Pengenalan
Perkataan puisi
berasal dari bahasa Belanda, poesie
atau perkataan Latin, poetess yang seerti dengan perkataan, poetry dalam bahasa Inggeris. Dalam hal
ini puisi dapat ditakrifkan sebagai karangan berangkap yang mementingkan sajak
irama dan suku kata. Puisi berbeza dengan prosa kerana mempunyai ciri-ciri khas
seperti mengandungi irama, sukar diterjemah dan bersifat konkrit. Puisi juga
lebih berusaha menghadirkan suasana daripada melukiskan situasi, yang walaupun
hal-hal itu terdapat juga dalam prosa
tetapi kadar intensitinya jauh lebih tinggi pada puisi (Ismail Yusoff, 2008).
Menurut Ismail Yusoff (2008), puisi
Melayu Lama ialah puisi yang lahir dari masyarakat Melayu Lama sebelum menerima
tamadun Barat. Bentuk-bentuk puisi lama yang masih wujud hingga sekarang adalah
seperti peribahasa, pepatah dan perbilangan adat, jampi serapah, teka-teki,
nyanyian rakyat, pantun, syair, gurindam, seloka, bahasa berirama, masnawi,
rubai, kitaah, ghazal, nazam dan sebagainya.
Latar Belakang Pantun
Menurut Ismail
Yusoff (2008), pantun adalah puisi atau senandung rakyat yang paling popular
dalam kalangan masyarakat Melayu Lama. Selain itu, pantun sangat terkenal dalam
pelbagai kesusasteraan Nusantara. Di Indonesia umpamanya, pantun terdapat dalam
sastera Aceh, Banjar, Batak, Minangkabau, Sasak, Ternate dan sebagainya. Dalam
kalangan orang Jawa pantun dikenali sebagai parikan
atau wangsalan.
Asal perkataan pantun dikatakan berasal daripada pelbagai bahasa yang
terdapat di Nusantara seperti toen (bahasa Sunda),tuntun (bahasa Pampanga),
tonton (bahasa Tagalog), tuntun,atuntun,matuntun (bahasa Jawa), panton (bahasa
Bisaya) dan pantun (bahasa Toba). Pantun Melayu ialah hasil sastera rakyat yang
tertua disebarkan secara lisan. Pantun merupakan bahasa rangkap yang
mengandungi unsur-unsur keindahan seperti baris-baris setiap rangkap, banyak
suku kata, jenis rima akhir, pembayang maksud, asonansi, kata-kata yang indah,
ringkas dan padat.Pantun juga digunakan secara puitis dalam komunikasi seperti
majlis tertentu, upacara dan sindiran. Pantun juga merupakan puisi yang dapat
membela kehalusan budi bahasa dan kelembutan jiwa orang Melayu untuk menyampaikan
sindiran atau teguran (Mohd Rosli Saludin,2014).
Ciri-ciri Pantun
Pantun merupakan
salah satu warisan puisi Melayu, yang dilihat tidak lekang dek panas dan tak
lapuk dek hujan. Pantun dilihat sebagai karya yang mempunyai mesej-mesej
tertentu yang cuba untuk diketengahkan kepada masyarakat. Proses penyampaian
mesej-mesej ini disulam dengan bahasa-bahasa yang indah menerusi diksi yang
bersesuaian. Pantun kebiasaannya terbina dalam bentuk rangkap yang mempunyai
pembahagian yang tertentu. Selalunya, pantun terdiri daripada dua, empat dan
enam rangkap, namun boleh juga mencecah sehingga empat belas rangkap.
Bahagian awal atau
separuh daripada rangkap pertama dalam pantun merupakan bahagian pembayang,
manakala bahagian yang selebihnya berfungsi sebagai maksud bagi sesebuah
pantun. Selain itu, rima akhir bagi setiap baris dalam pantun juga mempunyai
bentuk yang tertentu. Bentuk rima yang selalu digunakan dalam penciptaan pantun
tergolong dalam dua jenis yang utama iaitu a,a,a,a, dan a,b,a,b. Dalam aspek
suku kata pula, setiap baris dalam pantun terdiri daripada sembilan atau
sepuluh suku kata. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga sesetengah
bentuk pantun yang mempunyai sehingga dua belas suku kata dalam sebaris.
Seni penciptaan pantun juga tidak dapat dipisahkan dengan
ciri-ciri emosi yang dibawa menerusi pemilihan kata-kata yang memberi kesan
kepada para pembaca. Dalam hal ini, kesejajaran pemilihan kata yang dapat
membangkitkan pemahaman pembaca terhadap mesej yang cuba disampaikan dalam pantun,
secara tidak langsung menunjukkan bukti bahawa pantun merupakan alat yang
berkesan dalam menghibur, serta memberikan input berguna kepada para pembaca.
Aspek Pemikiran
dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata
Menurut Siti Aisah Murad (1996:11), sesebuah karya yang
dihasilkan adalah berdasarkan jalinan pengalaman, sikap dan pemikiran
pengarangnya. Pemikiran membawa maksud idea atau isi yang dibawa oleh pengarang
yang dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi serta kreativiti untuk
menjelmakan persoalan dan tema dalam sesuatu karya. Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2013:307), idea yang dimaksudkan
adalah penglahiran keupayaan minda dan hati tentang ilmu, juga tanggapan
terhadap segala persoalan yang melingkupi kehidupan seharian. Penglahiran
sesuatu idea dapat dilihat melalui bahasa.
Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa menjadi identiti bagi sesuatu bangsa
yang membentuk jati diri penuturnya dalam lingkungan budaya masyarakat dan
sesebuah negara.
- Pemikiran tentang Hubungan
Manusia dengan Pencipta
Agama mempunyai
pentakrifan yang luas iaitu merujuk kepada satu sistem kepercayaan yang
kohensif dan menekankan aspek ketuhanan. Agama mempunyai peranan yang penting
dalam kehidupan manusia iaitu dapat membentuk nilai, panduan dan pembimbing
yang dapat mendorong manusia untuk membina hidup yang sempurna. Pegangan agama
dalam kehidupan secara tidak langsung mendidik manusia untuk memelihara
hubungan antara manusia dengan Tuhan. Oleh hal yang demikian, ajaran agama
dapat disampaikan bukan hanya melalui dakwah secara lisan tetapi juga boleh
disebarkan melalui tulisan.
Dalam Pantun Melayu Bingkisan
Permata, aspek pemikiran yang dapat dilihat ialah berkaitan hubungan manusia
dengan agama dan pencipta-Nya. Persoalan berkaitan agama jelas diperlihatkan
oleh pengarang dalam pantun iaitu, menunjukkan isu-isu kehidupan manusia yang
perlu berlandaskan ajaran agama. Aspek pemikiran berkaitan agama lebih
memberikan penekanan terhadap tuntutan akidah yang perlu dipatuhi oleh umat
yang beragama Islam. Selain itu, terdapat juga pemikiran yang membawa maksud
berlawanan daripada tuntutan agama. Sesungguhnya, tujuan utama penyampaian
pemikiran yang berlawanan dengan syariat agama adalah untuk memberikan
pengajaran kepada manusia. Berikut merupakan pantun yang menggambarkan
pemikiran tentang tema keagamaan:
Pantun 1
Buat bangsal di tengah hutan
Tebaslah hutan buat halaman
Di tepi halaman menanam kandis
Di selang dengan pokok papaya
Biarlah sabar dengan
perlahan
Itulah tanda tuan
beriman
Tidak patah digoncang
iblis
Akhirnya tuan menang
berjaya.
