Relaxing music

Tuesday, 24 May 2016

TOKOH-TOKOH KARYA AGUNG

Tokoh-tokoh Pengarang Karya Agung Melayu



                                                       

Latar Belakang
Raja Ali Haji merupakan pengarang tersohor yang telah menghasilkan karya agung “Tuhfat al-Nafis”. Beliau dianggap sebagai pujangga Melayu. Beliau bukan sahaja terkenal dengan penulisan karya sejarah semata-mata tetapi juga terlibat dalam penulisan karya ketatanegaraan dan syair yang bersifat agama. Riwayat hidup beliau secara lengkap agak sukar dipastikan. Berdasarkan karya agung “Tuhfat al-Nafis”, penghuraian tentang latar belakang keluarga dan kehidupan beliau dapat dirungkaikan.

Nama sebenarnya ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji. Beliau dilahirkan di Penyengat, Riau pada tahun 1809. Ayahnya merupakan seorang tokoh intelektual tradisional Riau yang pernah melibatkan diri dalam perkembangan politik di sekitar kepulauan Johor-Riau. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa golongan penulis yang muncul di Riau kebanyakannya daripada keturunan Bugis. Suku Bugis ini dikatakan lebih dinamik dan terkemuka berbanding suku Melayu. Mereka bukan sahaja menguasai bidang pentadbiran tetapi juga dalam bidang sosial, agama dan penulisan. Beliau juga bukan sahaja berasal daripada keluarga bangsawan tetapi juga daripada keluarga penyair. Menurut Abu Hassan Sham (1994: 108), bapanya Raja Ahmad ialah pengarang Syair Ungku Puteri, adiknya Raja Saleha  dan Raja Daud juga merupakan pengarang. Anak-anaknya iaitu Raja Hasan merupakan pengarang Syair Burung, Raja Safiah mengarang Syair Kumbang Mengindera manakala Raja Kalthum ialah pengarang Syair Saudagar Bodoh.

Latar belakang pendidikan Raja Ali Haji agak kurang jelas. Beliau dikatakan menerima pendidikan tradisional seperti kanak-kanak islam yang lain iaitu belajar membaca al-Quran dan menerima pelajaran fardu ain. Guru yang memberikan pendidikan awal kepada beliau ialah ayahnya sendiri iaitu Raja ahmad yang sememangnya terkenal sebagai seorang intelek pada zaman tersebut. Seterusnya, beliau menerima pendidikan daripada golongan ulama yang silih berganti datang ke Riau, bermula pada zaman pemerintahan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar lagi. Sewaktu berumur lingkungan 19 tahun, beliau mengikuti rombongan ayahnya ke Makkah dan mendalami pengajian agama di sana. Ekoran daripada pengetahuan agama serta ilmu sufi yang diperoleh, beliau menjadi seorang ulama yang sangat disegani di Penyengat, Riau. Raja Ali Haji juga dianggap sebagai penasihat dan guru agama kepada Yang Dipertuan Muda Riau pada zamannya, walaupun pada ketika itu Penyegat sering dikunjungi oleh ulama luar yang tidak kurang hebatnya.

Peranan dan Kepengarangan                                                                                                                                                      
Peranan dan kepengarangan beliau dalam perkembangan bahasa dan peradaban Melayu dapat dilihat daripada sudut beberapa karya prosanya. Berdasarkan kupasan karya-karyanya yang terkenal seperti Tuhfat al-NafisSilsilah Melayu dan BugisMuqaddimah fi Intizam telah terserlah peranannya sebagai pengarang sejarah dan ahli tatanegara. Beliau juga aktif dalam dunia kepengarangan syair dan lebih menekankan aspek pengetahuan agama dalam karya ini. Kedudukan Raja Ali Haji berhubung dengan karya-karyanya sudah tentu bukan sebagai penyalin atau penyusun tetapi sebagai pengarang. Melalui karyanya Tuhfat al-Nafis, beliau telah mengarangnya dengan indah dengan memperlihatkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan teliti. Menurut Mohd Taib Osman (1965) dalam Seri Lanang Jaya et al. (2016:47), Tuhfat al-Nafis merupakan karya istimewa yang berjaya menganalisis jiwa masyarakatnya dengan masalah dan kebesaran-kebesaran orang yang ditulisnya. Selain itu, karya ini memperlihatkan kepentingan sejarah yang pernah didengar oleh penulisnya sendiri dan dikumpulkan untuk dibukukan. Karya sastera sejarah ini juga lebih membicarakan perihal negara, pergolakan politik, masyarakat, tokoh-tokoh, adat istiadat dan peristiwa yang pernah berlaku. Tujuan karya ini dihasilkan adalah untuk mengembalikan semangat orang Melayu setelah kehilangan hak pemerintahan ekoran daripada kejahilan raja Melayu yang alpa dengan muslihat Bugis serta percaya bahawa pihak Bugis dapat membantu mengembalikan kedaulatan pemerintahan pada ketika itu. Tuhfat al-Nafis juga dikarang secara menyeluruh dengan melihat perkembangan masyarakat Melayu dengan menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku baik dari segi adat istiadat di istana, mengenai kelahiran, perkahwinan, kematian, hubungan dagang dan diplomatik. Hal ini jelas memperlihatkan ilmu yang disampaikan oleh Raja Ali Haji terhadap peradaban Melayu secara halus.

Di samping itu, Raja Ali Haji turut memberikan sumbangan kepada perkembangan bahasa. Karyanya Bustanul Katibin yang ditulis pada tahun 1267H/1850M, memperihalkan kandungan penulisan bahasa Melayu, tatabahasa Melayu yang disesuaikan dengan tatabahasa bahasa Arab.  Beliau juga berbakat dalam mengarang puisi, khususnya syair. Sumbangannya dalam aspek ini telah memberikan perubahan kepada perkembangan bahasa. Kehebatannya dilihat dari sudut pengolahan syair yang dipelbagaikan. Syair-syair tersebut diolah dengan penggunaan inversi, dialog, pengulangan, simile, metafora dan lain-lain. Bakat beliau dalam dunia kepengarangan syair dilihat dari sudut isi dan juga pengolahan karya yang disampaikan kepada pembaca. Antara syairnya yang terkenal ialah Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Gemala Mustika dan Syair Nasihat kepada Anak.





            
                                     Syeikh Abdul Rauf Singkel

Latar Belakang 
Karya-karya bercorak keislaman dihasilkan oleh pengarang-pengarang yang menganut agama Islam dalam masyarakat Melayu tradisional pada zaman permulaan Islam. Kebanyakan karya-karya yang dihasilkan selepas kedatangan Islam merupakan tulisan yang berdasarkan fakta-fakta sahih bersumberkan ajaran al-Quran dan hadis. Abdul Rauf Singkel merupakan salah seorang tokoh pengarang yang terkenal dengan penghasilan karya-karya bercorak keislaman. Menyingkap sedikit latar belakang tokoh ini, nama penuh beliau ialah Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Jawi al-Fansuri al-Singkel dan lebih dikenali sebagai Abdul Rauf Singkel. Selain itu, beliau juga terkenal dengan gelaran Qadi al-Malik al-Adil ekoran daripada jawatan yang disandang iaitu Mufti Kerajaan Acheh Darussalam oleh Sultanah Tajul Alam Safiatuddin sekitar tahun 1665M. Abdul Rauf Singkel juga terkenal dengan pelbagai gelaran lain yang jelas memperlihatkan kewibawaan beliau sebagai seorang yang berperwatakan alim serta tinggi ilmunya. Antaranya, Qutb Rabbani Wahid Bila Thani, Aulia Allah, Wali Tanah Acheh, Aminuddin, Wali Al-Mulukm al-Alim al-Allamah al-Bahr al-Hibr al-Fahhamah. Beliau dilahirkan pada tahun 1024H/1615M  di desa Barus, Wilayah Singkel di Aceh Selatan.

        Mengenai latar belakang pendidikannya, Abdul Rauf terkenal dengan kepintaran dan kecerdasan yang luar biasa sejak kecil lagi. Hal ini menyebabkan beliau telah diterima oleh Syeikh Hamzah Fansuri sebagai anak muridnya, dan menyambung pengajian di Zawiyah Oboh, Simpang Kiri, Singkel. Seterusnya, beliau berkesempatan melanjutkan pengajiannya bersama-sama dengan Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani di Zawiyah Geudong, Samudera Pasai setelah Singkel ditawan dan menjadi wilayah Aceh. Selain itu, beliau juga sempat berguru dengan Syeikh al-Syami, Syeikh Jamaluddin  dan juga mengikut polemik wujudiah yang diperkenalkan oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri. Abdul Rauf Singkel menimba ilmu agama iaitu bidang fiqh, tauhid, tasawuf, tafsir dan hadis selama tempoh 19 tahun. Keintelektualan Abdul Rauf Singkel telah membentuk keperibadiannya sebagai seorang tokoh ulama. Beliau juga telah memanfaatkan ilmu tersebut dengan menghasilkan karya-karya dalam bidang tersebut. Menurut catatan, Syeikh Abdul Rauf Singkel meninggal dunia pada tahun 1693M dan dimakamkan di Kuala Krueng Aceh, Banda Aceh.

