapat diertikan sebagai keupayaan menggunakan bahasa secara berkesan atau ciri-ciri yang berkaitan dengan bahasa. Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) pula menyatakan retorik terbahagi kepada enam iaitu pemerian, penceritaan, penerangan, pendedahan, penghujahan dan pemujukan. Walau bagaimanapun, dalam Hikayat Aceh, terdapat hanya beberapa jenis retorik yang dikenal pasti iaitu:

i. Pemerian

Penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea.Bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Contohnya:
Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta,la maka datanglah kepada hari perjanjian akan nikah itu. Maka sultan memanggil segala hulubalang yang besar-besar dan segala ceteria dan anak segala hulubalang muda-muda dan menghimpunkan segala gajah dan kuda.                                                                         (Hikayat Acheh, 2001:45)

Penulis telah menggunakan teknik pemerian seperti di atas tentang apa-apa yang telah terjadi dengan memberikan fakta tentang apabila adanya sesuatu adat istiadat di istana. Hal ini dapat diperjelas tentang adat pernikahan yang berlaku dalam kalangan kerabat diraja.


ii. Penerangan

Penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Berfungsi untuk memberi penjelasan tentang sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun. Contohnya:

Setelah musta’idlah segala bawaan mereka itu, maka mereka itu pun naiklah ke atas gajah ringga yang berulurkan kamarda(i)n; maka tutup kepala gajah itu daripada seresari yang berjala-jala dan beberapa ekor daripada gajah ringga yang lain.
                                                          (Hikayat Acheh, 2001:43)


  • Stilistik (Gaya Bahasa)
Menurut Hashim Awang dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012), gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya.

Paralelisme merujuk kepada gaya yang mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Ini dapat dilihat dalam Hikayat Aceh yang menyatakan berkaitan dengan pakaian seperti yang terlihat dalam ayat dibawah:

Maka dikurniai Syah ‘Alam dan Sultan Mansur Syah itu daripada kullah (songkok) dan kamar (tali lilit dipinggang) dan puntu (pontoh) bernaga dan daripada pakaian baju yang keemasan dan daripada tarkasy mas dan busur yang berkelah mas dan beberapa daripada payung pakaian dan beberapa daripada unggul-unggul dan beberapa daripada mitar yang memakai pakaian Rumi dan beberapa daripada ra’yat pedang perisai dan beberapa daripada ra’yat yang menjabat busur dan pendahan.
                                                            (Hikayat Aceh, 2001:107)

Pengulangan perkataan yang sama pada akhir klausa yang berturutan dikenali sebagai epistrop. Pengulangan pada klausa akhir dapat dikal pasti berada dalam penulisan Hikayat Aceh seperti kata itu. Contohnya:

Syahdan pada ketika itu juga dititahkan Syah ‘Alam mengikut raja Johor itu. Maka pergilah segala hulubalang dengan ra’yat mengikut raja Johor itu. Hingga tiga hari tiga malam perjalanan maka bertemu dengan raja Johor itu, dilanggar orang Aceh maka cerai-berai.
                                                       (Hikayat Aceh, 2001:108-109)

Polisindeton merupakan pengulangan kata hubung. Dalam Hikayat Aceh terdapat banyak pengulangan kata hubung yang sama iaitu dan seperti petikan di bawah.

Pancagah megerak gajah menta dengan berdiri tatkala gajah itu lari pantas, dan memacu kuda seraya tinggung dan menyentakkan kaki ke lambung kuda kanan dan ke lambung kuda kiri dan belayamkan pedang ke kanan dan ke kiri dan mengikat destar tatkala kuda legat berlari.
                                                             (Hikayat Aceh, 2001:88)

Eufemisme merupakan ungkapan yang halus atau lembut bagi menggantikan ungkapan yang kasar. Dalam Hikayat Aceh, pengarang telah menggunakan beberapa ungkapan yang lembut atau halus seperti perkataan hamil bagi maksud mengandung. Contohnya:

Maka selama Raja Indera Syah duduk di negeri Cina itu maka Puteri Nur Kamarain pun hamil.
                                                             (Hikayat Aceh, 2001:3)

Disfemisme pula membawa maksud yang bertentangan dengan eufemisme iaitu ungkapan kasar bagi menggantikan ungkapan halus dalam pengkaryaan. Contohnya penggunaan perkataan mati dengan bahasa halusnya meninggal dunia, wafat atau mangkat.