(Pantun Melayu
Bingkisan Permata, 2001:82)
Pantun di atas bertemakan
keagamaan yang menyampaikan maksud setiap perlakuan manusia perlu disertakan
dengan kesabaran. Hal ini demikian kerana, kehidupan manusia di dunia diberikan
dugaan dan ujian yang berbeza-beza oleh Allah SWT. Setiap ujian yang menimpa
menunjukkan kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan menguji sejauh mana
kekuatan iman hamba-Nya. Oleh itu, kita janganlah berputus asa dengan ujian
tersebut kerana setiap ujian yang diturunkan setimpal dengan kemampuan diri
kita. Ringkasnya, melalui kesabaran manusia dapat mencapai kejayaan.
Pantun 2
Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah.
(Pantun Melayu
Bingkisan Permata, 2001:89)
Pantun di atas menjelaskan maksud segala adat yang diamalkan
oleh umat Islam khususnya masyarakat Melayu adalah berdasarkan panduan kitab
al-Quran. Setiap hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat Melayu perlu
berlandaskan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama.
Pantun 3
Asam kandis asam
gelugur
Ketiga asam si riang-riang
Menangis mayat di pintu kubur
Teringat badan tidak sembahyang
(Pantun Melayu Bingkisan
Permata, 2001:137)
Pantun di
atas menjelaskan bahawa kehidupan manusia di dunia akan menentukan balasan
manusia di akhirat kelak. Kehidupan di dunia akan dinilai dan dihitung pada
hari pembalasan. Oleh hal yang demikian, agama Islam menuntut agar umatnya
menjaga perlakuan di dunia sama ada dari segi ibadah, akidah dan juga akhlak.
Ringkasnya, setiap manusia akan menerima pembalasan yang setimpal sama ada yang
baik mahupun yang buruk.
Pantun 4
Kemumu di dalam
semak
Jatuh melayang selaranya
Meski ilmu setinggi tegak
Tidak sembahyang apa gunanya
(Pantun Melayu
Bingkisan Permata, 2001:159)
Pantun di
atas membawa maksud tiada guna mempunyai ilmu yang tinggi sekiranya ibadah
wajib iaitu solat ditinggalkan. Hal ini demikian kerana, solat merupakan ibadah
utama yang akan dinilai pada hari pembalasan. Di samping itu, solat juga
dianggap sebagai tiang agama. Sekiranya tiang ini diabaikan maka akan musnahlah
apa yang di bina. Begitu juga dengan kehidupan manusia, sekiranya hanya ilmu di
dunia yang dicari tetapi mengabaikan ilmu akhirat, maka manusia akan jauh
daripada agamanya.
- Pemikiran tentang Hubungan
Sesama Manusia
Budi bahasa ialah unsur yang penting dalam kehidupan sesama
manusia yang diasaskan daripada tingkah laku dan penggunaan kata-kata yang dipilih
dengan cermat. Menurut Mohd Januri (2013) dalam Noriati Rashid
(2007:23), budi bahasa merangkumi pekerti, akhlak, watak, dan kelakuan yang
baik, sopan, pemurah, tutur kata, tatatertib, pemikiran, kebijaksanaan,
perbuatan kebajikan dan perasaan baik terhadap orang lain yang tercantum dalam
frasa nilai murni atau akhlak mulia.
Telah ditekankan bahawa budi bahasa itu bukan sekadar
penggunaan bahasa semasa percakapan semata-mata malahan konsep budi bahasa
turut memberatkan perlakuan dan tingkah laku seseorang semasa berhadapan dengan
orang lain. Berikut merupakan pantun yang menggambarkan pemikiran hubungan
sesama manusia melalui aspek budi bahasa:
Pantun 1
Batu kecubung warna ungu
Ditatah berlian batu bermutu
Adat Melayu menyambut tetamu
Hamparkan tikar lebarkan pintu.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:80)
Berdasarkan pantun di atas,
maksud yang ingin disampaikan ialah berkaitan amalan meraikan dan memuliakan
tetamu. Amalan memuliakan tetamu amat sinonim dengan adat masyarakat Melayu
iaitu memberikan penghormatan kepada tetamu yang bertandang. Melalui amalan ini
dapat dilihat penerapan unsur berbudi bahasa sesama manusia. Hal ini demikian
kerana, perbuatan meraikan tetamu dapat menjaga hubungan sesama manusia dan
secara tidak langsung dapat menjamin kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
Pantun 2
Cahaya hidup menyegar padi,
Ayam berkokok mengikat tuah
Jikalau hidup tidak berbudi
Umpama pokok tidak berbuah.
(Pantun
Melayu Bingkisan Permata, 2001:110)
Pantun di
atas menjelaskan maksud kerugian orang yang tidak berbudi dalam masyarakat.
Perlambangan atau simile ‘Umpama pokok tidak berbuah’ digunakan bagi
menggambarkan orang yang tidak berbudi dalam kehidupannya. Oleh itu, jelaslah
bahawa seseorang yang berbudi akan mendapat manfaat berbanding orang yang tidak
berbudi. Budi yang dihulurkan tidak semestinya dalam bentuk material bahkan nilai budi bahasa juga
merupakan elemen hidup berbudi. Justeru, kehidupan seseorang akan lebih
bermakna jika dapat menaburkan budi terhadap masyarakat sekeliling.
Pantun 3
Ayam hutan terbang
ke hutan
Sangkut sikit tali di kaki
Darah bukan daging bukan
Sangkut sikit kerana budi.
(Pantun Melayu
Bingkisan Permata, 2001:102)
Pantun di atas
menjelaskan bahawa, manusia dapat mewujudkan hubungan yang baik melalui budi
yang ditabur walaupun tiada pertalian darah. Hal ini membuktikan bahawa amalan
berbudi sesama manusia sangat penting kerana budi dapat menjamin kemakmuran
hidup manusia.
- Hubungan Manusia dengan
Diri Sendiri
Hubungan manusia
dengan diri sendiri dapat dilihat melalui pembentukan akhlak dan ciri
keperibadian sama ada secara dalaman atau luaran. Ringkasnya, pemikiran yang
ingin disampaikan adalah berkaitan tanggungjawab seseorang terhadap dirinya
sendiri. Manusia bertanggungjawab untuk menentukan kehidupannya sama ada ingin
memilih kehidupan yang baik atau sebaliknya. Oleh itu, penjagaan diri sangat
dituntut dalam agama kerana keperibadian seseorang dapat menentukan diri sama
ada memilih jalan kebaikan atau jalan kejahilan. Berikut merupakan beberapa
pantun yang membawa pemikiran tentang kepentingan menjaga diri sendiri:
Pantun 1
Jangan diraba sarang lebah
Lebah beribu berani mati
Jangan cuba untuk bermegah
Kerana itu perkara keji.
(Pantun Melayu
Bingkisan Permata, 2001:153)
Pantun di atas menjelaskan maksud
perbuatan bermegah diri merupakan perkara yang keji. Individu yang mengamalkan
akhlak ini hanya akan merugikan diri sendiri. Akhlak ini juga dapat dikaitkan
dengan individu yang sombong dan terlalu menunjuk-nunjuk tentang kelebihan yang
ada pada dirinya. Akhlak ini perlu dielakkan kerana akan memberikan kesan buruk
kepada diri sendiri. Sebagai contoh, individu yang bermegah diri akan mudah
lalai dalam setiap pertuturannya, bahkan akan menjejaskan hubungan dengan orang
disekelilingnya.
Pantun 2
Ambil bertih dari hulu
Isi mari di dalam balang
Bersihkan halaman kita dulu
Baru bersihkan halaman orang.