Peranan dan Kepengarangan
Ketokohan Abdul Rauf Singkel telah memberikan banyak sumbangan bukan sahaja kepada kemajuan dan kemakmuran Aceh, tetapi turut memberikan impak besar terhadap perkembangan bahasa dan peradaban Melayu. Antara sumbangannya yang terbesar ialah melalui Kitab Tafsir Tarjuman al-Mustafid. Kitab yang dikarang oleh Abdul Rauf Singkel ini membawa maksud ‘petunjuk bagi peraih faedah ilmu’. Kitab ini bukan sahaja tersebar di alam Melayu, bahkan turut dikongsikan bersama hingga ke negara Turki, Mesir dan Mekah dan menjadi rujukan hingga ke hari ini. Di Tanah Melayu, kitab ini menjadi tafsir al-Quran yang lengkap hampir tiga abad sebelum wujudnya kitab-kitab tafsir yang baru. Penulisan kitab ini menggunakan bahasa Melayu lama dan terdapat juga pengaruh bahasa Arab. Istilah-istilah yang terdapat di dalamnya menggambarkan pelbagai bidang ilmu yang telah disusun dengan indah dan bermakna. Abdul Rauf Singkel juga turut membincangkan fadhilat surah sebelum mula mentafsirkan ayat. Beliau menterjemahkan ayat demi ayat walaupun tidak lengkap satu persatu. Melalui penelitian terhadap kitab tersebut, terdapat petunjuk yang diberikan oleh pengarang tentang kitab tersebut.

 Selain itu, kitab ini dilihat sangat istimewa kerana tidak mendukung mana-mana fahaman, mazhab atau pemikiran. Karya ini dikarang dengan indah dengan mempamerkan gambaran kehidupan masyarakat Melayu ketika itu, dan sekali gus menjadi rujukan bahasa, pemikiran dan kebudayaan masyarakat pada zaman tersebut. Penghasilan karya oleh Abdul Rauf Singkel jelas memperlihatkan beliau seorang pengarang yang luas pengetahuannya dan tidak hanya bersandar kepada pegangannya. Sebaliknya, beliau melihat aspek persekitarannya dan berhasrat untuk membantu golongan masyarakat yang jahil ilmu agama pada ketika itu melalui nasihat dan teguran dalam bentuk karya kitab Tarjuman al-Mustafid.





                                                 TUN SRI LANANG 

Latar Belakang

Tun Sri Lanang adalah nama yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Pada ketika itu, ramai bangsawan dan rakyat Johor yang mengikut beliau ke Aceh dan dikatakan seramai ribuan orang yang mengikut beliau ke sana. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya menjadikan negeri Samalanga sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di timur Aceh dan sehingga kini pun kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan bagi sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu agama.


Peranan dan Kepengarangan


Tun Sri Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin bermula pada tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu di samping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau disifatkan sebagai seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek penggunaan gaya bahasa dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya terunggul beliau ini berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan karya tersebut seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban Tamadun Islam Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.

Karya ini juga dianggap sebagai karya yang begitu indah dan menarik dari segi gaya bahasa dan persuratannya. Kandungannya yang meliputi unsur kelucuan, kebijaksanaan, sindiran, perlambangan, peribahasa, bidalan, pantun seloka, dan gurindam yang dikarang dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Arab, Jawa dan lain-lain dengan begitu teliti dan kemas. Namun, ia juga tidak terlepas daripada ‘Polemik Sejarah’ kerana naskhah tersebut didakwa bukan naskhah asal karangan Tun Sri Lanang tetapi kandungannya adalah daripada Hikayat Melayu yang diberikan oleh Tun Bambang Sri Narawangsa, anak Sri Askar Raja, Patani. Hikayat itu dikatakan telah dikarang dan disusun semula oleh Tun Sri Lanang atas titah Raja Abdullah, iaitu adinda Sultan Alauddin Riayat Shah III yang akhirnya menjadi Sulalatus Salatin. Sejarah penting berkaitan arahan dan galakan oleh Raja Abdullah kepada Tun Sri Lanang untuk menulis dan mengarang tentang Sejarah Melayu ada tercatat dalam kitab tersebut sebagai mukadimahnya. Dengan titah Raja Abdullah tersebut, dapat disimpulkan bahawa penulisan kitab Sulalatus Salatin telah dimulakan pada 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah bersamaan Mei 1612 ketika itu Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja.

Tun Sri Lanang seperti yang dikenali adalah seorang sasterawan Melayu yang terkenal pada zaman kesultanan Melayu bersama karya agungnya iaitu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengarang dan meyusun kembali Hikayat Melayu di atas titah Raja Abdullah pada tahun 1612 dan berjaya menyiapkannya pada tahun 1612. Kepengarangan beliau tidak dapat disangkal lagi dengan wujudnya pelbagai fakta-fakta dan bukti-bukti yang menyokong keaslian dan ketulenan beliau sebagai penulis asal kitab Sulalatus Salatin ini. Kebijaksanaan dan kepintaran beliau dalam ilmu mengarang jelas terpancar dalam karyanya apabila beliau berjaya menyampaikan mesej dan pengajaran melalui kata-kata yang tersusun indah dalam bait-baitnya serta imaginasi lakaran peristiwa yang dilukis indah dalam kitab tersebut. Maka beliau tidak seharusnya dianggap hanya sebagai penyalin Hikayat Melayu bahkan sebagai orang yang mengarang, menulis, memperbaiki dan mempertingkatkan mutu karya awal sehingga terhasilnya karya agung dalam catatan sejarah Melayu yang dikenali umum dengan nama Sulalatus Salatin. Dengan itu terserlahlah ilmu kepengarangan dan persuratan Tun Sri Lanang dalam memartabatkan sejarah kegemilangan masyarakat Melayu seperti yang tercatat dalam karya agungnya itu.




                                                     ABDULLAH MUNSYI

Latar Belakang

Menurut Zahari A. Rashid (2008), Abdullah Munsyi telah dikhabarkan oleh para sejarahwan bahawa terdapat tiga tahun kelahiran Abdullah iaitu pada tahun 1795, 1796 dan 1797. Beliau telah dilahirkan di Kampung Pali atau lebih dikenali sebagai kampung Masjid ataupun Kampung Masjid keling.  Tarikh kelahiran Abdullah Munsyi tidak dapat disaihkan kerana  beberapa bukti daripada rakannya dan bukti daripada penulisannya memberikan tarikh yang berbeza. Menurut J.T. Thomson dalam buku Zahari A. Rashid (2008) , beliau merupakan anak murid Abdullah Munsyi dan juga sahabatnya telah menyebut bahawa dalam manuskrip awal yang diberikan kepadanya, Abdullah menyebut bahawa ketika selesai menulis Hikayat Abdullah beliau sudah berumur 46 tahun. Namun Abdullah telah membuat pindaan sebelum dicetak dan membuang pernyataan umurnya dalam penulisannya itu.
           
            Abdullah juga menyebut tarikh Hijrah 1211: “Kepada tarikh sanan 1211, kepada tujuh hari bulan safar, hari ahad siang ketika syamsu, iaitu lepas daripada delapan bulan Inggeris mengambil Melaka dari tangan Belanda”. Beliau menceritakan tentang ayah dan adik beradiknya kemudian menyambung “… pada saat yang tersebut di atas itu maka aku pun jadilah.” Tarikh Hijrah 1211 bersamaan dengan masihi 1796. Bukti ini adalah menunjukkan bahaw tarikh kelahirannya adalah pada tahun 1796 semasa Inggeris  sampai ke Melaka dan bertukar tangan pada 21 ogos 1795 dan setelah lapan bulan kemudian beliau telah dilahiran sekitar bulan April tahun 1796.


Peranan dan Kepengarangan


A.R.B. Etherton (1984) mengatakan bahawa Abdullah Munsyi mempunyai sumbangan besar dalam menulis surat-surat perjanjian dan surat-surat kiriman. Beliau juga menterjemahkan  buku-buku daripada bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Tamil.abdullah Munsyi mendapat tempat dalam kesusasteraan Melayu kerana diakui dan diterima oleh para sarjana melayu sebagai pelopor kesusateraan Melayu moden. Tumpuan penulisan atau cerita beliau adalah berbeza dengan naskah-naskah melayu lama. Hal ini kerana Abdullah tidak menyebut tentang cerita-cerita khayalan atau dongengan. Bahan penulisannya juga tidak menyentuh tentang alam gahib, mitos , dewa-dewa, kuasa-kusas luar biasa atau kepercayaan tahyul masyarakat.

            Menurut Zahari A. Rashid pula,  Abdullah dianggap sebagai seorang wartawan yang merakamkan pengalaman hidup dan kisah-kisah berlaku dalam masyarakat sekelilingnya. Bahan yang ditulis oleh beliau telah membezakan antara karya Melayu Lama dan penulisan Melayu moden. Abdullah Munsyi telah diberi penghormatan oleh golongan sasterawan Melayu sebagai ‘Bapa Kesusateraan Melayu Moden” (Datoek Besar & Roolvink 1953; Kassim Ahmad 1970; Traill, 1981; Hamzah& Siti Aisah 2004). Para sejarahwan bersetuju bahawa  beliau telah meninggal pada tahun 1854. 

PANTUN MELAYU BINGKISAN PERMATA

Pengenalan
Perkataan puisi berasal dari bahasa Belanda, poesie atau perkataan Latin, poetess yang seerti dengan perkataan, poetry dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini puisi dapat ditakrifkan sebagai karangan berangkap yang mementingkan sajak irama dan suku kata. Puisi berbeza dengan prosa kerana mempunyai ciri-ciri khas seperti mengandungi irama, sukar diterjemah dan bersifat konkrit. Puisi juga lebih berusaha menghadirkan suasana daripada melukiskan situasi, yang walaupun hal-hal itu terdapat  juga dalam prosa tetapi kadar intensitinya jauh lebih tinggi pada puisi (Ismail Yusoff, 2008).