Setelah terbantun roma itu maka keluar darah putih daripada liang roma itu tiga titik. Maka tuan puteri itu pun terkejut lalu mati.
 (Hikayat Aceh, 2001:5


Aspek Kepengarangan dalam Hikayat Aceh

  • Teknik Penulisan
Hikayat Aceh dikarang dengan struktur pengkaryaannya yang tersendiri. Ia mempunyai kekuatan dari segi struktur ditambah lagi dengan bahasanya yang tersendiri. Nama pengarang dalam teks Hikayat Aceh ini telah hilang. Hal ini disebabkan bahagian awal dan mukadimah teks telah hilang. Ada sesetengah orang memberi pendapat bahawa pengarang Hikayat Aceh ialah seorang penglipur lara. Hal ini dapat dibuktikan dengan merujuk petikan teks hikayat berikut:

Kata yang empunya riwayat: Maka ada bagi Raja Indera Syah itu seorang isterinya bernama Puteri Nur Kamarain. Maka selama Raja Indera Syah duduk di negeri Cina itu maka Puteri Nur Kamarain pun hamil.
        (Hikayat Aceh, 2001:3)

Kata yang berceritera: Setelah sudah puteri yang ketujuh itu mandi maka tenggahlah mereka itu ke darat masing-masing mengambil bajunya.
       (Hikayat Aceh, 2001:6)

Kata sahibul-riwayat, ya’ni kata yang menceritakan riwayat ini: Maka tatkala sampailah ‘umur Abangta Raja Munawwar Syah yang timang-timangan Johan ‘Alam itu sebelas tahun,...
    (Hikayat Aceh, 2001:73)


Pengarang telah memasukkan pengaruh bahasa Aceh dalam hikayat yang dikarangnya ini. Tidak begitu mudah untuk menentukan pengaruh ini secara terperinci, terutama dalam bidang tatabahasa. Oleh sebab tidak dapat ditentukan sempadan antara apa yang biasa digunakan, tidak dijumpai atau tidak mungkin ada, atau tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Pada umumnya yang sangat jelas ialah pengaruh leksikalnya yang memperlihatkan perkataan-perkataan yang telah dipinjam dari bahasa Aceh contohnya alangan-hadiah (47), antusan-utusan (18,19,23), bawai-bawal(129), jrung-lorong(157), kerusung-daun pisang yang sudah kering(149) dan taham-tahan (146).

Sebagai seorang pengarang yang cerdik, Hikayat Aceh bukan sahaja bersastera tinggi, tetapi cukup dramatik dan klasik dengan bahasanya tersendiri. Selain dari bermacam-macam keistimewaan dalam bidang penulisan dan pembentukan kata. Keistimewaan juga terdapat pada catatan-catatan tepi dalam bahasa belanda. Catatan-catatan tepi yang ditulis dalam bahasa belanda ini menunjukkan kegigihan masyarakat mempelajari karya-karya melayu pada masa itu. Seterusnya ternyata daripada catatan-catatan ini bahawa bantuan daripada orang-orang setempat digunakan dalam kerja pengkajian.

                    

  • Kebijaksanaan Menyampaikan Cerita
Jika dilihat dalam Hikayat Aceh, pengarang dapat dilihat sebagai seorang yang intelek kerana pengarang dapat mengulas salasilah keluarga diraja berdasarkan mitos asal usul raja-raja Aceh. Sebagai contohnya, pengarang mengulas tentang perkahwinan yang berlaku diantara raja-raja Aceh. Hal ini dapat dilihat dalam perkahwinan antara Raja Syah Muhammad yang berkahwin dengan Tuan Puteri Dewi Indera yang berasal daripada buluh betung dan mereka dikurniakan dengan dua orang anak iaitu Sultan Ibrahim Syah dan juga Puteri Sapiah. Hal ini dapat dibuktikan dengan terdapat petikan berikut:

…Maka hairan Raja Syah Muhammad melihat dia. Maka disuruhnya kerat buluh itu dan disuruhnya belah. Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala maka keluarlah dari dalam buluh itu seorang perempuan daripada baludari, terlalu elok rupanya. Maka ada mukanya seperti bulan purnama dan lakunya tiada sebagainya. Maka Raja Syah Muhammad pun terlalu sukacita…
       (Hikayat Aceh,2001:1)

Selain itu, perkahwinan antara Raja Syah Mahmud dengan Tuan Puteri Medini Candera yang berasal daripada kayangan dan mereka juga dikurniakan dengan dua orang anak iaitu Raja Sulaiman dan Puteri Arkiah.