(Pantun Melayu Bingkisan
Permata, 2001:541)
Pantun di atas
menjelaskan maksud, setiap individu perlu menilai diri sendiri terlebih dahulu
sebelum menilai orang lain. Ringkasnya, manusia perlu memelihara keperibadian
diri agar dapat melahirkan individu yang berpekerti mulia. Sekiranya individu
sedar akan kelemahan diri nescaya tidak akan wujud individu yang merendahkan
keperibadian orang lain.
- Hubungan
Manusia dengan Alam
Dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata, pengarang turut
memperlihatkan pemikiran antara kehidupan manusia yang mempunyai hubungan
dengan makhluk lain. Pengarang memberikan penekanan terhadap hubungan manusia
dengan alam. Hal ini demikian kerana, manusia hidup dikelilingi dengan alam
semesta. Jadi, pengarang menyampaikan pemikirannya melalui pantun yang
mengaitkan unsur alam dengan kehidupan manusia. Berikut merupakan pantun
berkaitan alam yang mempunyai hubungan dengan kehidupan manusia:
Pantun 1
Permata jatuh di dalam rumput
Jatuh di rumput gilang-gemilang
Kasih umpama embun di rumput
Datang matahari nescaya hilang.
(Pantun Melayu Bingkis Permata,
2001:508)
Dalam
pantun di atas, penulis telah menggunakan unsur flora sebagai simbol kepada
kehidupan manusia. Pantun di atas menggambarkan perihal hubungan kasih sayang
antara manusia yang tidak kekal. Klausa ‘Kasih umpama embun di rumput’ membawa
maksud perasaan kasih sayang boleh hadir seketika seperti hadirnya embun pada
pagi hari dan boleh hilang selepasya. Hal ini digambarkan pada klausa terakhir
iaitu ‘Datang matahari nescaya hilang’. Penggunaan unsur flora ini secara tidak
langsung mempunyai perkaitan dengan kehidupan manusia.
Pantun 2
Terang bulan menggali ubi
Ubi digali berkarung-karung
Tuan di awan saya di bumi
Berkirim surat di mulut burung.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:583)
Pantun di atas memperlihatkan
penggunaan unsur flora dan fauna yang menjadi simbol kepada kehidupan manusia.
Pengarang telah menerapkan unsur flora sebagai perlambangan terhadap setiap
perbuatan manusia. Pantun di atas menjelaskan maksud kehidupan manusia yang
terpisah dengan jarak kemudian berhubung melalui surat. Frasa ‘awan’
memperlihatkan maksud jarak yang jauh antara manusia.
- Pemikiran
tentang Ilmu pengetahuan
Ilmu pengetahuan amat dititikberatkan dalam kehidupan
manusia. Manusia yang berilmu dapat menjelmakan keperibadian diri yang mulia.
Hal ini demikian kerana, menuntut ilmu adalah selaras dengan objektif Islam.
Jika seseorang meringankan ilmu, maka individu tersebut akan mengalami
kesusahan dalam hidup. Manakala jika individu yang berilmu tidak memanfaatkan
ilmu tersebut, maka dia akan mengalami kerugian pada diri sendiri. Hal ini
demikian kerana, setiap ilmu yang dipelajari tidak akan membawa sebarang
kerugian kerana ilmu boleh dimanfaatkan kepada diri sendiri dan juga orang
lain. Oleh itu, untuk memperoleh dan mendalami
ilmu, kita perlu berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri.
Berikut merupakan pantun-pantun yang menggambarkan kepentingan ilmu
pengetahuan.
Pantun 1
Anak ayam turun sepuluh
Mati satu tinggal sembilan
Tuntut ilmu bersungguh-sungguh
Satu jangan
ketinggalan.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata,
2001:133)
Pantun di atas membawa maksud
kita perlu menuntut ilmu secara bersungguh-sungguh. Bidang ilmu sangat luas,
maka kita perlu memanfaatkan peluang yang ada dengan menuntut pelbagai ilmu
yang ada sama ada ilmu dunia mahupun ilmu akhirat.
Pantun 2
Apalah tanda batang tebu
Batang tebu halus uratnya
Apalah tanda orang berilmu
Orang berilmu halus sifatnya.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:133)
Pantun di atas
menerangkan maksud orang berilmu yang mempunyai pekerti mulia. Melalui ilmu,
manusia dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Oleh itu, ilmu
pengetahuan yang ada dalam diri seseorang secara tidak langsung dapat
melahirkan keperibadian mulia dalam diri.
Pantun 3
Lapan belas hari bulan rejangnya jampuk
Jampuk berbunyi mendayu-dayu
Rindukan bulan tinggi di awan
Tuntutlah ilmu janganlah jemu
Kerana ilmu satu panduan.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:162)
Pantun di
atas menyeru masyarakat untuk menuntut ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh
janganlah diabaikan tetapi manusia perlu memanfaatkan ilmu yang ada. Hal ini
demikian kerana ilmu yang diamalkan akan memberikan manfaat yang besar kepada
kehidupan manusia kerana ilmulah yang akan menjaga manusia daripada melakukan
perkara-perkara yang tidak baik. Ringkasnya, ilmu pengetahuan akan menjadi
panduan dalam hidup manusia.
Aspek Falsafah dalam Pantun
Melayu: Bingkisan Permata
Falsafah bermaksud
cinta kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran
yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Mekanisme falsafah
secara amnya dapat diertikan sebagai memikirkan sesuatu dengan mendalam. Dengan
itu, falsafah ialah membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapatkan
jawapan yang benar dan betul terhadap sesuatu perkara.
Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016) menyatakan bahawa bidang
falsafah dapat dibahagikan kepada falsafah etika, metafizika, sejarah, sosial,
ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Falsafah etika ialah pemikiran tentang
moral, pendidikan dan pengajaran. Falsafah metafizika pula memikirkan tentang
kewujudan dan keberadaan. Sejarah pula, persoalan yang berkaitan dengan makna
silam, seperti tamadun dan keruntuhan. Sosial adalah gambaran kehidupan realiti
manusia yang kontekstual. Ekonomi ialah sistem pendapatan dan pengurusan harta
benda. Kosmologi ialah membincangkan tentang situasi persekitaran dan alam
sarwajagat. Politik ialah aplikasi dan tujuan pemerintahan sesebuah negara.
Logik ialah pemikiran yang rasional, taakulan dan sebab musabab. Falsafah
dapaat disimpulkan sebagai suatu kesenian berfikir yang waras, bernas dan
mendalam.
- Falsafah Agama dan
Pengajaran
Dalam Pantun
Melayu: Bingkisan Permata ini menghuraikan mengenai falsafah keagamaan dan
pengajaran. Pengkaji buku ini iaitu Harun Mat Piah memberi gambaran mengenai
falsafah keagamaan dan pengajaran yang menjadi panduan kepada masyarakat.
Pantun Melayu: Bingkisan Permata menghuraikan mengenai keagamaan iaitu tentang
kemuliaan dan kebesaran Tuhan Yang Esa
dan Nabi Muhamamad. Tuhan adalah mulia dan suci, Tuhan juga tempat kita untuk
berharap dan menjadi sandaran setiap masa. Melalui pantun yang dikemukakan
dapat dilihat kebesaran Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad. Contohnya:
Pantun 1
Banyak bulan perkara bulan
Mana nak
sama bulan puasa
Banyak
Tuhan perkara Tuhan
Tidak
semulia Tuhan Yang Esa.