            Menurut Ismail Yusoff (2008), puisi Melayu Lama ialah puisi yang lahir dari masyarakat Melayu Lama sebelum menerima tamadun Barat. Bentuk-bentuk puisi lama yang masih wujud hingga sekarang adalah seperti peribahasa, pepatah dan perbilangan adat, jampi serapah, teka-teki, nyanyian rakyat, pantun, syair, gurindam, seloka, bahasa berirama, masnawi, rubai, kitaah, ghazal, nazam dan sebagainya.

Latar Belakang Pantun
Menurut Ismail Yusoff (2008), pantun adalah puisi atau senandung rakyat yang paling popular dalam kalangan masyarakat Melayu Lama. Selain itu, pantun sangat terkenal dalam pelbagai kesusasteraan Nusantara. Di Indonesia umpamanya, pantun terdapat dalam sastera Aceh, Banjar, Batak, Minangkabau, Sasak, Ternate dan sebagainya. Dalam kalangan orang Jawa pantun dikenali sebagai parikan atau wangsalan.

Asal perkataan pantun dikatakan berasal daripada pelbagai bahasa yang terdapat di Nusantara seperti toen (bahasa Sunda),tuntun (bahasa Pampanga), tonton (bahasa Tagalog), tuntun,atuntun,matuntun (bahasa Jawa), panton (bahasa Bisaya) dan pantun (bahasa Toba). Pantun Melayu ialah hasil sastera rakyat yang tertua disebarkan secara lisan. Pantun merupakan bahasa rangkap yang mengandungi unsur-unsur keindahan seperti baris-baris setiap rangkap, banyak suku kata, jenis rima akhir, pembayang maksud, asonansi, kata-kata yang indah, ringkas dan padat.Pantun juga digunakan secara puitis dalam komunikasi seperti majlis tertentu, upacara dan sindiran. Pantun juga merupakan puisi yang dapat membela kehalusan budi bahasa dan kelembutan jiwa orang Melayu untuk menyampaikan sindiran atau teguran (Mohd Rosli Saludin,2014).

 Ciri-ciri Pantun
Pantun merupakan salah satu warisan puisi Melayu, yang dilihat tidak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Pantun dilihat sebagai karya yang mempunyai mesej-mesej tertentu yang cuba untuk diketengahkan kepada masyarakat. Proses penyampaian mesej-mesej ini disulam dengan bahasa-bahasa yang indah menerusi diksi yang bersesuaian. Pantun kebiasaannya terbina dalam bentuk rangkap yang mempunyai pembahagian yang tertentu. Selalunya, pantun terdiri daripada dua, empat dan enam rangkap, namun boleh juga mencecah sehingga empat belas rangkap.
 Bahagian awal atau separuh daripada rangkap pertama dalam pantun merupakan bahagian pembayang, manakala bahagian yang selebihnya berfungsi sebagai maksud bagi sesebuah pantun. Selain itu, rima akhir bagi setiap baris dalam pantun juga mempunyai bentuk yang tertentu. Bentuk rima yang selalu digunakan dalam penciptaan pantun tergolong dalam dua jenis yang utama iaitu a,a,a,a, dan a,b,a,b. Dalam aspek suku kata pula, setiap baris dalam pantun terdiri daripada sembilan atau sepuluh suku kata. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga sesetengah bentuk pantun yang mempunyai sehingga dua belas suku kata dalam sebaris.
Seni penciptaan pantun juga tidak dapat dipisahkan dengan ciri-ciri emosi yang dibawa menerusi pemilihan kata-kata yang memberi kesan kepada para pembaca. Dalam hal ini, kesejajaran pemilihan kata yang dapat membangkitkan pemahaman pembaca terhadap mesej yang cuba disampaikan dalam pantun, secara tidak langsung menunjukkan bukti bahawa pantun merupakan alat yang berkesan dalam menghibur, serta memberikan input berguna kepada para pembaca.


Aspek Pemikiran dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata
Menurut Siti Aisah Murad (1996:11), sesebuah karya yang dihasilkan adalah berdasarkan jalinan pengalaman, sikap dan pemikiran pengarangnya. Pemikiran membawa maksud idea atau isi yang dibawa oleh pengarang yang dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi serta kreativiti untuk menjelmakan persoalan dan tema dalam sesuatu karya. Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2013:307), idea yang dimaksudkan adalah penglahiran keupayaan minda dan hati tentang ilmu, juga tanggapan terhadap segala persoalan yang melingkupi kehidupan seharian. Penglahiran sesuatu idea dapat dilihat melalui bahasa.  Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa menjadi identiti bagi sesuatu bangsa yang membentuk jati diri penuturnya dalam lingkungan budaya masyarakat dan sesebuah negara.
           

  •        Pemikiran tentang Hubungan Manusia dengan Pencipta
Agama mempunyai pentakrifan yang luas iaitu merujuk kepada satu sistem kepercayaan yang kohensif dan menekankan aspek ketuhanan. Agama mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan manusia iaitu dapat membentuk nilai, panduan dan pembimbing yang dapat mendorong manusia untuk membina hidup yang sempurna. Pegangan agama dalam kehidupan secara tidak langsung mendidik manusia untuk memelihara hubungan antara manusia dengan Tuhan. Oleh hal yang demikian, ajaran agama dapat disampaikan bukan hanya melalui dakwah secara lisan tetapi juga boleh disebarkan melalui tulisan.

            Dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, aspek pemikiran yang dapat dilihat ialah berkaitan hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya. Persoalan berkaitan agama jelas diperlihatkan oleh pengarang dalam pantun iaitu, menunjukkan isu-isu kehidupan manusia yang perlu berlandaskan ajaran agama. Aspek pemikiran berkaitan agama lebih memberikan penekanan terhadap tuntutan akidah yang perlu dipatuhi oleh umat yang beragama Islam. Selain itu, terdapat juga pemikiran yang membawa maksud berlawanan daripada tuntutan agama. Sesungguhnya, tujuan utama penyampaian pemikiran yang berlawanan dengan syariat agama adalah untuk memberikan pengajaran kepada manusia. Berikut merupakan pantun yang menggambarkan pemikiran tentang tema keagamaan:
Pantun 1
            Buat bangsal di tengah hutan
            Tebaslah hutan buat halaman
            Di tepi halaman menanam kandis
            Di selang dengan pokok papaya
                        Biarlah sabar dengan perlahan
                        Itulah tanda tuan beriman
                        Tidak patah digoncang iblis
                        Akhirnya tuan menang berjaya.                  

         (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:82)

Pantun di atas             bertemakan keagamaan yang menyampaikan maksud setiap perlakuan manusia perlu disertakan dengan kesabaran. Hal ini demikian kerana, kehidupan manusia di dunia diberikan dugaan dan ujian yang berbeza-beza oleh Allah SWT. Setiap ujian yang menimpa menunjukkan kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan menguji sejauh mana kekuatan iman hamba-Nya. Oleh itu, kita janganlah berputus asa dengan ujian tersebut kerana setiap ujian yang diturunkan setimpal dengan kemampuan diri kita. Ringkasnya, melalui kesabaran manusia dapat mencapai kejayaan.
Pantun 2
            Menanam kelapa di Pulau Bukum
            Tinggi sedepa sudah berbuah
            Adat bermula dengan hukum
            Hukum bersandar di Kitab Allah.                                   
                                                                     (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:89)
           
Pantun di atas menjelaskan maksud segala adat yang diamalkan oleh umat Islam khususnya masyarakat Melayu adalah berdasarkan panduan kitab al-Quran. Setiap hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat Melayu perlu berlandaskan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama.
Pantun 3
            Asam kandis asam gelugur
            Ketiga asam si riang-riang
            Menangis mayat di pintu kubur
            Teringat badan tidak sembahyang                           

                                                                   (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:137)


            Pantun di atas menjelaskan bahawa kehidupan manusia di dunia akan menentukan balasan manusia di akhirat kelak. Kehidupan di dunia akan dinilai dan dihitung pada hari pembalasan. Oleh hal yang demikian, agama Islam menuntut agar umatnya menjaga perlakuan di dunia sama ada dari segi ibadah, akidah dan juga akhlak. Ringkasnya, setiap manusia akan menerima pembalasan yang setimpal sama ada yang baik mahupun yang buruk.
Pantun 4
            Kemumu di dalam semak
            Jatuh melayang selaranya
            Meski ilmu setinggi tegak
            Tidak sembahyang apa gunanya                               

                                                                   (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:159)


            Pantun di atas membawa maksud tiada guna mempunyai ilmu yang tinggi sekiranya ibadah wajib iaitu solat ditinggalkan. Hal ini demikian kerana, solat merupakan ibadah utama yang akan dinilai pada hari pembalasan. Di samping itu, solat juga dianggap sebagai tiang agama. Sekiranya tiang ini diabaikan maka akan musnahlah apa yang di bina. Begitu juga dengan kehidupan manusia, sekiranya hanya ilmu di dunia yang dicari tetapi mengabaikan ilmu akhirat, maka manusia akan jauh daripada agamanya.


  • Pemikiran tentang Hubungan Sesama Manusia
Budi bahasa ialah unsur yang penting dalam kehidupan sesama manusia yang diasaskan daripada tingkah laku dan penggunaan kata-kata yang dipilih dengan cermat. Menurut Mohd Januri (2013) dalam Noriati Rashid (2007:23), budi bahasa merangkumi pekerti, akhlak, watak, dan kelakuan yang baik, sopan, pemurah, tutur kata, tatatertib, pemikiran, kebijaksanaan, perbuatan kebajikan dan perasaan baik terhadap orang lain yang tercantum dalam frasa nilai murni atau akhlak mulia.