Maka tatkala dilihata ayah bonda raja itu tuan puteri dara yang keinderaan itu datang maka ayah bonda raja itu pun terlalu sukacita. Maka Sultan Munawwar Syah pun mengucap syukur akan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana melihat kedua anak baginda beroleh puteri keinderaan. Maka sultan pun……… Maka pada suatu hari Isnain Raja Syah Mahmud pun nikah dengan Tuan Puteri Medini Candera itu. Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala berapa lamanya maka tuan puteri itu pun beranak dua orang, seorang laki-laki bernama Raja Sulaiman Syah dan seorang perempuan bernama Puteri Arkiah.
     (Hikayat Aceh,2001:6-7)

Selain itu, pengarang juga dilihat sebagai seorang yang berupaya melukis sesebuah watak dengan hidup iaitu pengarang mahir dalam mengulas suasana berlangsungan pernikahan antara Sultan Mansur Syah dengan Puteri Raja Indera Bangsa. Pengarang telah mengambarkan dengan terperinci tentang cara pemakaian baginda berdua. Contoh petikan seperti berikut:

Kata yang berceritera: Maka tatkala Sultan Mansur Syah memakai itu maka Puteri Raja Indera Bangsa pun diperhias oranglah di hadapan Yang Dipertuan, berkain warna unggu bersuji larat bertepi mutia dikarang bersirat tenunan Istambuli berjala-jala mas diutus bercucuk mutia berselang-selang dengan biram, berbaju kesumba murup, berkancing merak mengigal, bermasri mas bepermata, bergelang biram bergenta dan gelang berkancing delima melekah dan gelang bermuka tempa Sailani bepermata pudi campur baur…..buah putat biram bergenta.
       (Hikayat Aceh,2001:46)

Pengarang juga telah mengulas suasana tentang berlangsungnya pernikahan tersebut dengan jelas dan terperinci.Segala gambaran tentang orang- perseorangan juga pengarang telah mengambarkan dengan jelas. Sebagai buktinya:

Maka apakala kedengaranlah bunyi gendering dan selawat itu, maka Syah ‘Alam pun bersabda menyuruh alu-alukan dengan beberapa ratus puan sirih yang beperhiasan. Maka bertemulah [dengan]orang yang mengalu-ngalu itu dengan orang yang mengiringkan sultan itu. Maka diberinya sekalian makan sirih. Maka tatkala sampailah sultan itu ke halaman istana, maka digunamkanlah gajah itu oleh Maharaja ad- Diraja kepada ketumpakan itu. Maka berlarilah segala orang muda-muda menyambuti sultan itu serta mengabur beras kuning bercampur mas guntingan dan mutiara dan dinar. Maka, sultan itu pun disambuti oranglah …
    (Hikayat Aceh,2001: 47)

Terdapat juga pengaruh Islam dalam Hikayat Aceh ini.Pengarang mengutarakan tentang kebesaraan Tuhan. Sebagai contohnya, dengan takdir tuhan, maka, terjadilah sesuatu perkara seperti kejadian Perkasa Alam membunuh kerbau. Sebagai contohnya:

…maka kata Perkasa ‘Alam, “Jika demikian kamu berilah aku pergi seorang diriku. Dengan kurniaan Allah Ta’ala akulah memunuh kerbau itu.”…Syahdan maka diambil Perkasa ‘Alam lembing bernama Harungan Darat sebilah dan bernama Mandura sebilah. Maka Perkasa ‘Alam pun pergilah kepada tempat kerbau itu serta bersikap menyingsing tangan baju. Apabila kerbau itu melihat orang banyak datang, maka ia pun tiada mau bergerak daripada tempatnya dan tiada mau lari. Maka dengan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka ditikam Perkasa ‘Alam kerbau itu serta mengucap : Bismillah ar-Rahman ar-Rahim.” Maka kena kerbau itu antara lembungnya lalu menderus. Maka rebahlah kerbau itu terdangkur-dangkur…
      (Hikayat Aceh,2001:78)