(Pantun Melayu: Bingkisan
Permata 2001: 138)
Pantun 2
Banyak
hari antara hari
Tidak
semulia hari Jumaat
Banyak nabi
antara nabi
Tidak
semulia Nabi Muhammad.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata 2001: 139)
Selain itu,
terdapat falsafah pengajaran yang gambarkan dalam karya agung ini iaitu
berjaga-jaga dalam mengeluarkan perkataan kerana kata-kata yang dikeluarkan
jika ditokok tambah akan menjadi fitnah. Di samping itu, kita hanya perlu
berkata-kata jika perlu dan sebaiknya berfikir sebelum mengeluarkan apa-apa
perkataan daripada mulut kita. Terdapat juga pantun yang memberikan falsafah
pengajaran iaitu jangan mengata orang lain takut nanti akan berbalik kepada
diri sendiri. Contohnya:
Pantun 3
Alam pura Raja
Mahkota
Pergi berperang ke
negeri Basanah
Ingat-ingat
mengeluarkan kata
Zaman sekarang
banyak fitnah.
(Pantun Melayu: Bingkisan
Permata 2001: 132)
Pantun 4
Bawa aksin terlalu indah
Ombak bersusun berlari-lari
Jika berkata yang tidak berfaedah
Terlebih baik mendiamkan diri.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata
2001: 139)
Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini turut mengetengahkan
mengenai falsafah kosmologi iaitu mengenai situasi persekitaran dan alam
sarjawagat. Pantun yang tedapat dalam buku ini banyak menghuraikan mengenai
alam persekitaran terutamanya dalam Pantun Bingkis Bicara: Perantauan dan
Nasib. Dalam pantun ini banyak menghuraikan mengenai keadaan persekitaran dan
alam sarwajagat seperti laut, gunung, sungai dan ladang. pantun-pantun ini
banyak menggunakan keadaan persekitaran atau alam sekeliling bagi menyampaikan
maksud. Keadaan persekitaran dan sifat-sifat
alam sekeliling menjadi gambaran perasaan dan kehidupan yang dihadapi si
perantau. Contohnya:
Pantun 1
Anak tiung atas rambutan
Berbunyi bertongkat paruh
Berhenti kapal di lautan
Tiba angin
belayar jauh.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata 2001:
242)
Pantun 2
Awan berarak bergulung-gulung
Menderu angin
dari seberang
Sudah nasib dilambung untung
Badan tercampak di rantau orang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata
2001: 243)
Pantun 3
Bentang tikar duduk menjahit
Jahit baju anak Melayu
Gunung terbentang dipandang ghaib
Bertambah pula hati sayu.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata 2001: 244)
2.2.3 Falsafah Sosial
Falsafah sosial adalah gambaran kehidupan realiti manusia
yang kontekstual. Harun Mat Piah mengetengahkan falsafah mengenai kehidupan
manusia yang senantiasa terjadi iaitu perasaan kecewa. Seringkali perasaan
kecewa dikaitkan dengan cinta yang ditolak atau tidak berbalas. Dalam pantun
Cinta Terhalang menunjukkan falsafah sosial iaitu kehidupan manusia yang
pastinya akan berdepan dengan perasaan gembira dan kecewa dalam sesebuah
perhubungan. Kebanyakan pantun yang terdapat dalam bahagian ini berkisarkan
tentang cinta yang terhalang atau tidak diterima dan akhirnya kecewa.
Contohnya:
Pantun 1
Anak punai anak
merbah
Sambil terbang
membawa sarang
Anak sungai lagi
berubah
Inikan pula hati
orang.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata, 2001: 456)
Pantun 2
Asal kapas menjadi benang
Asal benang menjadi kain
Sudah terlepas jangan dikenang
Sudah menjadi orang lain.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 259)
Pantun 3
Berapa tinggi gunung Ledang
Tinggi lagi asap api
Berapa sedih mata memandang
Sedih lagi rasa di hati.
(Pantun Melayu: Bingkisan
Permata, 2001: 262)
Dalam Pantun
Melayu; Bingkisan Permata ini turut mengetengahkan falsafah metafizika yang
memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Terdapat pantun yang memberi gambaran kewujudan dunia bidadari.
Bidadari tersebut digambarkan seramai tujuh orang. Bahkan terjadinya acara
penyambutan Puteri yang datang iaitu bidadari yang datang akan disambut.
Pantun 1
Pinjam tukul pinjam landasan
Hendak menukul kepala pari
Pinjam dusun pinjam laman
Hendak menyambut bidadari.
Pantun 2
Pinjam tukul pinjam landasan
Hendak menukul batang buluh
Pinjam dusun pinjam laman
Hendak menyambut puteri tujuh.
Pantun 3
Pinjam tukul pinjam landasan
Hendak menukul kepala ayu
Pinjam dusun pinjam laman
Hendak menyambut puteri bongsu.
(Pantun Melayu: Bingkisan
Permata, 2001: 295)
Aspek Estetika dan Kepengarangan dalam Pantun
Melayu Bingkisan Permata
Orang
Melayu dan pantun sememangnya tidak dapat dipisahkan. Jiwa orang Melayu
seolah-olah telah terikat dengan bentuk dan cara pengungkapan sesuatu perkara
atau maksud melalui pantun. Salah satu faktor pantun begitu mesra dengan jiwa
Melayu adalah kerana unsur keindahannya atau estetikanya. Masyarakat Melayu
zaman dahulu akan menggunakan bahasa yang paling halus dan beralas dalam
menyampaikan sesuatu mesej agar hati pendengar tidak terluka dan tidak memberi
malu kepadanya.
Estetika merujuk kepada keindahan yang menjadi dasar
karya sastera. Selain itu, estetika ini merangkumi unsur keindahan,
keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada karya yang bernilai dan bermanfaat
serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau yang cepat
menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Menurut Rahman Shaari (2001)
estetika bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera. Nilai yang
dimaksudkan berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya.
Contohnya, mungkin pembaca pertama menganggap karya itu bernilai estetika,
namun pembaca kedua pula tidak menganggapnya sedemikian. Jadi, menurut Rahman
Shaari (2001) bagi sesebuah karya, aspek teknik dan gaya itulah yang menjadi
penentu hadirnya nilai estetika. Bahkan kehadiran isi yang bagus tidak menjamin
tingginya nilai estetika melainkan keseimbangan kesemuanya dalam karya tersebut
sangat dituntut.
Ciri estetika yang boleh dilihat
dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji oleh Harun Mat Piah (2001)
ialah estetika luaran. Estetika luaran bermaksud nilai-nilai kenindahan visual.
Antara ciri estetika pantun ialah pantun terdapat dalam keadaan berpasangan dan
berangkap. Dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini, dapat dikenal pasti
pantun yang terdiri daripada dua kerat hingga 14 kerat.
i.
Pantun dua kerat
Tuku
takal balik bukit,
Siapa
nakal bolek sakit.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 51)
ii.
Pantun empat kerat
Bintang barat terbit petang
Bintang timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:605)
iii.
Pantun enam kerat
Si bongsu pandai bilang malam:
Malam ini malam kelapan
Anak apan di dalam apan
Mati disengat si kumbang jati
Abang laksana si kain kapan
Buruk tidak diganti lagi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:589)
iv.
Pantun lapan kerat
Bertanam ubi
di sawah
Ditimbun
dengan hampa barat
Dicangkul
dengan beladang
Dijual oleh
anak Bangkahulu
Kalau menyuji
nak sama merah
kalau
mengganti nak sama berat
kalau
mengukur nak sama panjang
itulah hukum
pada penghulu
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:81)
v.