Telah ditekankan bahawa budi bahasa itu bukan sekadar penggunaan bahasa semasa percakapan semata-mata malahan konsep budi bahasa turut memberatkan perlakuan dan tingkah laku seseorang semasa berhadapan dengan orang lain. Berikut merupakan pantun yang menggambarkan pemikiran hubungan sesama manusia melalui aspek budi bahasa:
Pantun 1
            Batu kecubung warna ungu
            Ditatah berlian batu bermutu
            Adat Melayu menyambut tetamu
            Hamparkan tikar lebarkan pintu.                                
                                                
                                                         (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:80)

Berdasarkan pantun di atas, maksud yang ingin disampaikan ialah berkaitan amalan meraikan dan memuliakan tetamu. Amalan memuliakan tetamu amat sinonim dengan adat masyarakat Melayu iaitu memberikan penghormatan kepada tetamu yang bertandang. Melalui amalan ini dapat dilihat penerapan unsur berbudi bahasa sesama manusia. Hal ini demikian kerana, perbuatan meraikan tetamu dapat menjaga hubungan sesama manusia dan secara tidak langsung dapat menjamin kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
Pantun 2
            Cahaya hidup menyegar padi,
            Ayam berkokok mengikat tuah
            Jikalau hidup tidak berbudi
            Umpama pokok tidak berbuah.

                                                                   (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:110)
           
            Pantun di atas menjelaskan maksud kerugian orang yang tidak berbudi dalam masyarakat. Perlambangan atau simile ‘Umpama pokok tidak berbuah’ digunakan bagi menggambarkan orang yang tidak berbudi dalam kehidupannya. Oleh itu, jelaslah bahawa seseorang yang berbudi akan mendapat manfaat berbanding orang yang tidak berbudi. Budi yang dihulurkan tidak semestinya dalam bentuk material bahkan nilai budi bahasa juga merupakan elemen hidup berbudi. Justeru, kehidupan seseorang akan lebih bermakna jika dapat menaburkan budi terhadap masyarakat sekeliling.
Pantun 3

            Ayam hutan terbang ke hutan
            Sangkut sikit tali di kaki
            Darah bukan daging bukan
            Sangkut sikit kerana budi.                                          

                                                                   (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:102)

            Pantun di atas menjelaskan bahawa, manusia dapat mewujudkan hubungan yang baik melalui budi yang ditabur walaupun tiada pertalian darah. Hal ini membuktikan bahawa amalan berbudi sesama manusia sangat penting kerana budi dapat menjamin kemakmuran hidup manusia.



  • Hubungan Manusia dengan Diri Sendiri
Hubungan manusia dengan diri sendiri dapat dilihat melalui pembentukan akhlak dan ciri keperibadian sama ada secara dalaman atau luaran. Ringkasnya, pemikiran yang ingin disampaikan adalah berkaitan tanggungjawab seseorang terhadap dirinya sendiri. Manusia bertanggungjawab untuk menentukan kehidupannya sama ada ingin memilih kehidupan yang baik atau sebaliknya. Oleh itu, penjagaan diri sangat dituntut dalam agama kerana keperibadian seseorang dapat menentukan diri sama ada memilih jalan kebaikan atau jalan kejahilan. Berikut merupakan beberapa pantun yang membawa pemikiran tentang kepentingan menjaga diri sendiri:

Pantun 1
            Jangan diraba sarang lebah
            Lebah beribu berani mati
            Jangan cuba untuk bermegah
            Kerana itu perkara keji.                                             
                                                                   (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:153)

            Pantun di atas menjelaskan maksud perbuatan bermegah diri merupakan perkara yang keji. Individu yang mengamalkan akhlak ini hanya akan merugikan diri sendiri. Akhlak ini juga dapat dikaitkan dengan individu yang sombong dan terlalu menunjuk-nunjuk tentang kelebihan yang ada pada dirinya. Akhlak ini perlu dielakkan kerana akan memberikan kesan buruk kepada diri sendiri. Sebagai contoh, individu yang bermegah diri akan mudah lalai dalam setiap pertuturannya, bahkan akan menjejaskan hubungan dengan orang disekelilingnya.
Pantun 2

Ambil bertih dari hulu
Isi mari di dalam balang
Bersihkan halaman kita dulu
Baru bersihkan halaman orang.                                
                                                      (Pantun Melayu Bingkisan Permata,  2001:541)


Pantun di atas menjelaskan maksud, setiap individu perlu menilai diri sendiri terlebih dahulu sebelum menilai orang lain. Ringkasnya, manusia perlu memelihara keperibadian diri agar dapat melahirkan individu yang berpekerti mulia. Sekiranya individu sedar akan kelemahan diri nescaya tidak akan wujud individu yang merendahkan keperibadian orang lain.



  •  Hubungan Manusia dengan Alam

Dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, pengarang turut memperlihatkan pemikiran antara kehidupan manusia yang mempunyai hubungan dengan makhluk lain. Pengarang memberikan penekanan terhadap hubungan manusia dengan alam. Hal ini demikian kerana, manusia hidup dikelilingi dengan alam semesta. Jadi, pengarang menyampaikan pemikirannya melalui pantun yang mengaitkan unsur alam dengan kehidupan manusia. Berikut merupakan pantun berkaitan alam yang mempunyai hubungan dengan kehidupan manusia:           
Pantun 1

            Permata jatuh di dalam rumput
            Jatuh di rumput gilang-gemilang
            Kasih umpama embun di rumput
            Datang matahari nescaya hilang.                                   
          (Pantun Melayu Bingkis Permata, 2001:508)

            Dalam pantun di atas, penulis telah menggunakan unsur flora sebagai simbol kepada kehidupan manusia. Pantun di atas menggambarkan perihal hubungan kasih sayang antara manusia yang tidak kekal. Klausa ‘Kasih umpama embun di rumput’ membawa maksud perasaan kasih sayang boleh hadir seketika seperti hadirnya embun pada pagi hari dan boleh hilang selepasya. Hal ini digambarkan pada klausa terakhir iaitu ‘Datang matahari nescaya hilang’. Penggunaan unsur flora ini secara tidak langsung mempunyai perkaitan dengan kehidupan manusia.
Pantun 2

            Terang bulan menggali ubi
            Ubi digali berkarung-karung
            Tuan di awan saya di bumi
            Berkirim surat di mulut burung.                                 

                                                       (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:583)

Pantun di atas memperlihatkan penggunaan unsur flora dan fauna yang menjadi simbol kepada kehidupan manusia. Pengarang telah menerapkan unsur flora sebagai perlambangan terhadap setiap perbuatan manusia. Pantun di atas menjelaskan maksud kehidupan manusia yang terpisah dengan jarak kemudian berhubung melalui surat. Frasa ‘awan’ memperlihatkan maksud jarak yang jauh antara manusia.



  • Pemikiran tentang Ilmu pengetahuan
Ilmu pengetahuan amat dititikberatkan dalam kehidupan manusia. Manusia yang berilmu dapat menjelmakan keperibadian diri yang mulia. Hal ini demikian kerana, menuntut ilmu adalah selaras dengan objektif Islam. Jika seseorang meringankan ilmu, maka individu tersebut akan mengalami kesusahan dalam hidup. Manakala jika individu yang berilmu tidak memanfaatkan ilmu tersebut, maka dia akan mengalami kerugian pada diri sendiri. Hal ini demikian kerana, setiap ilmu yang dipelajari tidak akan membawa sebarang kerugian kerana ilmu boleh dimanfaatkan kepada diri sendiri dan juga orang lain.  Oleh itu, untuk memperoleh dan mendalami ilmu, kita perlu berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri. Berikut merupakan pantun-pantun yang menggambarkan kepentingan ilmu pengetahuan.
Pantun 1

            Anak ayam turun sepuluh
            Mati satu tinggal sembilan
            Tuntut ilmu bersungguh-sungguh
Satu jangan ketinggalan.                                            

                   (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:133)

Pantun di atas membawa maksud kita perlu menuntut ilmu secara bersungguh-sungguh. Bidang ilmu sangat luas, maka kita perlu memanfaatkan peluang yang ada dengan menuntut pelbagai ilmu yang ada sama ada ilmu dunia mahupun ilmu akhirat.
Pantun 2

            Apalah tanda batang tebu
            Batang tebu halus uratnya
            Apalah tanda orang berilmu
            Orang berilmu halus sifatnya.                                    

                   (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:133)

            Pantun di atas menerangkan maksud orang berilmu yang mempunyai pekerti mulia. Melalui ilmu, manusia dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Oleh itu, ilmu pengetahuan yang ada dalam diri seseorang secara tidak langsung dapat melahirkan keperibadian mulia dalam diri.
Pantun 3

            Lapan belas hari bulan rejangnya jampuk
            Jampuk berbunyi mendayu-dayu
            Rindukan bulan tinggi di awan
            Tuntutlah ilmu janganlah jemu
            Kerana ilmu satu panduan.                                           
                   (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:162)

            Pantun di atas menyeru masyarakat untuk menuntut ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh janganlah diabaikan tetapi manusia perlu memanfaatkan ilmu yang ada. Hal ini demikian kerana ilmu yang diamalkan akan memberikan manfaat yang besar kepada kehidupan manusia kerana ilmulah yang akan menjaga manusia daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Ringkasnya, ilmu pengetahuan akan menjadi panduan dalam hidup manusia.


Aspek Falsafah dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata

Falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Mekanisme falsafah secara amnya dapat diertikan sebagai memikirkan sesuatu dengan mendalam. Dengan itu, falsafah ialah membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar dan betul terhadap sesuatu perkara.

          Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016) menyatakan bahawa bidang falsafah dapat dibahagikan kepada falsafah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Falsafah etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Falsafah metafizika pula memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Sejarah pula, persoalan yang berkaitan dengan makna silam, seperti tamadun dan keruntuhan. Sosial adalah gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Ekonomi ialah sistem pendapatan dan pengurusan harta benda. Kosmologi ialah membincangkan tentang situasi persekitaran dan alam sarwajagat. Politik ialah aplikasi dan tujuan pemerintahan sesebuah negara. Logik ialah pemikiran yang rasional, taakulan dan sebab musabab. Falsafah dapaat disimpulkan sebagai suatu kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam.


  • Falsafah Agama dan Pengajaran
Dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini menghuraikan mengenai falsafah keagamaan dan pengajaran. Pengkaji buku ini iaitu Harun Mat Piah memberi gambaran mengenai falsafah keagamaan dan pengajaran yang menjadi panduan kepada masyarakat. Pantun Melayu: Bingkisan Permata menghuraikan mengenai keagamaan iaitu tentang kemuliaan dan kebesaran  Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhamamad. Tuhan adalah mulia dan suci, Tuhan juga tempat kita untuk berharap dan menjadi sandaran setiap masa. Melalui pantun yang dikemukakan dapat dilihat kebesaran Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad.  Contohnya:
Pantun 1

Banyak bulan perkara bulan
            Mana nak sama bulan puasa
            Banyak Tuhan perkara Tuhan
            Tidak semulia Tuhan Yang Esa.
                                                                  (Pantun Melayu: Bingkisan Permata 2001: 138)
Pantun 2
                       
            Banyak hari antara hari
            Tidak semulia hari Jumaat
            Banyak nabi antara nabi
            Tidak semulia Nabi Muhammad.
                                                                  (Pantun Melayu: Bingkisan Permata 2001: 139)

Selain itu, terdapat falsafah pengajaran yang gambarkan dalam karya agung ini iaitu berjaga-jaga dalam mengeluarkan perkataan kerana kata-kata yang dikeluarkan jika ditokok tambah akan menjadi fitnah. Di samping itu, kita hanya perlu berkata-kata jika perlu dan sebaiknya berfikir sebelum mengeluarkan apa-apa perkataan daripada mulut kita. Terdapat juga pantun yang memberikan falsafah pengajaran iaitu jangan mengata orang lain takut nanti akan berbalik kepada diri sendiri.  Contohnya:
Pantun 3
Alam pura Raja Mahkota
Pergi berperang ke negeri  Basanah
Ingat-ingat mengeluarkan kata
Zaman sekarang banyak fitnah.

                                                                  (Pantun Melayu: Bingkisan Permata 2001: 132)

Pantun 4
Bawa aksin terlalu indah
Ombak bersusun berlari-lari
Jika berkata yang tidak berfaedah
Terlebih baik mendiamkan diri.
                                                                  (Pantun Melayu: Bingkisan Permata 2001: 139)


  • Falsafah Kosmologi
Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini turut mengetengahkan mengenai falsafah kosmologi iaitu mengenai situasi persekitaran dan alam sarjawagat. Pantun yang tedapat dalam buku ini banyak menghuraikan mengenai alam persekitaran terutamanya dalam Pantun Bingkis Bicara: Perantauan dan Nasib. Dalam pantun ini banyak menghuraikan mengenai keadaan persekitaran dan alam sarwajagat seperti laut, gunung, sungai dan ladang. pantun-pantun ini banyak menggunakan keadaan persekitaran atau alam sekeliling bagi menyampaikan maksud. Keadaan persekitaran dan  sifat-sifat alam sekeliling menjadi gambaran perasaan dan kehidupan yang dihadapi si perantau. Contohnya:    
Pantun 1
Anak tiung atas rambutan
Berbunyi bertongkat paruh
Berhenti kapal di lautan
Tiba angin belayar jauh.
                              (Pantun Melayu: Bingkisan Permata 2001: 242)
Pantun 2
Awan berarak bergulung-gulung
Menderu angin dari seberang
Sudah nasib dilambung untung
Badan tercampak di rantau orang.
                              (Pantun Melayu: Bingkisan Permata 2001: 243)
Pantun 3
Bentang tikar duduk menjahit
Jahit baju anak Melayu
Gunung terbentang dipandang ghaib
Bertambah pula hati sayu.
                              (Pantun Melayu: Bingkisan Permata 2001: 244)


2.2.3 Falsafah Sosial
Falsafah sosial adalah gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Harun Mat Piah mengetengahkan falsafah mengenai kehidupan manusia yang senantiasa terjadi iaitu perasaan kecewa. Seringkali perasaan kecewa dikaitkan dengan cinta yang ditolak atau tidak berbalas. Dalam pantun Cinta Terhalang menunjukkan falsafah sosial iaitu kehidupan manusia yang pastinya akan berdepan dengan perasaan gembira dan kecewa dalam sesebuah perhubungan. Kebanyakan pantun yang terdapat dalam bahagian ini berkisarkan tentang cinta yang terhalang atau tidak diterima dan akhirnya kecewa. Contohnya:
Pantun 1
Anak punai anak merbah
Sambil terbang membawa sarang
Anak sungai lagi berubah
Inikan pula hati orang.
                                                                 (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 456)
Pantun 2
Asal kapas menjadi benang
Asal benang menjadi kain
Sudah terlepas jangan dikenang
Sudah menjadi orang lain.
                                         (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 259)
Pantun 3
Berapa tinggi gunung Ledang
Tinggi lagi asap api
Berapa sedih mata memandang
Sedih lagi rasa di hati.
                                                                 (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 262)


  • Falsafah Metafizika
Dalam Pantun Melayu; Bingkisan Permata ini turut mengetengahkan falsafah metafizika yang memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Terdapat pantun yang  memberi gambaran kewujudan dunia bidadari. Bidadari tersebut digambarkan seramai tujuh orang. Bahkan terjadinya acara penyambutan Puteri yang datang iaitu bidadari yang datang akan disambut.

Pantun 1
Pinjam tukul pinjam landasan
Hendak menukul kepala pari
Pinjam dusun pinjam laman
Hendak menyambut bidadari.


Pantun 2

Pinjam tukul pinjam landasan
Hendak menukul batang buluh
Pinjam dusun pinjam laman
Hendak menyambut puteri tujuh.

Pantun 3
Pinjam tukul pinjam landasan
Hendak menukul kepala ayu
Pinjam dusun pinjam laman
Hendak menyambut puteri bongsu.
                                        (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 295)


Aspek Estetika dan Kepengarangan dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata

Orang Melayu dan pantun sememangnya tidak dapat dipisahkan. Jiwa orang Melayu seolah-olah telah terikat dengan bentuk dan cara pengungkapan sesuatu perkara atau maksud melalui pantun. Salah satu faktor pantun begitu mesra dengan jiwa Melayu adalah kerana unsur keindahannya atau estetikanya. Masyarakat Melayu zaman dahulu akan menggunakan bahasa yang paling halus dan beralas dalam menyampaikan sesuatu mesej agar hati pendengar tidak terluka dan tidak memberi malu kepadanya.
Estetika merujuk kepada keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Selain itu, estetika ini merangkumi unsur keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada karya yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Menurut Rahman Shaari (2001) estetika bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera. Nilai yang dimaksudkan berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya. Contohnya, mungkin pembaca pertama menganggap karya itu bernilai estetika, namun pembaca kedua pula tidak menganggapnya sedemikian. Jadi, menurut Rahman Shaari (2001) bagi sesebuah karya, aspek teknik dan gaya itulah yang menjadi penentu hadirnya nilai estetika. Bahkan kehadiran isi yang bagus tidak menjamin tingginya nilai estetika melainkan keseimbangan kesemuanya dalam karya tersebut sangat dituntut.
Ciri estetika yang boleh dilihat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji oleh Harun Mat Piah (2001) ialah estetika luaran. Estetika luaran bermaksud nilai-nilai kenindahan visual. Antara ciri estetika pantun ialah pantun terdapat dalam keadaan berpasangan dan berangkap. Dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini, dapat dikenal pasti pantun yang terdiri daripada dua kerat hingga 14 kerat.
i.                    Pantun dua kerat
Tuku takal balik bukit,
Siapa nakal bolek sakit.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 51)

ii.                  Pantun empat kerat
Bintang barat terbit petang
Bintang timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:605)

iii.                Pantun enam kerat
Si bongsu pandai bilang malam:
Malam ini malam kelapan
Anak apan di dalam apan
Mati disengat si kumbang jati
Abang laksana si kain kapan
Buruk tidak diganti lagi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:589)

iv.                Pantun lapan kerat
Bertanam ubi di sawah
Ditimbun dengan hampa barat
Dicangkul dengan beladang
Dijual oleh anak Bangkahulu
Kalau menyuji nak sama merah
kalau mengganti nak sama berat
kalau mengukur nak sama panjang
itulah hukum pada penghulu
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:81)

v.                  Pantun empat belas kerat
Karatau madang berbulu
Berbulu berbunga belum
Berbunga ketika repak
Habis repak, bingkuang pula
Bingkuang ambil ke bengkalai
Bengkalai anak ‘rang Kota Lola
Kota kecil jalan ke Selida
Merantau anak dahulu
Di rumah berguna belum
Berguna ketika sesak
Lepas sesak terbuang pula
Terbuang lagi berpakai
Berpakai waktu kau menolong
Kurang tolong terbuang saja.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:255)