Pengarang juga seorang yang kreatif dan berseni. Hal ini demikian kerana pengarang berupaya untuk menampilkan segala kisah atau gambaran sesuatu peristiwa dengan nyata dan jelas sehingga dapat memberikan gambaran suasana pada masa itu kepada masyarakat pada masa ini. Terdapat pelbagai persepsi yang akan diberikan oleh masyarakat selepas membaca peristiwa tersebut. Antaranya ialah peristiwa Tuan Puteri Raja Indera Bangsa ingin melahirkan puteranya. Cara olahan pengarang dapat memberikan gambaran yang agak jelas iaitu semasa puteri mengerang kesakitan yang teramat sangat. Hal ini dapat dibuktikan dengan petikan seperti berikut:

… Maka dengan takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala genaplah bulannya maka tuan puteri pun hendak berputera, maka tuan puteri pun keluh-kesah pada waktu maghrib itu. Maka yang Dipertuan itu pun segera menyuruh orang menghiasi istana dan memasang kandil mas dan suasa dan beberapa daripada …
      (Hikayat Aceh,2001:50)


  • Penggunaan Teknik Dialog dalam Penceritaan

Pengarang juga menggunakan teknik dialog dalam Hikayat Aceh ini iaitu dialog diantara Syah ‘Alam dengan antusan. Sebagai buktinya:

“Apa kehendak sultan Pertugal menyuruhkan kamu berdua ini kepadaku?”Maka sembah Dong Dawis dan Dong Tumis, antusan yang kedua itu, “Tuanku, kami dititahkan saudara tuanku mengadap Duli Hadirat Tuanku ini, bahawa dari tuanku hendak memohonkan Kota Biram yang di tepi laut itu.
      (Hikayat Aceh,2001: 68)


Aspek Nilai Ilmu dalam Hikayat Aceh

Menurut Superka et al. dalam Robiah K. Hamzah (2011),Pendekatan Penerapan Nilai mendefinisikan nilai sebagai satu peraturan perlakuan standard yang menjadi pegangan ahli masyarakat, ditentukan oleh masyarakat mengikut budaya tersebut. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016), nilai juga diistilahkan sebagai al-qimah dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah.
            Ilmu pula bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016), fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain.


  •  Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016),orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku.
Dalam Hikayat Aceh, terdapat ilmu firasat yang diamalkan oleh masyarakatnya.Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa Mansur Syah bermimpi membuang air seni di atas kota biram yang bernama Buruj. Seluruh negeri dibanjiri dan menjadi laut. Gurunya, Fakih Khoja Manassih mentafsir mimpinya dan mengatakan bahawa dia akan mendapat anak yang akan menjadi raja yang besar.
“Tuanku, adapun takbir mimpi sultan itu Insya – Allah taala (tak dapat) tiadalah daripada zuriat sultan menjadi raja yang maha berkuasa lagi terlalu besar gahnya lagi mengempukkan segala raja-raja daripada segala pihak Timur dan daripada segala pihak Barat. Dan paduka anakanda itulah melimpahkan takhta adilnya dan ialah matahari yang betak (tetap) di bumi musyrik ini.”
                                                                                                 (Hikayat Aceh, 2001:115)


  •  Ilmu Perubatan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perubatan bermaksud perihal berubat, yang berkaitan dengan ubat atau usaha mengubati. Ilmu tentang perubatan turut terkandung dalam Hikayat Acheh. Hal ini dapat dilihat sewaktu Sultan Muhammad dari kerajaan Rum gering. Tabib-tabib, Taimunus Hakim dan Jalus Hakim, memberitahu bahawa ubatnya ialah minyak kapur barus dan minyak tanah.Hasil Bumi yang hanya terdapat di Acheh.