Pantun empat belas kerat
Karatau
madang berbulu
Berbulu
berbunga belum
Berbunga
ketika repak
Habis
repak, bingkuang pula
Bingkuang
ambil ke bengkalai
Bengkalai
anak ‘rang Kota Lola
Kota
kecil jalan ke Selida
Merantau
anak dahulu
Di
rumah berguna belum
Berguna
ketika sesak
Lepas
sesak terbuang pula
Terbuang
lagi berpakai
Berpakai
waktu kau menolong
Kurang
tolong terbuang saja.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:255)
Selain itu, pantun juga memiliki
rimanya tersendiri. Terdapat pantun yang mengekalkan pola rima a-b-a-b
pada kedudukan akhir bagi setiap baris. Contohnya
Air dalam bertambah dalam
Hujan di hulu belum teduh
Hati dendam bertambah dendam
Dendam dahulu belum sembuh.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:453)
Terdapat juga pantun yang menggunakan rima a-a-a-a.
Contohnya
Ada seekor si burung pucung
Kaki panjang ekornya kontong
Janganlah awak nak tunjuk sombong
Itu binatang bernama sotong.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:53)
Walaubagaimanapun, terdapat pantun yang mengekalkan perkataan akhir bagi
setiap rangkap. Hal ini disebut sebagai rima pada setiap perkataan dalam
kedudukan sejajar. Contohnya, pantun di bawah ini menggunakan perkataan akhir
yang sama bagi baris pertama dengan ketiga iaitu pintu dan baris kedua
dengan keempat iaitu rumah.
Telur cicak di atas pintu
Pintu berdegar di bawah rumah
Ayuhai adik bukakan pintu
Abang lama di bawah rumah.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:367)
Antara ciri estetika lain dalam
pantun ialah ia terbahagi kepada dua unit iaitu unit pembayang dan unit maksud.
Kedua-dua unit tersebut memeprlihatkan hubungan makna sama ada hubungan
langsung mahupun simbolis iaitu melalui penggunaan unsur-unsur simbolisme.
Pokok sena dahan bercantum
Tempat bersarang burung tekukur
Kalau bunga
bukan sekuntum
Kumbang juga
bukan seekor.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:229)
Dalam
rangkap pantun di atas jelas dilihat hubungan antara pembayang dengan maksud
pantun tersebut. Contohnya pembayang dalam baris pertama mempunyai nsure
tumbuh-tumbuhan yang menyamai dengan maksud pada baris ketiga. Manakala
pembayang dalam baris kedua mempunyai nsure fauna iaitu haiwan yang menyamai
maksudnya pada baris keempat. Secara keseluruhannya, jelas dilihat rangkap
tersebut menggunakan nsure alam sebagai pembayang dan maksudnya.
Melalui Pantun Melayu Bingkisan
Permata, terdapat pelbagai gaya bahasa yang indah digunakan untuk membina
pantun-pantun tersebut.
(a) Personafikasi
Personafikasi bermaksud pemberian sifat-sifat manusia kepada benda
tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak dan lain-lain untuk mendapatkan kesan
sastera atau seni yang indah. Selain itu, perlambangan atau pengemukaan benda
tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak sebagai mempunyai sifat-sifat manusia.
Contohnya:
Limau purut jatuh ke lembah
Tiba di lembah tumbuhlah duri
Pinang mengadap sirih menyembah
Jari sepuluh menjunjung duli.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:11)
Berdasarkan pantun di atas, pada
baris ketiga, perkataan pinang dan sirih merupakan benda manakala
perkataan mengadap dan menyembah pula merupakan sifat manusia.
Apabila sesuatu benda itu disifatkan dengan sifat manusia, maka itu adalah
personafikasi.
(b) Asonansi
Gaya bahasa asonansi
pula ialah pengulangan vokal dalam sesuatu ayat seperti yang ditunjukkan dalam
pantun di bawah:
Masak taugeh
goreng lada,
Lada ditumbuk lada
putih,
Tuan menagih pada
yang sayang,
Saya merajuk
pada yang kasih.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:570)
(c) Peribahasa
Peribahasa
merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan
mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa turut digunakan dalam pantun
untuk menambahkan lagi kesan estetik dan untuk menyampaikan maksud yang lebih
tepat dan halus seperti:
Pergi
ke pekan membeli delima,
Delima
ditaruh di dalam cawan;
Kami
dagang dipandang hina,
Seperti melukut di tepi
gantang.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:263)
Perahu
dikanyuh ke Tanjung Rengit,
Sarat
berisi pala dan rokan;
Jangan diharap guruh di
langit,
Air di tempayan dicurahkan.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:225)
Kepengarangan
Teknik dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dapat didefinisikan sebagai
pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri
seperti jentera, kenderaan, bangunan dan lain-lain atau kaedah mencipta sesuatu
hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan lain-lain. Kepengarangan dalam
Kamus Dewan edisi keempat (2010) dapat didefinisikan sebagai perihal yang
berkaitan dengan pengarang. Maka, teknik kepengarangan dapat didefinisi sebagai
cara-cara yang digunakan oleh pengarang termasuklah berkaitan dengan
pengalaman-pengalamannya dalam mengolah sesuatu karya, hikayat dan sebagainya.
Kebiasaannya, teknik kepengarangan ini boleh
dibahagikan kepada dua iaitu kebijaksanaan pengarang menyampaikan cerita dan
teknik keindahan dalam karya. Kepengarangan merujuk kepada keterampilan,
kecerdikan, dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya.
- Realiti Alam dan Manusia Alam Melayu
Melihat pada
pantun-pantun yang dihasilkan, pantun-pantun ini kebanyakannya menggunakan
realiti alam dan manusia Melayu yang menyerlahkan persekitaran masyarakat
sekeliling iaitu berlatarkan budaya dan alam sekeliling. Latar pantun-pantun
ini meliputi sama ada sebuah masyarakat pantai, pesisir, darat, kota, desa atau
pedalaman misalnya:
Baik-baik belayar malam,
Arus deras karangnya tajam;
Cari-cari mualim yang faham,
Di situ banyak kapal
tenggelam.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:138)
Belayar masuk ke Kuala Kedah,
Patah tiang timpa kemudi;
Sekuntum bunga terlalu indah,
Sekalian kumbang asyik berahi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:291)
Menerusi pantun di atas, pengarang menggunakan
persekitaran berkaitan dengan pelayaran dan menggunakan tempat yang
kebiasaannya digunakan oleh masyarakat pada zaman tersebut iaitu di Kuala
Kedah. Di samping itu juga, pengarang menggunakan aspek alam dalam karyanya
melalui penggunaan perkataan sekuntum bunga mewakili perempuan dan kumbang
mewakili lelaki. Hal ini menunjukkan bahawa
pengarang mengambil sumber inspirasi dalam karyanya berdasarkan perkara yang
berlaku dan dilihat di sekelilingnya.
- Menggunakan
Bahasa Istana
Terdapat juga penggunaan
bahasa istana yang diselitkan dalam penghasilan pantun bagi memperindah maksud
yang ingin disampaikan. Bahasa istana yang sering digunakan dalam pantun ialah
kata ganti nama diri seperti hamba, adinda atau dinda, kanda atau kekanda.
Selain itu, bahasa istana lain seperti mangkat dan santap turut digunakan.
Contohnya:
Perahu jati buatan Eropah
Papan jati lapis tembaga
Sampai mati kanda tak
lupa
Kanda menanti di pintu syurga.
(Pantun
Melayu Bingkisan Permata, 2001:350)
Bunga kemuning di dalam puan,
Puan santapan Datuk
Bendahara;
Putih kuning pulanglah tuan,
Badan tak tahan duduk sengsara
(Pantun
Melayu Bingkisan Permata, 2001:298)
- Menggunakan Teknik Naratif/Penceritaan
Pantun Bingkisan Melayu ini
turut menggunakan teknif naratif atau penceritaan. Rangkap antara rangkap
adalah saling berkaitan dan adanya penceritaan. Pembaca perlu membaca setiap
rangkap bagi mengetahui kesudahan sesuatu cerita yang disampaikan. Dalam Pantun
Melayu, pengarang turut memuatkan Pantun Naratif: Cerita Raja Haji. Pantun ini
terdiri daripada lima rangkap yang mengisahkan Raja Haji yang berperang
Wolanda. Pada bahagian lain terdapat enam rangkap yang mengisahkan tentang Raja
Haji mangkat dalam perang. Contohnya dalam pantun di bawah:
Keranji di dalam lukah,
Ubur-ubur dari China;
Raja Haji yang punya suka,
Hendak berkubu di Bukit Cina.