Selain itu, pantun juga memiliki rimanya tersendiri. Terdapat pantun yang mengekalkan pola rima a-b-a-b pada kedudukan akhir bagi setiap baris. Contohnya
Air dalam bertambah dalam
Hujan di hulu belum teduh
Hati dendam bertambah dendam
Dendam dahulu belum sembuh.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:453)

Terdapat juga pantun yang menggunakan rima a-a-a-a. Contohnya

Ada seekor si burung pucung
Kaki panjang ekornya kontong
Janganlah awak nak tunjuk sombong
Itu binatang bernama sotong.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:53)


Walaubagaimanapun, terdapat pantun yang mengekalkan perkataan akhir bagi setiap rangkap. Hal ini disebut sebagai rima pada setiap perkataan dalam kedudukan sejajar. Contohnya, pantun di bawah ini menggunakan perkataan akhir yang sama bagi baris pertama dengan ketiga iaitu pintu dan baris kedua dengan keempat iaitu rumah.
Telur cicak di atas pintu
Pintu berdegar di bawah rumah
Ayuhai adik bukakan pintu
Abang lama di bawah rumah.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:367)

Antara ciri estetika lain dalam pantun ialah ia terbahagi kepada dua unit iaitu unit pembayang dan unit maksud. Kedua-dua unit tersebut memeprlihatkan hubungan makna sama ada hubungan langsung mahupun simbolis iaitu melalui penggunaan unsur-unsur simbolisme.
Pokok sena dahan bercantum
Tempat bersarang burung tekukur
Kalau bunga bukan sekuntum
Kumbang juga bukan seekor.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:229)

Dalam rangkap pantun di atas jelas dilihat hubungan antara pembayang dengan maksud pantun tersebut. Contohnya pembayang dalam baris pertama mempunyai nsure tumbuh-tumbuhan yang menyamai dengan maksud pada baris ketiga. Manakala pembayang dalam baris kedua mempunyai nsure fauna iaitu haiwan yang menyamai maksudnya pada baris keempat. Secara keseluruhannya, jelas dilihat rangkap tersebut menggunakan nsure alam sebagai pembayang dan maksudnya.


  • Gaya Bahasa
Melalui Pantun Melayu Bingkisan Permata, terdapat pelbagai gaya bahasa yang indah digunakan untuk membina pantun-pantun tersebut.

 (a) Personafikasi
Personafikasi bermaksud pemberian sifat-sifat manusia kepada benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak dan lain-lain untuk mendapatkan kesan sastera atau seni yang indah. Selain itu, perlambangan atau pengemukaan benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak sebagai mempunyai sifat-sifat manusia. Contohnya:
Limau purut jatuh ke lembah
Tiba di lembah tumbuhlah duri
Pinang mengadap sirih menyembah
Jari sepuluh menjunjung duli.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:11)

Berdasarkan pantun di atas, pada baris ketiga, perkataan pinang dan sirih merupakan benda manakala perkataan mengadap dan menyembah pula merupakan sifat manusia. Apabila sesuatu benda itu disifatkan dengan sifat manusia, maka itu adalah personafikasi.

 (b) Asonansi
Gaya bahasa asonansi pula ialah pengulangan vokal dalam sesuatu ayat seperti yang ditunjukkan dalam pantun di bawah: 

Masak taugeh goreng lada,
Lada ditumbuk lada putih,
Tuan menagih pada yang sayang,
Saya merajuk pada yang kasih.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:570)

(c)  Peribahasa
Peribahasa merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa turut digunakan dalam pantun untuk menambahkan lagi kesan estetik dan untuk menyampaikan maksud yang lebih tepat dan halus seperti:
Pergi ke pekan membeli delima,
Delima ditaruh di dalam cawan;
Kami dagang dipandang hina,
Seperti melukut di tepi gantang.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:263)

Perahu dikanyuh ke Tanjung Rengit,
Sarat berisi pala dan rokan;
Jangan diharap guruh di langit,
Air di tempayan dicurahkan.

(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:225)

Kepengarangan

Teknik dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dapat didefinisikan sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri seperti jentera, kenderaan, bangunan dan lain-lain atau kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan lain-lain. Kepengarangan dalam Kamus Dewan edisi keempat (2010) dapat didefinisikan sebagai perihal yang berkaitan dengan pengarang. Maka, teknik kepengarangan dapat didefinisi sebagai cara-cara yang digunakan oleh pengarang termasuklah berkaitan dengan pengalaman-pengalamannya dalam mengolah sesuatu karya, hikayat dan sebagainya.

Kebiasaannya, teknik kepengarangan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu kebijaksanaan pengarang menyampaikan cerita dan teknik keindahan dalam karya. Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan, dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya.


  • Realiti Alam dan Manusia Alam Melayu
Melihat pada pantun-pantun yang dihasilkan, pantun-pantun ini kebanyakannya menggunakan realiti alam dan manusia Melayu yang menyerlahkan persekitaran masyarakat sekeliling iaitu berlatarkan budaya dan alam sekeliling. Latar pantun-pantun ini meliputi sama ada sebuah masyarakat pantai, pesisir, darat, kota, desa atau pedalaman misalnya:
Baik-baik belayar malam,
Arus deras karangnya tajam;
Cari-cari mualim yang faham,
Di situ banyak kapal tenggelam.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:138)

Belayar masuk ke Kuala Kedah,
Patah tiang timpa kemudi;
Sekuntum bunga terlalu indah,
Sekalian kumbang asyik berahi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:291)

Menerusi pantun di atas, pengarang menggunakan persekitaran berkaitan dengan pelayaran dan menggunakan tempat yang kebiasaannya digunakan oleh masyarakat pada zaman tersebut iaitu di Kuala Kedah. Di samping itu juga, pengarang menggunakan aspek alam dalam karyanya melalui penggunaan perkataan sekuntum bunga mewakili perempuan dan kumbang mewakili lelaki. Hal ini menunjukkan bahawa pengarang mengambil sumber inspirasi dalam karyanya berdasarkan perkara yang berlaku dan dilihat di sekelilingnya. 


  • Menggunakan Bahasa Istana
Terdapat juga penggunaan bahasa istana yang diselitkan dalam penghasilan pantun bagi memperindah maksud yang ingin disampaikan. Bahasa istana yang sering digunakan dalam pantun ialah kata ganti nama diri seperti hamba, adinda atau dinda, kanda atau kekanda. Selain itu, bahasa istana lain seperti mangkat dan santap turut digunakan. Contohnya:

Perahu jati buatan Eropah
Papan jati lapis tembaga
Sampai mati kanda tak lupa
Kanda menanti di pintu syurga.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:350)

Bunga kemuning di dalam puan,
Puan santapan Datuk Bendahara;
Putih kuning pulanglah tuan,
Badan tak tahan duduk sengsara
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:298)



  •  Menggunakan Teknik Naratif/Penceritaan
Pantun Bingkisan Melayu ini turut menggunakan teknif naratif atau penceritaan. Rangkap antara rangkap adalah saling berkaitan dan adanya penceritaan. Pembaca perlu membaca setiap rangkap bagi mengetahui kesudahan sesuatu cerita yang disampaikan. Dalam Pantun Melayu, pengarang turut memuatkan Pantun Naratif: Cerita Raja Haji. Pantun ini terdiri daripada lima rangkap yang mengisahkan Raja Haji yang berperang Wolanda. Pada bahagian lain terdapat enam rangkap yang mengisahkan tentang Raja Haji mangkat dalam perang. Contohnya dalam pantun di bawah:
Keranji di dalam lukah,
Ubur-ubur dari China;
Raja Haji yang punya suka,
Hendak berkubu di Bukit Cina.

Ubur-ubur dari China
Tetak tenggiri di bawah batang
Hendak berkubu di Bukit Cina
Maka sendiri gerangan datang.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 603)



  •  Pembahagian dalam Pantun
Bersesuaian dengan konsep Bingkisan, karya ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu bingkis pemula, bingkis bicara, bingkis kasih, dan bingkis penutup. Dalam setiap bahagian buku ini mengandungi nilai kepengarangan yang tersendiri dan unik. Contohnya:
1.      Bingkis Pemula; mengandungi pantun-pantun dengan maksud memulakan bicara., dimulai dengan tema Awal Bismillah dan diikuti pantun-pantun ringan yang membawa maksud jenaka dan usik-mengusik dalam tema Alam dan Kehidupan Kanak-Kanak dan kemudian Teka Teki, Jenaka dan Sindiran. Contohnya:

Orang Sunda ke Pulau Barus,
Sarat perahunya bermuat kopi;
Apakah benda badannya kurus,
Digenyeh kepala terbitlah api.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:70)
Dalam pantun di atas dapat dilihat unsur teka-teki. Pengarang menerapkan unsur sebagai medium untuk menguji minda atau  kebijaksanaan mereka. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011) sifat yang terkandung pada pantun teka teki yang memerlukan jawapan  merupakan jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dan membina kemahiran berfikir dengan tepat. Lazimnya, teka teki ini akan disampaikan kepada khalayak ramai dan keadaan tersebut akan menimbulkan suasana riang dan seterusnya akan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka.

2.      Bingkis Bicara; mengandungi pembicaraan dalam tema-tema yang agak serius, bermula tentang Adat dan Etika, Budi dan Adab , Agama dan Pengajaran dan Perantauan dan Nasib.

Di sana padi di sini padi
Itulah nama sawah dan bendang
Di sana budi di sini budi
Barulah sempurna bernama orang
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:111)

Dalam pantun di atas dapat dilihat unsur budi sebagai “budi dan adab” sebagai makhluk di muka bumi Allah ini. Pengarang menerapkan unsur budi ini agar ia dapat dijadikan panduan kepada pembaca terutamanya kepada golongan muda.