“... Tuanku, akan ubatnya melainkan salitul-kafur dan salitut- turab, yakni minyak kapur dan minyak tanah. ...”
                                                                                                    (Hikayat Aceh, 2001:224)


  • Ilmu Peperangan
Peperangan bersinonim dengan pertempuran, pertumpahan darah, permusuhan, kemelut, krisis, pemberontakan, rusuhan, penderhakaan, dahagi, rana dan yuda. Aceh terkenal sebagai sebuah negara yang kuat kerana bilangan rakyat yang ramai dan bekalan senjata yang banyak. Hal ini dapat dibuktikan daripada petikan di bawah:

“Kerana raja Aceh Dar as-Salam itu raja kuasa dan ra’yatnya dan senjatanya pun tiada terpermanai banyaknya. Mudah-mudahan tiada akan tertahan oleh kita.”
                                                                                                   (Hikayat Aceh, 2001:251)
Kerajaan Aceh juga mempunyai kelengkapan peperangan yang baik. Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa kebangkitan semula Aceh dalam peperangan menentang Ghori.

“ ... Maka ada daripada kapal sepuluh buah dan ghurab yang besar-besar seratus dua puluh dan fusta dua ratus tiga puluh dan sumbuk dan pilang dan dendang dan banting tiada terkira-kirai banyaknya. ... Maka beberapa daripada bedil meriam dan lela dan cecorong dan ispinggar...“
                                                                                                   (Hikayat Aceh, 2001:259)
Pemerintah Aceh turut mahir dalam ilmu peperangan. Mereka menggunakan teknik pengepungan kota untuk melawan pihak musuh yang diperangi. Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa berikut:

“ Maka pada ketika itu datang seorang laki-laki turun. Maka ia pun datang sembah, ‘Tuanku, orang Johor itu hendak larilah berlepas anak isterinya.’ Maka tatkala didengar Syah ‘Alam sembah mereka itu, maka Syah ‘Alam pun memeri titah kepada segala hulubalang menyuruh berkota berkeliling Kota Batu Sawar itu supaya jangan dapat orang Johor itu lari.”
                                                                                                    (Hikayat Aceh, 2001:272)


  • Ilmu Sihir
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), sihir merupakan perbuatan atau kejadian luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi (ghaib) yang melibatkan makhluk halus.
Dalam Hikayat Aceh, terdapat perbuatan khianat yang dilakukan akibat iri hati dengan Sultan ‘Ali Ri’ayat Syah yang menggantikan ayahandanya Sultan ‘Ala ad-Din sebagai sultan Aceh. Perbuatan khianat tersebut dilakukan oleh dua orang saudara kepada Almarhum Sultan ‘Ala ad-Din , iaitu raja di Ghori (Deli) dan raja di Mughal (Pariaman). Kedua-dua raja ini telah berpakat hendak merampas kuasa. Setelah itu, Sultan Mughal berangkat ke Aceh dengan membawa dua orang batak yang bernama Datu Tenggaran dan Datu Negara yang mahir dengan ilmu sihir. Sultan Mughal berkehendakkan mereka untuk membunuh Sultan Ali dengan sihir mereka.
“Hai datu, ada sesuatu kehendakku pada kamu. Dapatkah kamu mematikan sesorang dengan sihirmu itu?”
                                                                                                      (Hikayat Aceh, 2001:59)
Apabila Sultan Mughal telah tiba di Aceh, baginda memerintahkan kedua-dua orang Batak itu untuk menyihir Sultan Ali. Mereka menyihir Sultan Ali dengan menanam sebuah periuk di bawah tempat peraduan Sultan Ali.
“Manakah janjimu dengan daku? Maka kerjakanlah olehmu  sekarang.” Demi ia menengar titah Sultan Mughal demikian itu maka sembahnya, “Diperhamba mohon keluarlah mengerjakan pekerjaan itu.” Maka khalwatlah ia pada sebuah rumah menjagai sihir itu. Maka dalam berapa hari demikian itu pekerjaannya itu maka sultan pun geringlah”
                                                                                                      (Hikayat Aceh, 2001:61)


  • Ilmu Pertukangan Kapal
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), menyatakan maksud pertukangan ialah perihal bertukang atau pekerjaan bertukang.
Dalam Hikayat Aceh, masyarakatnya mahir dalam ilmu pertukangan kapal. Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa Sultan ad-Din Ri’ayat Syah menitahkan panglima Ghori dan Aru, Rahasia Raja dan Tun Bija ad-Diraja untuk membuat kapal.
“ ... pada ketika Sultan ‘Ala ad-Din yang Syah ‘Alam memeri titah menyuruh  bawa setemi pada Bujang Khayyal Allah dan Bujang Dandani kepada panglima Ghori bernama Rahasia Raja dan kepada panglima Aru bernama Tun Bija ad-Diraja menyuruh menyusun ghurab.”                      (Hikayat Aceh, 2001:244)