Ubur-ubur dari China
Tetak tenggiri di bawah batang
Hendak berkubu di Bukit Cina
Maka sendiri gerangan datang.
(Pantun
Melayu Bingkisan Permata, 2001: 603)
Bersesuaian
dengan konsep Bingkisan, karya ini dibahagikan kepada empat bahagian
iaitu bingkis pemula, bingkis bicara, bingkis kasih, dan
bingkis penutup. Dalam setiap bahagian
buku ini mengandungi nilai kepengarangan yang tersendiri dan unik. Contohnya:
1. Bingkis Pemula; mengandungi
pantun-pantun dengan maksud memulakan bicara., dimulai dengan tema Awal
Bismillah dan diikuti pantun-pantun ringan yang membawa maksud jenaka dan
usik-mengusik dalam tema Alam dan Kehidupan Kanak-Kanak dan kemudian Teka
Teki, Jenaka dan Sindiran. Contohnya:
Orang
Sunda ke Pulau Barus,
Sarat
perahunya bermuat kopi;
Apakah
benda badannya kurus,
Digenyeh
kepala terbitlah api.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:70)
Dalam pantun di atas dapat
dilihat unsur teka-teki. Pengarang menerapkan unsur sebagai medium untuk
menguji minda atau kebijaksanaan mereka. Menurut Mohd Rashid Md
Idris (2011) sifat yang terkandung pada pantun teka teki yang memerlukan
jawapan merupakan jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk
menggerakkan cara berfikir secara spontan dan membina kemahiran berfikir dengan
tepat. Lazimnya, teka teki ini akan disampaikan kepada khalayak ramai dan keadaan
tersebut akan menimbulkan suasana riang dan seterusnya akan mengeratkan
hubungan silaturrahim sesama mereka.
2. Bingkis Bicara; mengandungi
pembicaraan dalam tema-tema yang agak serius, bermula tentang Adat dan Etika,
Budi dan Adab , Agama dan Pengajaran dan Perantauan dan Nasib.
Di sana padi di sini padi
Itulah nama sawah dan bendang
Di sana budi di sini budi
Barulah sempurna bernama orang
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:111)
Dalam
pantun di atas dapat dilihat unsur budi sebagai “budi dan adab” sebagai makhluk
di muka bumi Allah ini. Pengarang menerapkan unsur budi ini agar ia dapat
dijadikan panduan kepada pembaca terutamanya kepada golongan muda.
3. Bingkis Kasih; berupa pantun
percintaan dalam tahap-tahap yang umum, misalnya dalam Cinta Bersemi,
dengan pantun-pantun yang bermaksud usik-mengusik berkenalan dan berjanji
diikuti dengan Hasrat Tercapai yang menggambarkan kegembiraan dalam
hidup berkasih. Bab ini diakhiri dengan tema Kasih Terhalang
dengan maksud harapan dan kasih yang diingin terhalang oleh peristiwa-peristiwa
yang membawa kepada perpisahan.
Pergi ke pasar membeli bawal,
beli mangga di Kampung Bali;
ibarat adinda barang dijual,
sebut harganya boleh kubeli.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:351)
Pantun di atas menggambarkan apabila
sedang bercinta, semuanya akan kelihatan indah, manis dan menarik di mata
masing-masing. Segala kekurangan yang ada pada setiap pasangan seolah-olah
terlindung oleh rasa sayang dan segala rintangan yang datang dapat diatasi
dengan sebaik-baiknya. Rangkap pantun ‘ibarat adinda barang dijual, sebut
harganya boleh kubeli’ menunjukkan sang arjuna sanggup melakukan apa sahaja
untuk mendapatkan kekasih hatinya walaupun sukar.
4. Bingkis Penutup; merupakan
pantun-pantun sebagai penutup pembicaraan. Didahului dengan Tanggapan
dan Renungan sebagai pengalaman dan ingatan dalam kehidupan bermasyarakat.
Bab ini diakhiri dengan Salam Perpisahan sebagai kata penutup acara
dengan memohon maaf serta harapan untuk bertemu lagi.
Hari ini merendang jagung,
Hari esok merendang serai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.
Hari ini merendang serai,
Hari esok merendang ringgi;
Hari ini kita bercerai,
Ada umur bertemu lagi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 606)
Pantun tersebut menggambarkan
hakikat kehidupan yang sentiasa berputar dan akan dilalui oleh manusia, iaitu
perpisahan. Setiap sesuatu yang bermula akan ada pengakhirannya. Begitu juga
dengan pertemuan, pasti ada titik perpisahannya. Hanya doa dan harapan diluahkan
moga akan adanya pertemuan pada masa akan datang.
Aspek Nilai Ilmu dalam Pantun
Melayu: Bingkisan Permata
Menurut Superka et al. dalam Robiah K. Hamzah (2011),
Pendekatan Penerapan Nilai mendefinisikan nilai sebagai satu peraturan
perlakuan standard yang menjadi pegangan ahli masyarakat, ditentukan oleh
masyarakat mengikut budaya tersebut. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016),
nilai juga diistilahkan sebagai al-qimah dalam
bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan
pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan
falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau
buruk dan betul atau salah.
Ilmu pula bermaksud pengetahuan
dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi
Keempat, 2010). Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016), fungsi sesuatu ilmu
itu disebarkan adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi
perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain.
Oleh itu, nilai
ilmu dapat dianggap sebagai harga sesebuah pengetahuan itu dalam kehidupan
masyarakat yang berkaitan dengan budaya dan cara hidup sesuatu masyarakat itu
sendiri.
Perkataan mantera
berasal daripada bahasa sanskrit iaitu ‘mantra’ ‘manir’ atau ‘mantar’. Menurut
Rosli Saludin (2015), mantera ini mempunyai kaitan rapat dengan kitab suci Hindu yang pastinya
melibatkan kekudusan dan magis yang berhubung langsung dengan jampi serapah.
Terdapat pantun yang berunsurkan mantera. Mantera digunakan untuk pelbagai
tujuan dalam kehidupan masyarakat dahulu. Antaranya, mantera yang digunakan
ketika membulang ayam sabungan untuk menyabung atau laga ayam.Hal ini dapat
dilihat pada pantun berikut:
Pantun 1
Hai jalak kelabu,
jalak unang,
Patah gading
belalai tumbuh;
Pesan nenek dengan
moyang,
Kinantan suci
jangan dibunuh.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 84)
Selain itu, mantera
digunakan untuk memanggil angin. Hal ini bertujuan untuk memudahkan pelayaran.
Seperti pantun berikut:
Pantun 2
Bertelur apa engkau
senangin,
Bertelur laku
sepanjang pantai;
Turunlah apa si
Raja Angin,
Minta hantar Si
Panjang Lampai.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 243)
Mantera turut
digunakan sebagai penyeri muka. Contohnya:
Pantun 3
Hendak mayang seludang mayang,
Pakaian anak raja China;
Bidadari turun melayang,
Seri menampung bulan purnama.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 401)
Bukan itu sahaja,
terdapat mantera yang digunakan sebagai kekebalan diri. Terdapat pantun yang
menceritakan ilmu sangga bunuh. Ilmu Sangga Bunuh merupakan ilmu pakaian diri
untuk kebal, tidak lut oleh senjata dan mempunyai kuasa serta gagah dalam
pertarungan (Harun Mat Piah, 2001).Pantun tersebut seperti berikut:
Pantun 4
Si Kupang berbaju
besi,
Akan terumpak si buku buluh;
Dikepung aku tiada mati,
Aku memakai si sangga bunuh.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata, 2001: 580)
Dalam Pantun Melayu: Bingkisan
Permata, terdapat pantun yang mengandungi ilmu perniagaan.