3.      Bingkis Kasih; berupa pantun percintaan dalam tahap-tahap yang umum, misalnya dalam Cinta Bersemi, dengan pantun-pantun yang bermaksud usik-mengusik berkenalan dan berjanji diikuti dengan Hasrat Tercapai yang menggambarkan kegembiraan dalam hidup berkasih. Bab ini diakhiri dengan tema  Kasih Terhalang dengan maksud harapan dan kasih yang diingin terhalang oleh peristiwa-peristiwa yang membawa kepada perpisahan.

Pergi ke pasar membeli bawal,
beli mangga di Kampung Bali;
ibarat adinda barang dijual,
sebut harganya boleh kubeli.

(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:351)

Pantun di atas menggambarkan apabila sedang bercinta, semuanya akan kelihatan indah, manis dan menarik di mata masing-masing. Segala kekurangan yang ada pada setiap pasangan seolah-olah terlindung oleh rasa sayang dan segala rintangan yang datang dapat diatasi dengan sebaik-baiknya. Rangkap pantun ‘ibarat adinda barang dijual, sebut harganya boleh kubeli’ menunjukkan sang arjuna sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekasih hatinya walaupun sukar.

4.      Bingkis Penutup; merupakan pantun-pantun sebagai penutup pembicaraan. Didahului dengan Tanggapan dan Renungan sebagai pengalaman dan ingatan dalam kehidupan bermasyarakat. Bab ini diakhiri dengan Salam Perpisahan sebagai kata penutup acara dengan memohon maaf serta harapan untuk bertemu lagi.
Hari ini merendang jagung,
Hari esok merendang serai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.

Hari ini merendang serai,
Hari esok merendang ringgi;
Hari ini kita bercerai,
Ada umur bertemu lagi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 606)
Pantun tersebut menggambarkan hakikat kehidupan yang sentiasa berputar dan akan dilalui oleh manusia, iaitu perpisahan. Setiap sesuatu yang bermula akan ada pengakhirannya. Begitu juga dengan pertemuan, pasti ada titik perpisahannya. Hanya doa dan harapan diluahkan moga akan adanya pertemuan pada masa akan datang.


Aspek Nilai Ilmu dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata
Menurut Superka et al. dalam Robiah K. Hamzah (2011), Pendekatan Penerapan Nilai mendefinisikan nilai sebagai satu peraturan perlakuan standard yang menjadi pegangan ahli masyarakat, ditentukan oleh masyarakat mengikut budaya tersebut. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016), nilai juga diistilahkan sebagai al-qimah dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah.
            Ilmu pula bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016), fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain.
Oleh itu, nilai ilmu dapat dianggap sebagai harga sesebuah pengetahuan itu dalam kehidupan masyarakat yang berkaitan dengan budaya dan cara hidup sesuatu masyarakat itu sendiri.


  •  Ilmu Mantera
Perkataan mantera berasal daripada bahasa sanskrit iaitu ‘mantra’ ‘manir’ atau ‘mantar’. Menurut Rosli Saludin (2015), mantera ini mempunyai kaitan rapat  dengan kitab suci Hindu yang pastinya melibatkan kekudusan dan magis yang berhubung langsung dengan jampi serapah. Terdapat pantun yang berunsurkan mantera. Mantera digunakan untuk pelbagai tujuan dalam kehidupan masyarakat dahulu. Antaranya, mantera yang digunakan ketika membulang ayam sabungan untuk menyabung atau laga ayam.Hal ini dapat dilihat pada pantun berikut:
Pantun 1
Hai jalak kelabu, jalak unang,
Patah gading belalai tumbuh;
Pesan nenek dengan moyang,
Kinantan suci jangan dibunuh.
       (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 84)
Selain itu, mantera digunakan untuk memanggil angin. Hal ini bertujuan untuk memudahkan pelayaran. Seperti pantun berikut:
Pantun 2
Bertelur apa engkau senangin,
Bertelur laku sepanjang pantai;
Turunlah apa si Raja Angin,
Minta hantar Si Panjang Lampai.
                                         (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 243)
Mantera turut digunakan sebagai penyeri muka. Contohnya:
Pantun 3
Hendak mayang seludang mayang,
Pakaian anak raja China;
Bidadari turun melayang,
Seri menampung bulan purnama.
     (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 401)
Bukan itu sahaja, terdapat mantera yang digunakan sebagai kekebalan diri. Terdapat pantun yang menceritakan ilmu sangga bunuh. Ilmu Sangga Bunuh merupakan ilmu pakaian diri untuk kebal, tidak lut oleh senjata dan mempunyai kuasa serta gagah dalam pertarungan (Harun Mat Piah, 2001).Pantun tersebut seperti berikut:
Pantun 4
Si Kupang berbaju besi,
Akan terumpak si buku buluh;
Dikepung aku tiada mati,
Aku memakai si sangga bunuh.
                                                     (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 580)


  •  Ilmu Perniagaan
Dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata, terdapat pantun yang mengandungi ilmu perniagaan.
Pantun 1
Hilir beraga,
Mudik bersanggah;
Dilihat galas berlaba,
Dihitung pokok termakan.
     (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 208)
            Pantun di atas berkisarkan perihal berniaga. Hilir dan mudik sarat dengan barangan dagangan. Dalam hal ini, melihat kepada bebanan yang dibawa disangkakan mendapat laba tetapi apabila dikira rupanya modal pun telah termakan.

            Bukan itu sahaja, terdapat pantun tentang cara perniagaan secara borong. Dalam pantun tersebut ada menyatakan membeli dengan menimbang kati (kilogram) tidak mendatangkan untuk yang banyak berbanding borong. Pantun tersebut seperti di bawah:
Pantun 2
Ada satu burung tiung,
Turun ke kolam mandikan anak;
Bukankah baik beli borong,
Timbang kati untung tak banyak.
 (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 580)

  • Ilmu Peperangan
Peperangan bersinonim dengan pertempuran, pertumpahan darah, permusuhan, kemelut, krisis, pemberontakan, rusuhan, penderhakaan, dahagi, rana dan yuda. Dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata, terdapat pantun yang terkandung ilmu peperangan.
Pantun 1
Adakah perisai bertali rambut,
Rambut dipintal akar cemara;
Adakah bisai tahu takut,
Kami pun muda lagi perkasa.
      (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 539)
Berdasarkan pantun di atas, perisai ialah alat untuk menangkis senjata dalam peperangan. Alat tersebut diperbuat daripada besi keluli yang kuat dan teguh. Cemara ialah rerambut yang dipintal menjadi rumbai atau ekor binatang seperti kuda atau lembu yang diikatkan kepada senjata, lembing dan perisai sebagai hiasan.


  •  Ilmu Agama
Ilmu agama merupakan ilmu yang berkaitan keimanan. Menurut Harun Mat Piah (2001), ilmu keagamaan akan menyentuh persoalan hidup semasa, soal menuntut ilmu dan beramal supaya tidak menyesal sesudah mati. Dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata, ilmu keagamaan dapat dilihat dalam pantun agama.

Terdapat pantun yang memberi penjelasan tentang kewajipan seorang hamba dalam menunaikan perintahNya. Begitu juga dengan akibat sekiranya kita meninggalkan perintah Allah. Hal ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat agar menjadi hamba yang taat. Contohnya adalah seperti berikut:
Pantun 1
Anak ayam turunnya lapan,
Mati seekor tinggallah tujuh;
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh tubuh.

Pantun 2
Anak ayam turunnya tujuh,
Mati seekor tinggallah enam;
Hancur luluh seluruh tubuh,
Dijilat oleh neraka jahanam.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)

  •  Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016),orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku.
Pantun 1
Masak kopi airnya mentah,
Kembang melati atas karang;
Saya bermimpi kerisku patah,
Jantung hati diambil orang.
                   (Bingkisan Permata: Pantu Melayu, 2001:635)
Pantun di atas membawa maksud mimpi yang tidak baik. Menurut Harun Mat Piah (2001), antara petanda mimpi tidak baik ialah keris patah, ayam tambatan dicuri orang, bunga di taman digentas orang dan sebagainya. Petanda maksud membawa alamat orang yang bermimpi akan kehilangan barang atau orang yang tersayang dan hal itu jika terjadi akan memberikan malu yang amat sangat.


  • Ilmu Ukiran
Dang Judah menulis peti,
Sudah ditulis tidak berbunga;
Duduk bersumpah bermati-mati,
Sudah dapat tidak berguna.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 634)
Menulis peti dalam pantun di atas bermaksud melukis, memberikan ukiran pada peti. Sudah ditulis tidak berbunga pula bermaksud ukiran tidak berbentuk atau imej bunga atau tumbuhan (Harun Mat Piah, 2001).
Sekolah dekat balairung,
Tingkap bertulis awan karangan;
Gundahkan buah dimakan burung,
Burung ditangkap dilepas tangan.
                                                    (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 521)
Berdasarkan pantun di atas, tingkap bertulis awan karangan bermaksud tingkap yang berukir dengan hiasan awan larat (Harun Mat Piah, 2001).