Aspek Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
Budaya merupakan satu istilah yang mempunyai pengertian yang luas dan tidak terhad kepada satu-satu aspek sahaja. Menurut Wan Abd. Hamid Wan The dan Anisah Zainal Abidin (2006: 462), budaya dikaitkan dengan cara hidup sesuatu masyarakat. Selain itu, budaya juga memperkatakan mengenai setiap perkara yang menjadi amalan manusia. Amalan tersebut boleh merangkumi aspek ilmu pengetahuan, keagamaan, kepercayaan, kesenian, undang-undang, pemerintahan, adat resam dan perkara kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Setiap perkara yang diamalkan tersebut, bukan sahaja mempunyai hubungan dengan kebudayaan yang terdapat dalam kelompok masyarakat sahaja, malah mencerminkan keperibadian yang dimiliki oleh anggota sesebuah masyarakat.

Menurut Syed Naquib al-Attas (1972) dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016: 117), pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Pandangan hidup ini dimiliki oleh masyarakat, bagi menunjukkan tanggapan masyarakat terhadap setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan, khususnya yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam sekitar. Dalam hal ini, pandangan hidup yang dijelmakan melibatkan aspek hubungan antara ketiga-tiga aspek tersebut, sama ada melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa nilai budaya dan pandangan hidup merupakan dua aspek yang saling berkait. Hal ini kerana, setiap amalan yang berlaku dalam kehidupan, pasti akan menimbulkan pandangan daripada masyarakat itu sendiri.


  • Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Hikayat Aceh
Nilai budaya dan pandangan hidup yang terdapat dalam Hikayat Aceh secara keseluruhannya lebih menekankan aspek kehidupan yang berlaku dalam kelompok masyarakat. Berikut merupakan antara perkara yang berkait dengan nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya ini.


  • Budaya Mendalami Ilmu Pengetahuan Agama
Amalan mendalami ilmu pengetahuan agama merupakan antara budaya yang menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat yang dipaparkan dalam hikayat ini. Secara lebih khusus, amalan ini ditunjukkan dalam kehidupan golongan pemerintah yang pada ketika itu sangat mementingkan aspek keagamaan dalam kehidupan. Hal ini ditunjukkan menerusi kehidupan masyarakat pemerintah yang mengamalkan pengajian ilmu agama sejak dari kecil lagi.

Amalan ini dapat dilihat menerusi peristiwa Syah Alam yang menitahkan Raja Indera Purba untuk mengajar cucunya (Raja Munawwar) mengaji Al-Quran pada usia 13 tahun. Contoh peristiwa tersebut dapat dilihat dengan lebih jelas seperti berikut:

Maka sabda Syah ‘Alam, “Hai Fakih Raja Indera Purba, adapun kita mengajar cucu hamba ini dan kita ajar segala kakandanya yang mengiringkan dia itu, supaya bermalu-maluan dan berdahulu-dahulu pada hal menghafaz-hafazkan pengajiannya itu”. Maka tatkala Fakih Raja Indera Purba pun mohon lalu kepada balai pengajian. Maka dengan takdir Allah S.W.T beberapa lamanya maka Pancagah itu pun tahulah mengaji Qur’an dan mengaji kitab.
                                                                                    (Hikayat Aceh, 2001: 79-80)

  •  Mendidik Anak Bermula dari Kecil
Tanggungjawab mendidik anak merupakan antara kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa. Dalam hal ini, usaha terbaik yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak memiliki sifat dan keperibadian yang baik, adalah dengan memulakan usaha mendidik anak pada peringkat yang lebih awal lagi. Hal ini selari dengan peribahasa Melayu yang menjadi ungkapan dalam kelompok masyarakat iaitu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Hal ini bermaksud, jika hendak mendidik anak, didiklah mereka sejak dari kecil lagi. Sekiranya, ibu bapa gagal dalam melaksanakan tanggungjawab ini, dan hanya sedar setelah usia anak meningkat dewasa, maka pasti kesukaran akan dialami dalam mendidik mereka. Situasi ini bertepatan dengan satu lagi peribahasa Melayu iaitu, “sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari”.