Pantun 1
Hilir beraga,
Mudik bersanggah;
Dilihat galas berlaba,
Dihitung pokok termakan.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata, 2001: 208)
Pantun di atas berkisarkan perihal
berniaga. Hilir dan mudik sarat dengan barangan dagangan. Dalam hal ini,
melihat kepada bebanan yang dibawa disangkakan mendapat laba tetapi apabila
dikira rupanya modal pun telah termakan.
Bukan itu sahaja, terdapat pantun
tentang cara perniagaan secara borong. Dalam pantun tersebut ada menyatakan
membeli dengan menimbang kati (kilogram) tidak mendatangkan untuk yang banyak
berbanding borong. Pantun tersebut seperti di bawah:
Pantun 2
Ada satu burung tiung,
Turun ke kolam mandikan anak;
Bukankah baik beli borong,
Timbang kati untung tak banyak.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 580)
Peperangan
bersinonim dengan pertempuran, pertumpahan darah, permusuhan, kemelut, krisis,
pemberontakan, rusuhan, penderhakaan, dahagi, rana dan yuda. Dalam Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, terdapat pantun yang terkandung ilmu peperangan.
Pantun 1
Adakah perisai
bertali rambut,
Rambut dipintal akar cemara;
Adakah bisai tahu takut,
Kami pun muda lagi perkasa.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001:
539)
Berdasarkan pantun
di atas, perisai ialah alat untuk menangkis senjata dalam peperangan. Alat
tersebut diperbuat daripada besi keluli yang kuat dan teguh. Cemara ialah
rerambut yang dipintal menjadi rumbai atau ekor binatang seperti kuda atau
lembu yang diikatkan kepada senjata, lembing dan perisai sebagai hiasan.
Ilmu agama
merupakan ilmu yang berkaitan keimanan. Menurut Harun Mat Piah (2001), ilmu
keagamaan akan menyentuh persoalan hidup semasa, soal menuntut ilmu dan beramal
supaya tidak menyesal sesudah mati. Dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
ilmu keagamaan dapat dilihat dalam pantun agama.
Terdapat pantun
yang memberi penjelasan tentang kewajipan seorang hamba dalam menunaikan
perintahNya. Begitu juga dengan akibat sekiranya kita meninggalkan perintah
Allah. Hal ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat agar
menjadi hamba yang taat. Contohnya adalah seperti berikut:
Pantun 1
Anak ayam turunnya
lapan,
Mati seekor tinggallah tujuh;
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh tubuh.
Pantun 2
Anak ayam turunnya tujuh,
Mati seekor tinggallah enam;
Hancur luluh seluruh tubuh,
Dijilat oleh neraka jahanam.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata, 2001: 134)
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai
tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau
nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat.
Menurut Sulastin Sutrisno dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016),orang yang
mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala
sesuatu yang akan berlaku.
Pantun 1
Masak kopi airnya
mentah,
Kembang melati atas karang;
Saya bermimpi kerisku patah,
Jantung hati diambil orang.
(Bingkisan Permata: Pantu Melayu, 2001:635)
Pantun di atas
membawa maksud mimpi yang tidak baik. Menurut Harun Mat Piah (2001), antara
petanda mimpi tidak baik ialah keris patah, ayam tambatan dicuri orang, bunga
di taman digentas orang dan sebagainya. Petanda maksud membawa alamat orang
yang bermimpi akan kehilangan barang atau orang yang tersayang dan hal itu jika
terjadi akan memberikan malu yang amat sangat.
Dang Judah menulis peti,
Sudah ditulis tidak berbunga;
Duduk bersumpah bermati-mati,
Sudah dapat tidak berguna.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata, 2001: 634)
Menulis peti dalam pantun di
atas bermaksud melukis, memberikan ukiran pada peti. Sudah ditulis tidak
berbunga pula bermaksud ukiran tidak berbentuk atau imej bunga atau tumbuhan
(Harun Mat Piah, 2001).
Sekolah dekat balairung,
Tingkap bertulis awan karangan;
Gundahkan buah dimakan burung,
Burung ditangkap dilepas tangan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 521)
Berdasarkan pantun
di atas, tingkap bertulis awan karangan
bermaksud tingkap yang berukir dengan hiasan awan larat (Harun Mat Piah, 2001).
Aspek Nilai Budaya dan
Pandangan Hidup
Budaya merupakan
satu istilah yang mempunyai pengertian yang luas dan tidak terhad kepada
satu-satu aspek sahaja. Menurut Wan Abd. Hamid Wan The dan Anisah Zainal Abidin
(2006: 462), budaya dikaitkan dengan cara hidup sesuatu masyarakat. Selain itu,
budaya juga memperkatakan mengenai setiap perkara yang menjadi amalan manusia.
Amalan tersebut boleh merangkumi aspek ilmu pengetahuan,
keagamaan, kepercayaan, kesenian, undang-undang, pemerintahan, adat resam dan
perkara kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Setiap perkara yang diamalkan tersebut, bukan sahaja mempunyai hubungan dengan
kebudayaan yang terdapat dalam kelompok masyarakat sahaja, malah mencerminkan
keperibadian yang dimiliki oleh anggota sesebuah masyarakat.
Menurut Syed Naquib al-Attas (1972) dalam Seri Lanang Jaya
Hj. Rohani et al. (2016: 117),
pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau
hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.
Pandangan hidup ini dimiliki oleh masyarakat, bagi menunjukkan tanggapan
masyarakat terhadap setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan, khususnya yang
berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam sekitar. Dalam hal ini, pandangan
hidup yang dijelmakan melibatkan aspek hubungan antara ketiga-tiga aspek
tersebut, sama ada melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan
hubungan sesama manusia. Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa nilai
budaya dan pandangan hidup merupakan dua aspek yang saling berkait. Hal ini
kerana, setiap amalan yang berlaku dalam kehidupan, pasti akan menimbulkan
pandangan bagi memperjelaskan setiap perkara yang menjadi amalan tersebut.
- Amalan
Mendidik dalam Masyarakat
Budaya mendidik dalam masyarakat yang diketengahkan dalam karya
ini, memfokuskan aspek didikan yang diberikan oleh golongan tua kepada
anak-anak muda. Sebagai individu yang mempunyai pengalaman yang lebih mengenai
aspek-aspek kehidupan, didikan dari segi nasihat diberikan supaya golongan muda
dapat menjadikan nasihat-nasihat tersebut sebagai pedoman hidup mereka.
Berdasarkan karya yang dikaji ini, amalan mendidik dilihat dalam aspek agama.