Aspek Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
Budaya merupakan satu istilah yang mempunyai pengertian yang luas dan tidak terhad kepada satu-satu aspek sahaja. Menurut Wan Abd. Hamid Wan The dan Anisah Zainal Abidin (2006: 462), budaya dikaitkan dengan cara hidup sesuatu masyarakat. Selain itu, budaya juga memperkatakan mengenai setiap perkara yang menjadi amalan manusia.
Amalan tersebut boleh merangkumi aspek ilmu pengetahuan, keagamaan, kepercayaan, kesenian, undang-undang, pemerintahan, adat resam dan perkara kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Setiap perkara yang diamalkan tersebut, bukan sahaja mempunyai hubungan dengan kebudayaan yang terdapat dalam kelompok masyarakat sahaja, malah mencerminkan keperibadian yang dimiliki oleh anggota sesebuah masyarakat.
Menurut Syed Naquib al-Attas (1972) dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016: 117), pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Pandangan hidup ini dimiliki oleh masyarakat, bagi menunjukkan tanggapan masyarakat terhadap setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan, khususnya yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam sekitar. Dalam hal ini, pandangan hidup yang dijelmakan melibatkan aspek hubungan antara ketiga-tiga aspek tersebut, sama ada melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa nilai budaya dan pandangan hidup merupakan dua aspek yang saling berkait. Hal ini kerana, setiap amalan yang berlaku dalam kehidupan, pasti akan menimbulkan pandangan bagi memperjelaskan setiap perkara yang menjadi amalan tersebut.


  •  Amalan Mendidik dalam Masyarakat
Budaya mendidik dalam masyarakat yang diketengahkan dalam karya ini, memfokuskan aspek didikan yang diberikan oleh golongan tua kepada anak-anak muda. Sebagai individu yang mempunyai pengalaman yang lebih mengenai aspek-aspek kehidupan, didikan dari segi nasihat diberikan supaya golongan muda dapat menjadikan nasihat-nasihat tersebut sebagai pedoman hidup mereka. Berdasarkan karya yang dikaji ini, amalan mendidik dilihat dalam aspek agama. Konteks agama yang dipaparkan berkaitan dengan nilai dan akhlak yang disepakati dalam kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Dalam proses pembentukan peribadi muslim, akhlak yang cuba disemai dalam diri masyarakat disampaikan menerusi pantun. Contoh pantun yang berkaitan dengan amalan ini dapat dilihat seperti yang berikut:
Pantun 1
Bawa aksin terlalu indah,
Ombak bersusun berlari-lari,
Jika berkata yang tidak berfaedah,
Terlebih baik mendiamkan diri.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 139)

  •  Kepentingan Menjaga Tutur Kata dalam Berbicara
Menerusi pantun tersebut, dapat dilihat nasihat yang diberikan dari segi tingkah laku percakapan dalam masyarakat. Amalan berkata yang tidak berfaedah yang dilakukan oleh segelintir masyarakat dilihat hanya mendatangkan kesan negatif kepada si pelakunya. Oleh hal yang demikian, atas kesedaran tersebut, maka suatu peringatan dalam bentuk nasihat atau didikan diberikan supaya dijadikan sebagai ilmu yang bermanfaat, khususnya bagi golongan muda. Hal ini sebenarnya sesuai dan selari dengan ungkapan peribahasa Melayu yang sememangnya telah sebati dalam kehidupan masyarakat apabila mengetengahkan mengenai aspek percakapan. Peribahasa yang dimaksudkan ini ialah:
 Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.       
Maksud yang terdapat dalam peribahasa tersebut ialah berhati-hati ketika berkata-kata atau menyatakan sesuatu kerana kata-kata yang telah dinyatakan sukar ditarik balik dan memberi kesan yang mendalam atau melukakan hati orang lain. Keadaan ini merupakan gambaran kepada maksud yang dibawa menerusi nasihat dalam pantun yang telah dinyatakan. Sekiranya tutur kata yang ingin diucapkan tidak membawa faedah, maka individu yang berkenaan  sewajarnya berdiam diri sahaja. Hal ini dilakukan supaya perlakuan tersebut tidak membawa sebarang kesan negatif, bukan sahaja ke atas si pelaku, malah kepada pendengar.


  •  Berbudi kepada Masyarakat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015: 212), budi membawa maksud sifat baik, perbuatan baik dan kebajikan. Dalam karya yang dikaji ini, kebanyakan pantun budi yang dinyatakan adalah berkisar tentang kepentingan berbudi dalam masyarakat. Dalam hal ini, perkara yang boleh dikaitkan dengan amalan berbudi ini melibatkan segala perkara yang membawa faedah atau kebaikan kepada masyarakat. Hal ini bermaksud, setiap sumbangan yang dilakukan oleh individu kepada masyarakat, tidak kiralah dalam bentuk apa pun, dilihat dan dinilai sebagai suatu amalan yang mulia. Menerusi amalan tersebut semangat saling membantu dan bekerjasama dapat dipupuk. Antara pantun yang berkaitan budi dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata ialah:
Pantun 1
Ambil galah jolok remenia,
Kait mari sampai berdiri,
Kita hidup di atas dunia,
Buat baik taburkan budi.
        (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 97)
Pantun 2
Apalah tanda batang keladi,
            Batang keladi di tanah isinya,
            Apalah tanda orang berbudi,
            Orang berbudi rendah hatinya.
                                                                  (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 101)


  •  Amalan Berbudi dipandang Tinggi dalam Masyarakat
Berdasarkan kepada aspek berbudi yang menjadi salah satu aspek penting dalam kehidupan bermasyarakat, maka dapat dikatakan bahawa individu yang berbudi dalam menjalani kehidupan, akan dipandang tinggi khususnya oleh masyarakat yang berada kelompok kehidupan seseorang individu. Hal ini juga dinyatakan dengan jelas dalam karya yang dikaji ini. Kebanyakan pantun yang dipaparkan menonjolkan penghargaan yang diberikan kepada individu yang berbudi dalam kehidupannya. Orang yang berbudi akan sentiasa dikenang, diingati, dan disebut kebaikan yang telah diberikannya. Contoh penghargaan tersebut, dapat dilihat menerusi pantun berikut:
Pantun 1
Ambil tali panjang sedepa,
            Makan manggis dengan bijinya,
            Sampai mati takkan lupa,
            Kerana manis hati budinya.
                                                                  (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 97)
Pantun 2
Ambilkan saya buah delima,
            Masak sebiji di balik daun,
            Budi tuan saya terima,
            Jadi kenangan bertahun-tahun.
                                                                  (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 98)


  •  Beretika dalam Menjalani Kehidupan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, etika bermaksud prinsip moral atau nilai-nilai yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Manakala beretika pula membawa maksud mempunyai atau berpegang kepada etika, berakhlak dan bermoral. Etika kehidupan bermasyarakat yang digambarkan dalam karya ini, dapat memberi pengajaran kepada pembaca agar sentiasa berpegang kepada etika dalam setiap masa. Antara contoh pantun yang memperlihatkan amalan nilai-nilai positif dalam kehidupan bermasyarakat dapat dilihat seperti pantun berikut:
Pantun 1                                             
Ribut-ribut bawa pukat,
            Melihat gelung di Selat Jawa,
            Kita hidup tanda muafakat,
            Tolong-menolong tanda sejiwa.
                                                                  (Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 578)

Pantun tersebut memberikan gambaran tentang semangat tolong-menolong yang dianggap sebagai salah satu etika yang menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat. Etika dari segi semangat tolong- menolong yang dinyatakan ini menjadi salah satu aspek penting khususnya, dalam aspek kejiranan.


  • Sikap Tolong-menolong Memupuk Cara Hidup yang Baik
Pantun tersebut memberikan gambaran tentang kehidupan masyarakat Melayu yang saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kegiatan tersebut dapat memupuk cara hidup yang baik kerana melalui sikap tersebut, secara tidak langsung akan mewujudkan sikap bertimbang rasa dan prihatin terhadap kesulitan atau masalah yang dialami oleh individu lain. Kelaziman amalan nilai tolong-menolong ini sememangnya sudah menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat. Contohnya semasa majlis perkahwinan diadakan, masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan kejiranan tidak lokek untuk meluangkan masa, tenaga dan memberikan sumbangan dalam bentuk wang untuk bersama-sama menjayakan persiapan perkahwinan tersebut. Gambaran ini dapat dikaitkan dengan peribahasa Melayu seperti berikut:

(i)                 Bagai aur dengan tebing.
(ii)                Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Kedua-dua peribahasa tersebut, memberikan takrifan yang sama iaitu mengenai sikap bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Hal ini seterusnya memberi gambaran tentang keakraban hubungan yang terjalin dalam masyarakat yang tinggal di sesebuah kawasan kejiranan. Sikap ini membuktikan juga bahawa sikap “Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” tidak diamalkan oleh masyarakat yang dimaksudkan menerusi peribahasa tersebut. Peribahasa ini boleh dikaitkan dengan kelompok masyarakat yang tinggal berdekatan tetapi mementingkan diri sendiri, tanpa menghiraukan jiran-jiran yang berada berhampiran dengannya.

            Sikap mementingkan diri sendiri yang digambarkan menerusi peribahasa ini wajar dihindari. Sikap ini bertentangan dengan rukun kehidupan berjiran yang sepatutnya saling mengenali dan menjaga hubungan silaturahim. Jika sikap tersebut terus diamalkan, pasti akan membawa kesan negatif khususnya terhadap sebarang aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan.
Justeru, dapat dikatakan di sini bahawa aspek nilai budaya dan pandangan hidup yang tergambar dalam karya ini sememangnya mencerminkan amalan yang dilakukan dalam kehidupan masyarakat. Setiap perkara yang menjadi amalan masyarakat membawa kepada satu pandangan yang berfungsi untuk menilai setiap perlakuan yang dilakukan tersebut untuk dijadikan sebagai pedoman kepada masyarakat, khususnya kepada pembaca.