  • Amalan Meraikan Tetamu
Amalan meraikan dan memuliakan kehadiran tetamu ini turut menjadi salah satu perkara yang dilakukan oleh masyarakat dalam hikayat ini. Berdasarkan hikayat ini, amalan menyambut tetamu dipaparkan dengan jelas dalam kehidupan golongan pemerintah yang sering menerima kehadiran atau kunjungan tetamu iaitu utusan dari Aceh. Contoh ini, dapat dilihat berdasarkan peristiwa berikut:
Takdir Allah S.W.T. belayarlah kapal dan ghurab itu. Berapa lamanya dilaut maka sampailah mereka itu ke negeri Syahr Nuwi. Maka tatkala kedengaranlah kepada raja Syahr Nuwi khabar antusan Aceh Dar as-Salam datang, maka disuruh raja Syahr Nuwi alu-alukan dengan diberi hormat akan antusan itu.
                                                                                                (Hikayat Aceh, 2001: 88)
Berdasarkan petikan tersebut, maka jelas ditunjukkan amalan memuliakan tetamu yang dilakukan oleh masyarakat dalam hikayat ini menerusi penghormatan yang diberikan kepada utusan Aceh yang bertandang. Penghormatan tersebut merupakan suatu arahan khas yang diberikan oleh raja.


  •  Amalan Memuliakan Tetamu
Amalan memuliakan tetamu membawa kepada pandangan yang meletakkan amalan ini sebagai sesuatu yang dituntut dalam kehidupan, khususnya bagi masyarakat Melayu itu sendiri. Pandangan ini bertepatan dengan pandangan dari sudut agama Islam itu sendiri yang menganjurkan agar setiap tetamu yang datang dilindungi dan dilayan dengan sebaik mungkin. Pandangan ini dikukuhkan lagi menerusi sebuah hadis iaitu:
Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamu yang datang menziarahinya serta mengeratkan silaturahim dengan semangat persaudaraan Islam. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
                                                                      (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa tetamu merupakan individu yang perlu diberi layanan yang sebaiknya. Ketinggian darjat seseorang yang memuliakan tetamunya dilihat begitu istimewa sekali. Hal ini kerana, amalan memuliakan tetamu diberikan taraf yang sama dengan keimanan yang dimiliki oleh seseorang. Dengan perkataan lain, keimanan seseorang tidak akan sempurna jika dia tidak memuliakan tetamunya. Selain itu, perintah memuliakan tetamu juga dinyatakan secara am dan bukan secara khusus. Hal ini bermaksud tidak kira sama ada tetamu yang datang merupakan golongan yang ternama atau tidak, cantik atau tidak, kaya atau miskin, dan yang paling utama sama ada tetamu tersebut muslim atau bukan muslim, semuanya perlu diberikan layanan dan penghormatan yang sepatutnya.


  • Adat Perkahwinan Raja

Amalan menghias istana merupakan satu budaya dalam adat perkahwinan raja yang jelas dipaparkan dalam kehidupan masyarakat dalam Hikayat Aceh. Adat menghias istana ini menjadi suatu tradisi yang diwarisi secara turun- temurun khususnya dalam kelompok masyarakat pemerintah. Berdasarkan karya yang dikaji ini, adat menghias istana begitu jelas dilihat apabila istana dihias dengan indah. Hal ini merupakan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaannya apabila terdapat sesuatu upacara yang diadakan secara besar-besaran. Dalam hal ini, adat menghias istana diperlihatkan dalam upacara perkahwinan raja-raja.
Selain itu, diperlihatkan juga semasa perkahwinan kerabat istana, raja akan dipakaikan dengan pakaian yang indah, dikenakan destar, badan digosok dengan bau-bauan, diarak di atas gajah, bunyi-bunyian dimainkan dan majlis keraian diadakan dengan besar-besaran.
Bukti peristiwa-peristiwa ini dapat dilihat menerusi contoh teks yang terdapat dalam karya ini seperti berikut:
Maka dengan takdir Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka pada hari Khamis maka Syah Alam dan Sultan Abdul Jalil pun menyuruh orang mendudukkan perjagaan serta menyuruh menghiasi istana daripada mengikat tirai daripada seresari dan mukmal dan kartifah yang berukir-ukiran sarwa bagai warnanya dan pelbagai jenis dan mengenakan langit-langit dewangga keemasan dan menyampai kain dua kelim suatu kelim akan tempat peraduan, suatu kelim akan tempat santap dan peranginan.
Setelah sudah Sultan Mansur Syah memakai maka gajah akan kenaikan sultan akan berarak itu pun diperhias oranglah dengan pelbagai perhiasan. Maka gajah itu digunakan oranglah kepada ketumpakan. Maka Sultan Mansur Syah pun dinaikkan oranglah ke atas gajah Ringga Kelambu Perak. Bahawa ada mengepalakan gajah itu Maharaja Ad-Diraja anak Maharaja Lela Putih. Maka ada di punggung gajah yang memangku kampil itu Merah Saraf-Khan. Maka sultan pun beraraklah lingkar suri dengan pelbagai bunyi serta dengan orang mengucap selawat…
                                                                                                  (Hikayat Aceh, 2001: 110