Konteks agama yang dipaparkan berkaitan dengan nilai dan akhlak yang disepakati
dalam kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Dalam proses pembentukan
peribadi muslim, akhlak yang cuba disemai dalam diri masyarakat disampaikan
menerusi pantun. Contoh pantun yang berkaitan dengan amalan ini dapat dilihat
seperti yang berikut:
Pantun 1
Bawa aksin terlalu
indah,
Ombak bersusun
berlari-lari,
Jika berkata yang
tidak berfaedah,
Terlebih baik
mendiamkan diri.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata, 2001: 139)
- Kepentingan
Menjaga Tutur Kata dalam Berbicara
Menerusi pantun tersebut, dapat dilihat nasihat yang
diberikan dari segi tingkah laku percakapan dalam masyarakat. Amalan berkata
yang tidak berfaedah yang dilakukan oleh segelintir masyarakat dilihat hanya
mendatangkan kesan negatif kepada si pelakunya. Oleh hal yang demikian, atas
kesedaran tersebut, maka suatu peringatan dalam bentuk nasihat atau didikan
diberikan supaya dijadikan sebagai ilmu yang bermanfaat, khususnya bagi
golongan muda. Hal ini sebenarnya sesuai dan selari dengan ungkapan peribahasa
Melayu yang sememangnya telah sebati dalam kehidupan masyarakat apabila mengetengahkan
mengenai aspek percakapan. Peribahasa yang dimaksudkan ini ialah:
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata
buruk padahnya.
Maksud yang terdapat dalam
peribahasa tersebut ialah berhati-hati ketika berkata-kata atau menyatakan
sesuatu kerana kata-kata yang telah dinyatakan sukar ditarik balik dan memberi
kesan yang mendalam atau melukakan hati orang lain. Keadaan ini merupakan
gambaran kepada maksud yang dibawa menerusi nasihat dalam pantun yang telah
dinyatakan. Sekiranya tutur kata yang ingin diucapkan tidak membawa faedah,
maka individu yang berkenaan sewajarnya
berdiam diri sahaja. Hal ini dilakukan supaya perlakuan tersebut tidak membawa
sebarang kesan negatif, bukan sahaja ke atas si pelaku, malah kepada pendengar.
- Berbudi kepada Masyarakat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015: 212), budi membawa maksud sifat baik,
perbuatan baik dan kebajikan. Dalam karya yang dikaji ini, kebanyakan pantun
budi yang dinyatakan adalah berkisar tentang kepentingan berbudi dalam masyarakat.
Dalam hal ini, perkara yang boleh dikaitkan dengan amalan berbudi ini
melibatkan segala perkara yang membawa faedah atau kebaikan kepada masyarakat.
Hal ini bermaksud, setiap sumbangan yang dilakukan oleh individu kepada
masyarakat, tidak kiralah dalam bentuk apa pun, dilihat dan dinilai sebagai
suatu amalan yang mulia. Menerusi amalan tersebut semangat saling membantu dan
bekerjasama dapat dipupuk. Antara pantun yang berkaitan budi dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata ialah:
Pantun 1
Ambil galah jolok
remenia,
Kait mari sampai
berdiri,
Kita hidup di atas
dunia,
Buat baik taburkan
budi.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 97)
Pantun 2
Apalah tanda batang
keladi,
Batang keladi di tanah isinya,
Apalah tanda orang berbudi,
Orang berbudi rendah hatinya.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001: 101)
- Amalan
Berbudi dipandang Tinggi dalam Masyarakat
Berdasarkan kepada aspek berbudi yang menjadi salah satu
aspek penting dalam kehidupan bermasyarakat, maka dapat dikatakan bahawa
individu yang berbudi dalam menjalani kehidupan, akan dipandang tinggi
khususnya oleh masyarakat yang berada kelompok kehidupan seseorang individu.
Hal ini juga dinyatakan dengan jelas dalam karya yang dikaji ini. Kebanyakan
pantun yang dipaparkan menonjolkan penghargaan yang diberikan kepada individu
yang berbudi dalam kehidupannya. Orang yang berbudi akan sentiasa dikenang,
diingati, dan disebut kebaikan yang telah diberikannya. Contoh penghargaan
tersebut, dapat dilihat menerusi pantun berikut:
Pantun 1
Ambil tali panjang
sedepa,
Makan manggis dengan bijinya,
Sampai mati takkan lupa,
Kerana manis hati budinya.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001:
97)
Pantun 2
Ambilkan saya buah
delima,
Masak sebiji di balik daun,
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:
98)
- Beretika
dalam Menjalani Kehidupan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, etika bermaksud prinsip moral atau nilai-nilai yang menjadi
pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Manakala beretika pula membawa maksud mempunyai
atau berpegang kepada etika, berakhlak dan bermoral. Etika kehidupan
bermasyarakat yang digambarkan dalam karya ini, dapat memberi pengajaran kepada
pembaca agar sentiasa berpegang kepada etika dalam setiap masa. Antara contoh
pantun yang memperlihatkan amalan nilai-nilai positif dalam kehidupan
bermasyarakat dapat dilihat seperti pantun berikut:
Pantun 1
Ribut-ribut bawa
pukat,
Melihat gelung di Selat Jawa,
Kita hidup tanda muafakat,
Tolong-menolong tanda sejiwa.
(Pantun Melayu Bingkisan Permata, 2001:
578)
Pantun tersebut memberikan
gambaran tentang semangat tolong-menolong yang dianggap sebagai salah satu
etika yang menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat. Etika dari segi semangat
tolong- menolong yang dinyatakan ini menjadi salah satu aspek penting
khususnya, dalam aspek kejiranan.
- Sikap
Tolong-menolong Memupuk Cara Hidup yang Baik
Pantun tersebut memberikan gambaran tentang kehidupan
masyarakat Melayu yang saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kegiatan
tersebut dapat memupuk cara hidup yang baik kerana melalui sikap tersebut,
secara tidak langsung akan mewujudkan sikap bertimbang rasa dan prihatin
terhadap kesulitan atau masalah yang dialami oleh individu lain. Kelaziman
amalan nilai tolong-menolong ini sememangnya sudah menjadi sebati dalam
kehidupan masyarakat. Contohnya semasa majlis perkahwinan diadakan, masyarakat
yang tinggal di sesuatu kawasan kejiranan tidak lokek untuk meluangkan masa,
tenaga dan memberikan sumbangan dalam bentuk wang untuk bersama-sama menjayakan
persiapan perkahwinan tersebut. Gambaran ini dapat dikaitkan dengan peribahasa
Melayu seperti berikut:
(i)
Bagai aur dengan
tebing.
(ii)
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Kedua-dua
peribahasa tersebut, memberikan takrifan yang sama iaitu mengenai sikap
bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Hal ini seterusnya memberi
gambaran tentang keakraban hubungan yang terjalin dalam masyarakat yang tinggal
di sesebuah kawasan kejiranan. Sikap ini membuktikan juga bahawa sikap “Bagai
enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” tidak diamalkan oleh
masyarakat yang dimaksudkan menerusi peribahasa tersebut. Peribahasa ini boleh
dikaitkan dengan kelompok masyarakat yang tinggal berdekatan tetapi
mementingkan diri sendiri, tanpa menghiraukan jiran-jiran yang berada
berhampiran dengannya.
Sikap mementingkan diri sendiri yang
digambarkan menerusi peribahasa ini wajar dihindari. Sikap ini bertentangan
dengan rukun kehidupan berjiran yang sepatutnya saling mengenali dan menjaga
hubungan silaturahim. Jika sikap tersebut terus diamalkan, pasti akan membawa
kesan negatif khususnya terhadap sebarang aktiviti kemasyarakatan yang
dijalankan.
Justeru, dapat dikatakan di sini bahawa aspek nilai budaya
dan pandangan hidup yang tergambar dalam karya ini sememangnya mencerminkan
amalan yang dilakukan dalam kehidupan masyarakat. Setiap perkara yang menjadi
amalan masyarakat membawa kepada satu pandangan yang berfungsi untuk menilai
setiap perlakuan yang dilakukan tersebut untuk dijadikan sebagai pedoman kepada
masyarakat, khususnya kepada pembaca.