  • Meninggikan kedudukan raja-raja
Berdasarkan kepada adat-adat yang terdapat dalam majlis perkahwinan diraja, maka jelas bahawa kesemua upacara tersebut iaitu adat menghias istana dan pemakaian pakaian yang indah oleh kerabat diraja, dijalankan untuk memperlihatkan kemuliaan dan kedudukan istimewa raja. Dalam hal ini, raja yang bertindak selaku pemerintah dalam sesebuah negara, mempunyai peranan yang penting dalam mengetuai dan mengawal kestabilan negara. Oleh itu, kedudukan penting ini diperlihatkan menerusi adat-adat yang diamalkan semasa majlis perkahwinan berlangsung. Hal ini jelas menunjukkan taraf golongan raja yang lebih tinggi berbanding taraf rakyat biasa.
Justeru, dapat dikatakan di sini bahawa aspek nilai budaya dan pandangan hidup yang tergambar dalam hikayat ini sememangnya mencerminkan amalan yang dilakukan dalam kehidupan masyarakat. Setiap perkara yang menjadi amalan masyarakat dalam hikayat ini membawa kepada satu pandangan yang berfungsi untuk menilai setiap perlakuan yang dilakukan tersebut untuk dijadikan sebagai pedoman kepada masyarakat, khususnya kepada pembaca.






Rujukan
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris. (2012). Bahasa Melayu Penggunaan dan Penguasaan. Tanjong Malim, Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Asmah Hj. Omar. (1984). Bahasa Iklan Perniagaan Satu Kajian Bahasa Retorik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Denys Lombard diterjemahkan oleh Winarsih Arifin. (1986). Kerajaan Aceh; Zaman Sultan Iskandar
           Muda (1607- 1636)
. Jakarta, Indonesia: Balai Pustaka.

Fowzi Boman. (2011). Kota Marudu. Blog dunia pendidikan (tugas rasmi guru sekolah     rendah).                  Diperoleh pada April 3, 2016 daripada                        http://wwwcikgusktimbangbatu.blogspot.com/2011/01/kaedah-dan-teknik  pengajaran.html
Hamka. (2010). Pandangan Hidup Muslim. Shah Alam: Pustaka Dini.
Harun Mat Piah et al. (2006). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa    
             dan Pustaka.
Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2015). Memuliakan Tetamu. Diperoleh pada April 29, 2016 daripada http://www.islam.gov.my/e-hadith/memuliakan-tetamu.
Rahman Shaari. (2001). Persediaan Menulis Sajak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seri Lanang jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris. (2016). Karya
            Agung Melayu
. Tanjong malim: Universiti  Pendidikan Sultan Idris.

Siti Aisah Murad. (1996). Abdullah Munsyi dan Masyarakat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
            dan Pustaka.

Teuke Iskandar. (2001). Hikayat Aceh. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

­­­----. Pengarang dan kepengarangan Zaharah Nawawi. Diperoleh pada April 1, 2016 daripada
            http://studentsrepo.um.edu.my/2256/6/BAB_3.pdf

Wan Abd. Hamid Wan The dan Anisah Hj. Zainal Abidin. (2006). Budaya dan Pemikiran dalam Masyarakat Global Malaysia dan China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


            

No comments:

Post a Comment